Singapura Tahan Empat Rakyatnya Terlibat Aktiviti Militan

Hata Wahari
2016.03.16
Kuala Lumpur
160316-my-singapore620 Rakyat Yemen berkumpul untuk melihat kejadian dua letupan bunuh diri di utara bandar pelabuhan selatan Aden, 16 Mac 2016.
Photo: Benar

Singapura pada Rabu telah menahan empat orang rakyatnya di bawah Akta Tahanan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti militan di luar negara, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kementerian itu dalam satu kenyataan medianya memaklumkan bahawa empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 dan 53 tahun mahu menyertai kumpulan militan di Syria, Yemen dan Iraq.

Kenyataan itu menyebut bahawa penglibatan empat warganegaranya dengan aktiviti militan dilihat sebagai satu ancaman serta menjejaskan kepentingan negara terutamanya melibatkan hubungan dua hala dengan negara terlibat.

“Singapura akan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menyokong, mengalakkan, mengusahakan atau membuat persediaan melibatkan keganasan dan senjata. Singapura tidak mengambil kira bagaimana warganegaranya merasionalkan keganasan tersebut atau di mana ianya berlaku,” kata kenyataan media kementerian berkenaan pada Rabu.

Empat lelaki yang ditahan kerajaan negara itu ialah Wang Yuandongyi (23); Mohammad Razif Yahya (23); Mohamad Mohideen Mohamed Jais (25) dan Amiruddin Sawir (53).

Wang didapati berniat ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Kurdish yang sedang menentang Negara Islam (IS) di negara itu dan Iraq.

“Wang telah berlepas ke sebuah negara ketiga pada Januari sebelum menuju ke Turki, untuk memasuki Syria tetapi niatnya itu telah dilaporkan oleh seseorang kepada kerajaan, yang kemudiannya mengeluarkan notis perjalanan meminta negara ketiga terbabit menghantarnya pulang ke Singapura, yang selepas itu diletakkan dibawah Perintah Sekatan (RO) di bawah ISA,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kenyataan itu juga menyebut Wang meninggalkan Singapura dengan membawa bersamanya beberapa peralatan tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) seperti pakaian seragam dan but untuk digunakan di medan perang.

Sementara itu, Muhamad Razif dan Amiruddin pula ditahan selepas mahu kembali ke Yemen untuk menyertai kumpulan militan di negara berkenaan selepas pernah belajar mengenai Islam di sebuah institusi agama antara tahun 2010 dan 2013.

Kedua mereka dipercayai secara sukarela mahu menjadi pengawal bersenjata AK47 dan sniper di institusi agama di negara tersebut.

“Muhamad Razif dan Amiruddin bersedia untuk mati di negara konflik Yemen, kerana mahu mempertahankan agama Islam. Oleh itu mereka dianggap sebagai ancaman kepada Singapura,’’ kata kenyataan kementerian itu lagi.

Manakala Mohamed Mohideen yang pernah melanjutkan pelajaran di Yemen juga mahu turut serta sebagai pejuang di negara tersebut. Beliau ditahan awal bulan ini.

Singapura pernah membuat beberapa tangkapan terhadap rakyatnya yang didapati mengambil jalan radikal di bawah Akta ISA sepanjang tahun lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.