Najib Singkir Muhyiddin Dari Kabinet
2015.07.28
Kemelut pentadbiran Najib Razak menjadi semakin hangat apabila beliau secara mengejut menggugurkan timbalannya, merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang lantang mengkritik skandal syarikat pelaburan negara yang menanggung hutang sebanyak AS$12bilion (RM42 bilion) itu, digugurkan bersama empat menteri kabinet lain.
Mereka ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan, Hassan Malek, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, G. Palanivel dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Ewon Ebin.
Najib melantik Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, juga Naib Presiden UMNO, sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa mulai Rabu. Pengumuman itu dibuat secara langsung dari lobi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya
Ahmad Zahid menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sebagai "satu habuan," sebaliknya satu tanggungjawab untuk negara dan seluruh bangsa di Malaysia.
Tujuh Menteri dan Sembilan Timbalan Menteri
Selain menggugurkan lima orang dari kabinetnya, Perdana Menteri Najib turut melantik tujuh orang menteri baru dan sembilan orang timbalan menteri.
Tujuh orang menteri baru adalah: Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan);
Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Sumber Asli dan Alam Sekitar); Mahdzir Khalid (Pendidikan), Wilfred Madius Tangau (Sains, Teknologi dan Inovasi), Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak (Komunikasi dan Multimedia), Azalina Othman Said (Jabatan Perdana Menteri) dan Ong Ka Chuan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II adalah satu portfolio baru yang diwujudkan oleh Perdana Menteri. Jawatan Menteri I masih disandang oleh Mustapa Mohamad.
Barisan kabinet baru itu melibatkan 25 kementerian dan 37 orang menteri berbanding 24 kementerian dan 32 menteri sebelum ini.
Pada hari yang sama, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa, mengumumkan bahawa Abdul Gani telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara atas ‘sebab-sebab kesihatan’ berkuatkuasa hari Isnin.
Abdul Gani kini mengetuai pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada SPRM, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara dalam menjalankan siasatan berkaitan skandal dan salah urus kewangan syarikat milik negara itu.
Pada 2 Julai lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Najib telah menafikan "tuduhan palsu" itu dan menyifatkan laporan tersebut sebagai usaha untuk "menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."
Keputusan sukar
Najib semasa pengumuman itu berkata, pengguguran Muhyiddin bersama empat lagi menteri dan timbalan menteri itu dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.
“Keputusan menggantikan Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu,”
“Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet,’’ katanya semasa sidang media khas pada Isnin.
Kesemua perlantikan barisan kabinet yang baru itu berkuasakuasa pada Rabu dan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara pada pukul 10 pagi.
Redha dengan pengguguran
Sementara itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan selepas penyingkirannya berkata, beliau menerima keputusan Najib dengan hati terbuka dan menghormati hak Perdana Menteri untuk melantik serta menggugurkan mana-mana anggota kabinet.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” tambah beliau.
Dalam pada itu, sekumpulan media yang sedang menunggu di luar kawasan rumah Muhyiddin di Kuala Lumpur pada malam Selasa dimaklumkan satu sidang media akan diadakan pada pukul 11 pagi pada Rabu.
Muhyiddin yang masih memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO, berjanji akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya untuk memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.
Dalam pada itu, ahli-ahli UMNO percaya mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan dipengerusikan oleh Najib pada Jumaat ini akan turut membincangkan kedudukan Muhyiddin dalam parti itu.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa di dalam satu kenyataan media pada Selasa berkata, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015.
"Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.
Jawatan Peguam Negara kini disandang bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Apandi Ali.
PAC dan Timbalan Menteri
Perlantikan Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri turut menimbulkan persoalan kerana
beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB.
Nur Jazlan bercadang untuk melepaskan jawatannya selaku Pengerusi PAC dan semua prosiding yang diatur pada Ogos termasuk 1MDB akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Selain Nur Jazlan, tiga lagi anggota PAC turut diberi jawatan Kabinet dan mereka ialah Reezal Merican Naina Merican yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan).
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron, dikritik kerana tidak membatalkan rancangannya untuk melawat Malaysia yang sedang menghadapi krisis pentadbiran dan skandal rasuah.
Cameron kini berada di Indonesia, dan dijadual tiba di Malaysia pada Khamis untuk bertemu Najib bagi membincangkan ancaman pengganas terutamanya kumpulan militan dan radikal yang semakin meluas.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, juga dijadualkan akan melawat Malaysia pada 4 Ogos ini.