Follow us

Malaysia, Singapura Sepakat Tangguh Pelaksanaan ILS, Penubuhan Ruang Terhad

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-08
E-mel
Komen
Share
Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah bersalaman dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negara Singapura Chee Wee Kiong semasa persidangan menteri-menteri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Singapura, 1 Ogos 2018.
Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah bersalaman dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negara Singapura Chee Wee Kiong semasa persidangan menteri-menteri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Singapura, 1 Ogos 2018.
[AFP]

Malaysia dan Singapura pada Selasa bersetuju menangguhkan pelaksanaan bimbingan navigasi ILS (Instrument Landing System) di Lapangan Terbang Seletar di Singapura dan juga penubuhan kawasan terhad (restriction area) di ruang udara Pasir Gudang di Johor dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang melibatkan kedua-dua negara.

Pengumuman itu dibuat di Singapura di satu sidang media yang dihadiri oleh Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan bersama rakan sejawat dari Malaysia Saifuddin Abdullah selepas perbincangan dua hala selama lebih sejam.

Balakrishnan berkata, negaranya bersetuju menghentikan kerja-kerja pemasangan ILS di Selatar, sementara Malaysia bersetuju untuk tidak meneruskan dasar kawasan terhad di Pasir Gudang dengan kesemua penangguhan terbabit mengambil masa sebulan.

Saifuddin pula berkata bahawa Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura akan bertemu dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian melibatkan isu ruang udara dan ILS itu.

"Oleh kerana kami telah bersetuju, maka kedua-dua menteri pengangkutan akan bertemu untuk mencari jalan terbaik dalam menamatkan masalah yang timbul," kata Saifuddin.

Selain dari isu ruang udara, perbincangan dua hala tersebut turut menyentuh mengenai isu perairan pelabuhan Johor Baru dan Singapura.

Bercakap mengenai isu maritim, Balakrishnan menjelaskan bahawa satu jawatankuasa gerak-kerja yang dianggotai pegawai kanan Malaysia dan Singapura akan diwujudkan dalam mencari penyelesaian bagi mengurangkan ketegangan antara kedua negara.

"Dalam isu maritim, kami bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa gerak-kerja yang diketuai Setiausaha Tetap Singapura bagi Kementerian Luar Chee Wee Kiong dan Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Shahrul Ikram Yaakob.

"Gerak-kerja itu akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian dari sudut undang-undang bagi mengurangkan ketegangan dengan menghantar laporan akhir kepada kementerian luar masing masing dua bulan dari sekarang," kata Balakrishnan.

Berita baik buat kedua negara

James Chin, ahli akademik dari Institut Pengajian Asia Universiti Tasmania di Australia berkata pertemuan dua hala itu merupakan satu berita baik untuk hubungan kedua-dua negara jiran.

Bercakap mengenai ketegangan antara Malaysia-Singapura, Chin berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana masih terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan.

"Pertemuan itu satu berita baik. Namun ketegangan antara negara jiran tidak dapat dielakkan. Ini kerana masih ada lagi perkara yang belum selesai seperti isu jambatan bengkok dan penjualan air.

"Bagaimanapun, apa yang terbaik adalah kedua-dua negara cuba mencari jalan penyelesaian. Kita harus belajar hidup berjiran dan tiada siapa yang akan menang daripada konflik antara negara jiran," kata Chin.

Sementara itu Chin turut memuji Saifuddin yang mampu mendapat persetujuan daripada Singapura walaupun itu pertemuan pertama.

"Pujian harus diberikan kepada Saifuddin. Bukan mudah untuk berurusan dengan Singapura apatah lagi apabila bos kamu adalah Mahathir Mohamad. Tetapi beliau mampu mendapat persetujuan hanya dalam satu pertemuan," tambah Chin lagi.

Sementara itu Oh Ei Sun, dari Institusi Hal-Ehwal Luar Singapura berkata ketegangan sudah pun berjaya dikurangkan sejak kedua-dua belah pihak berhenti mengeluarkan kenyataan keras bulan lalu.

"Ketegangan sudah pun berjaya dikurangkan dan ini satu petanda baik, namun jika pengakhiran tidak dapat dicapai dengan baik, perkara ini harus dibawa ke muka pengadilan antarabangsa," katanya.

Pada Disember lalu, Malaysia dan Singapura berbalas kenyataan mengenai pertikaian ruang udara dan lautnya di sempadan kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthoney Loke Siew Fook berkata, pentadbiran Putrajaya akan menghantar nota bantahan berhubung tindakan republik itu menguatkuasakan tatacara ILS Lapangan Terbang Seletar di Singapura, yang baru dinaikkan taraf dan mengganggu ruang udara selatan Johor.

Katanya lagi, kerajaan membantah keputusan Singapura itu kerana dibuat tanpa berunding dengan Malaysia terlebih dahulu.

Menteri berkenaan juga berkata pembangunan kawasan Pasir Gudang akan terjejas kerana kini semua pembinaan bangunan perlu mematuhi had tinggi bangunan mengikut standard antarabangsa dan pesawat juga terpaksa terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang, akibat tatacara tersebut.

ILS adalah sistem bimbingan navigasi yang memberi panduan keselamatan dan pendaratan yang tepat untuk mendarat di sesebuah lapangan terbang.

Putrajaya telah memutuskan untuk tidak membenarkan Singapura menyiarkan ILS dan keputusan berkenaan dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 Nov lalu, namun negara itu tetap akan meneruskan penyiaran ILS melalui Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) Singapura pada 1 Dis lepas yang dijangka akan dikuat kuasakan pada 3 Jan depan.

Semasa berbalas kenyataan, rakan sejawat Loke dari Singapura, Khaw Boon Wan menolak kegusaran Malaysia dengan mengatakan bahawa Lapangan Terbang Seletar bukan sebuah lapangan terbang baru dan laluan penerbangannya telah wujud selama beberapa dekad.

"Lapangan terbang Seletar lebih tua daripada Changi. Laluan penerbangan itu sudah ada sekian lamanya, berdekad, dan prosedur ini bukan sesuatu yang baru, " kata Menteri Pengangkutan Singapura itu.

Lapangan Terbang Seletar, telah dibina sebagai lapangan terbang Tentara Udara Diraja Britain pada tahun 1928. Kini kerja penyelenggaraan pesawat kecil persendirian sedang dijalankan sebelum dinaik taraf pada 2018 bagi membenarkan pesawat komersil Firefly ATR-72 beroperasi di lapangan terbang berkenaan selain daripada Lapangan Terbang Changi di sebelah timur pulau berkenaan.

Lihat Laman Penuh