Malaysia Henti Guna Vaksin Sinovac, Beralih Ke Pfizer

Peralihan itu adalah kerana negara berkenaan telah membuat tempahan yang banyak bagi vaksin Pfizer keluaran AS, kata menteri kesihatan.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-07-15
Share
Malaysia Henti Guna Vaksin Sinovac, Beralih Ke Pfizer Sapiah Mat Ajat, 80, diberi suntikan vaksin Sinovac untuk pencegahan COVID-19 oleh pekerja kesihatan di rumahnya di Sabak Bernam, Selangor, Malaysia, 1 Julai 2021.
[Reuters]

Malaysia akan menghentikan pemberian vaksin Sinovac COVID-19 keluaran China, kata menteri kesihatan pada Khamis tanpa menyatakan sebabnya, beberapa hari selepas Thailand dan Indonesia mengumumkan bahawa ramai rakyatnya akan diberi suntikan ‘booster’ atau penggalak vaksin bukan Sinovac sekiranya mereka telah menerima suntikan vaksin keluaran China itu.

Thailand dan Indonesia mengumumkan dasar mengenai suntikan ‘booster’ itu berikutan peningkatan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin buatan China itu, dan selepas beberapa orang di dua negara tersebut meninggal dunia akibat koronavirus walaupun telah menerima dua suntikan Sinovac.

Setelah pihak berkuasa di Kelantan memaklumkan bahawa negeri itu akan berhenti menggunakan Sinovac, Menteri Kesihatan Malaysia Adham Baba mengesahkan langkah tersebut dan memberitahu bahawa ia akan dilaksanakan di seluruh Malaysia kerana negara itu telah menempah dengan banyak vaksin dari syarikat lain.

"Oleh itu, ia akan bermula di Kelantan dan negeri-negeri lain akan menyusul tidak lama lagi. Sebagai pengganti [Sinovac], untuk baki populasi yang akan diberi vaksin, kami akan memberikan [vaksin] Pfizer," kata Adham pada sidang media.

"Kita telah memperoleh 45.7 juta [dos] Pfizer berbanding dengan 16 juta dos Sinovac. Separuh daripada vaksin Sinovac sudah diberikan dan kami akan menggunakan separuh lagi untuk suntikan dos kedua pula."

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham memberitahu wartawan pada sidang media itu bahawa vaksin utama untuk program imunisasi COVID-19 di Malaysia adalah suntikan Pfizer keluaran Amerika Syarikat.

"Pada dasarnya, ini kerana kita mempunyai cukup bekalan vaksin Pfizer ...oleh itu, vaksin utama yang akan digunakan sekarang ialah vaksin Pfizer," kata Noor Hisham.

"Bagi mereka yang belum divaksinasi, mereka akan menerima vaksin Pfizer."

Malaysia tidak memberikan alasan lain untuk menghentikan pemberian suntikan Sinovac.

Pada Isnin, kerajaan Thailand menyatakan bahawa ia merancang untuk memberikan suntikan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai suntikan pertama. Keputusan itu diambil selepas adanya laporan yang belum disahkan mengenai keberkesanan rendah Sinovac dan kematian seorang jururawat pada hujung minggu selepas diberi dua dos vaksin keluaran China itu.

Minggu lalu, Indonesia menyatakan pihaknya merancang untuk memberikan vaksinasi ketiga kepada kebanyakan 1.47 juta pekerja perubatan yang telah disuntik dengan Sinovac, dengan menggunakan vaksin yang dihasilkan oleh Moderna - sebuah lagi syarikat pengeluar ubat Amerika Syarikat - untuk melindungi mereka daripada varian Delta COVID-19 yang mudah berjangkit.

Kumpulan sukarelawan Indonesia yang memantau data pandemik, LaporCOVID-19, menyatakan lebih 1,100 pekerja kesihatan telah dijangkiti virus tersebut sejak bermulanya pandemik itu. Sekurang-kurangnya 85 orang meninggal dunia bulan ini walaupun ada yang telah diberi vaksin Sinovac secukupnya.

Satu lagi rekod menggerunkan

Malaysia kini mengalami peningkatan kes jangkitan konavirus.

Pada Khamis, negara itu memecahkan rekod kes harian buat hari ketiga berturut-turut dengan melaporkan 13,215 kes jangkitan baru yang menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 880,782. Dengan 110 kematian yang berkaitan dengan virus itu, jumlah kematian akibat pandemik tersebut ialah 6,613.

Noor Hisham berkata varian Delta adalah penyebab berlakunya lonjakan kes jangkitan itu, dan merupakan strain yang dominan di Malaysia pada masa ini.

Varian Delta boleh menjangkiti hanya selepas 15 saat berlakunya hubungan rapat dengan kes positif berbanding dengan jangkitan 15 minit oleh varian sebelum ini.

Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk mencampurkan pemberian vaksin, yang dilaporkan bertujuan meningkatkan keberkesanan pencegahan terhadap varian COVID-19 yang berbeza, tetapi pada 1 Julai, cadangan itu tidak lagi dibincangkan kerana kerajaan berpendapat belum ada data kukuh mengenai campuran vaksin itu.

Malaysia menyatakan bahawa ia perlu memberi suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduknya atau 26.2 juta orang dalam usaha mewujudkan imuniti kelompok.

Pada Khamis, seramai 8.65 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin. Daripada jumlah itu, seramai 4 juta telah diberi suntikan penuh.

Malaysia kini merupakan antara negara yang pantas melakukan vaksinasi di dunia dengan memberikan lebih 400,000 dos sehari, lapor The Sydney Morning Herald pada Khamis.

Bekalan vaksin Malaysia kini merangkumi Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac. Vaksin satu dos iaitu Cansino keluaran China dan Johnson & Johnson keluaran Amerika Syarikat telah diluluskan penggunaannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah negara itu.

Sehingga 21 Jun, Malaysia mempunyai 4,08 juta dos suntikan vaksin Pfizer, 3,69 juta dos Sinovac dan 828,000 dos AstraZeneca, kata Kementerian Kesihatan dalam catatan tweet.

Pada 5 Julai, Malaysia menerima 1 juta dos Pfizer dari Amerika Syarikat yang membolehkannya mempunyai lebihan vaksin.

Di bawah perjanjian yang dirundingkan semula dengan Pfizer, Malaysia akan menerima 25 juta dos vaksin itu antara Julai dan September, kata Khairy Jamaluddin, menteri yang bertanggungjawab bagi pelaksanaan pemberian suntikan vaksin, kepada The Morning Herald.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh