Penerima Sinovac Hilang Status Vaksinasi Lengkap Jika Enggan Ambil Dos Penggalak

Pengubahan status itu akan membuatkan individu terbabit hilang kelayakan menikmati kemudahan yang diberikan kepada yang berstatus lengkap.
Noah Lee & Nisha Devi
2021.12.16
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Penerima Sinovac Hilang Status Vaksinasi Lengkap Jika Enggan Ambil Dos Penggalak Dua jenis botol vaksin kosong jenis Sinovac yang telah digunakan semasa Program ‘Outreach’ Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Sabak Bernam di sekitar kawasan kampung pendalaman di Sungai Besar, Sabak Bernam, di Selangor, 8 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Menteri Kesihatan Malaysia pada Khamis memberi kata dua kepada semua penerima vaksin COVID-19 keluaran China, Sinovac iaitu kira-kira 37 peratus populasi negara - serta warga emas yang telah awal menerima vaksinasi lengkap supaya mendapatkan dos penggalak sebelum Mac tahun depan.

Khairy Jamaluddin berkata mereka yang gagal berbuat demikian akan kehilangan status vaksinasi lengkap yang sudah diterima di mana pengumuman tersebut dibuat dua hari selepas kes kedua varian Omicron dikesan di negara itu.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Mengenai Imunisasi telah mencadangkan supaya semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas, tanpa mengira jenis vaksin siri primer, perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

"Cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 pada 8 Disember 2021. Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan di atas - semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022," kata Khairy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut menteri berkenaan, mana-mana individu dari kumpulan tersebut yang masih gagal mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari tahun depan akan ditukarkan status vaksinasi mereka kepada status tidak lengkap.

Ia akan menjadikan individu berkenaan tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19, tambah beliau.

Setakat 15 Disember, 78.2 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 25.9 juta orang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19. Daripada bilangan tersebut, 37.1 peratus adalah penerima vaksin Sinovac.

Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan memberikan beberapa kemudahan tertentu khusus untuk mereka yang berstatus penerima vaksin lengkap, termasuk untuk makan di dalam premis restoran, menyertai aktiviti keagamaan di rumah ibadah, serta beberapa kategori sukan yang dibenarkan.

Bagaimanapun, disebabkan keberkesanan vaksin COVID-19 yang menurun dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan, Malaysia telah mula memberikan dos penggalak kepada penerima vaksin berdasarkan jangka masa selepas mereka menerima imunisasi lengkap sebelum ini.

Seramai 4.1 juta penduduk telah menerima dos penggalak setakat 15 Disember, menurut laman web CovidNow milik KKM.

Pengumuman oleh Khairy itu dibuat pada hari yang sama beliau mengumumkan bahawa Malaysia telah mengesan kes kedua membabitkan varian Omicron di negara itu.

Menteri itu memberitahu satu sidang media di Parlimen bahawa kes dikesan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama keluarganya dari Lagos, Nigeria pada 5 Disember lepas.

"KKM ingin memaklumkan bahawa Institut Kajian Perubatan telah membuat ujian ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif di kalangan pengembara (yang tiba di Malaysia) antara 6 ke 10 Disember.

"Daripada jumlah ini, satu sampel menunjukkan bahawa ia berkemungkinan adalah varian Omicron. Jujukan genom ke atas sampel tersebut telah disahkan varian Omicron pada 14 Disember, dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes varian Omicron di Malaysia menjadi dua kes," kata Khairy.

Sebelum ini, Khairy pada 3 Disember mengumumkan kes pertama Omicron di Malaysia membabitkan seorang pelajar wanita warga Afrika Selatan yang tiba di KLIA pada 19 November lepas.

Serum antibodi tidak mencukupi

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Hong Kong baru-baru ini, mereka yang menerima dua dos lengkap vaksin Pfizer atau Sinovac masih memerlukan dos penggalak untuk menghadapi varian Omicron.

Hasil ujikaji dijalankan Jabatan Mikrobiologi universiti itu menunjukkan bahawa kebanyakan daripada penerima dos lengkap dua jenis vaksin tersebut tidak mengeluarkan serum antibodi yang mencukupi untuk melawan varian Omicron.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil dos ketiga vaksin secepat mungkin sementara menunggu generasi vaksin yang seterusnya.

"Hasil ujian ini telah diterima untuk diterbitkan dalam jurnal perubatan Penyakit Berjangkit Klinikal," kata universiti berkenaan dalam satu kenyataan media pada 14 Disember.

Sementara itu, dua orang pakar penyakit berjangkit di Malaysia menyokong tindakan KKM untuk mewajibkan penerima vaksin Sinovac serta warga emas untuk mengambil dos penggalak.

Malina Osman, seorang Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) di Universiti Putra Malaysia, berkata arahan mewajibkan dos penggalak itu patut dilihat dari sudut yang positif.

"Saya memilih untuk menyokong keputusan mewajibkan dos penggalak. Bagi mereka yang enggan mengambilnya, mereka perlu mengikut peraturan tertentu supaya dilindungi daripada risiko jangkitan. Peraturan baru ini patut dilihat dari sudut positif dan bukannya sebagai hukuman.

"Saya berpendapat bahawa agensi berkaitan telah membuat perkiraan mengenai impak pandemik ini kepada negara, terutama sekali terhadap sistem kesihatan kita yang hampir lumpuh ketika negara dilanda kes aktif sebanyak lebih 260,000 tempoh hari.

“Untuk mengelakkan daripada berlakunya satu lagi gelombang jangkitan, saya rasa ia adalah keputusan yang adil untuk mengambil langkah proaktif ini," kata Malina kepada BenarNews.

Seorang lagi doktor penyakit berjangkit Christopher Lee, yang juga merupakan bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Malaysia, berkata terdapat bukti mencukupi bahawa semua vaksin akan menurun keberkesanannya dalam tempoh tertentu.

"Terutama sekali dengan adanya varian Omicron kini, menerima vaksinasi dan dos penggalak menjadi sesuatu yang semakin penting," kata Lee kepada BenarNews.

Tambah beliau, kesan maksimum vaksin jenis mRNA akan mula menurun selepas enam bulan dos lengkap, dan menjadikan penerima terdedah kepada bahaya jangkitan terutama sekali mereka yang sudah berumur atau mempunyai komorbiditi.

"Keperluan golongan ini untuk menerima dos penggalak tidak lagi perlu dipersoalkan. Vaksin Sinovac pula dilihat menurun keberkesanannya lebih cepat, secepat tiga bulan.

"Data terkini terutama dari negara Chile menunjukkan bahawa dos ketiga selepas dua dos lengkap Sinovac mampu meningkatkan respon ketahanan badan dengan signifikan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh