Follow us

Sisters In Islam Gagal Dalam Permohonan Cabar Fatwa Kerajaan Selangor, Labelnya Sesat

Ali Nufael & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-27
E-mel
Komen
Share
Pelajar perempuan Islam sedang membaca salinan Al-Quran semasa sambutan Nuzul Quran di sebuah masjid di Bentong, Pahang, 22 Mei, 2019.
Pelajar perempuan Islam sedang membaca salinan Al-Quran semasa sambutan Nuzul Quran di sebuah masjid di Bentong, Pahang, 22 Mei, 2019.
[AFP]

Sisters in Islam [SIS], kumpulan yang memperjuangkan hak wanita Islam gagal dalam usaha mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor [JAIS] lima tahun lepas, yang menggelarkannya sebagai sesat, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan kumpulan tersebut.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada Julai 2014 telah mengeluarkan fatwa bahawa SIS yang ditubuhkan 31 tahun lalu, sebagai kumpulan yang mengamalkan "liberalisme dan pluralisme" agama telah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar serta sesat.

Hakim Nordin Hassan semasa membuat keputusan pada Selasa berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengeluarkan fatwa berkenaan telah bertindak berlandaskan enakmen syariah negeri tersebut.

“Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan berkenaan kerana berdasarkan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan isu tersebut sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah.

“Fatwa itu digubal mengikut peruntukan yang diberikan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam mendengar permohonan sebegini,” kata Hakim itu.

Nordin juga berkata SIS didaftarkan sebagai syarikat dan dikendalikan oleh orang Islam dan aktiviti SIS Forum juga terikat dengan undang-undang Islam dan fatwa negeri.

“Mahkamah juga mendapati keputusan yang dibuat Majlis Fatwa pada 14 Julai 2014 tidak menyalahi undang-undang dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Majlis Fatwa Selangor juga tidak mempunyai keperluan bagi mereka untuk memaklumkan kepada SIS berhubung tindakan yang diambil,” tambah Hakim itu lagi.

SIS telah memfailkan permohonan semakan kehakiman tiga bulan selepas fatwa itu digazetkan pada 2014, dengan turut memohon perisytiharan bahawa sebagai syarikat berhad ia tidak tertakluk dan terikat dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“SIS tidak kebal dengan fatwa itu. SIS mendakwa fatwa itu hanya tertakluk kepada manusia tetapi organisasi itu diwakili orang Islam maka ia masih terguna pakai. Oleh itu, fatwa itu terguna pakai,” kata Hakim itu semasa membuat keputusan tersebut.

Mahkamah itu juga menolak permohonan berkenaan dengan kos sebanyak RM10,000 [AS2$2,379].

Dalam satu kenyataan media selepas keputusan mahkamah tinggi itu, kumpulan berkenaan berkata keputusan mahkamah pada Selasa merupakan hari hitam buat semua wanita Islam di Malaysia dengan Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa mempersoalkan sama ada Perlembagaan Persekutuan masih lagi undang-undang mutlak di Malaysia.

“Keputusan berkaitan fatwa merupakan bidang kuasa negeri dan bukannya keputusan parlimen. Ia mempunyai kesan yang mengikis hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan fatwa tersebut boleh melangkaui Perlembagaan Persekutuan,” kata Rozana dalam kenyataan media itu.

SIS ditubuhkan pada 1988 memperjuangkan beberapa isu seperti  menamatkan perkahwinan bawah umur, sunat ke atas wanita, hak sama rata dalam perkahwinan Islam dan juga undang-undang keluarga Islam serta mengambil pendirian dalam jenayah berdasarkan gender dan kepolisian moral.

Di dalam carian web, e-fatwa Malaysia, SIS telah dilabel sesat oleh kerana fahaman liberal dan pluralismenya.

Peguam kontroversi Siti Kassim dalam kenyataan kepada media berhubung keputusan mahkamah itu berkata pihak yang sesat adalah pihak yang buta dalam melihat kerja keras SIS yang membantu golongan wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

“Kita harus lawan dan saya menyokong SIS seratus peratus. Mereka yang buta sahaja tidak nampak apa yang SIS telah lakukan,” kata Siti Kassim dalam muatnaik kenyataannya itu di laman Facebooknya sambil menambah bahawa keputusan hakim itu tidak masuk akal.

Sokong keputusan mahkamah

Dalam pada itu, beberapa individu turut menyokong keputusan mahkamah tersebut bagi mengekalkan status sesat keatas SIS.

Zainur Rashid Zainuddin daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa agar SIS bertaubat.

"Rakyat Malaysia perlu kenal dan sedar kesesatan yang dibawa oleh mereka ini. Bertaubatlah Sisters in Islam! Semoga dikurniakan hidayah," kata beliau kepada BeritaBenar.

Turut menyokong adalah ahli akademik Yasmin Hanani Mohd Safian daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)."SIS kalah di mahkamah dalam mencabar fatwa Negeri Selangor… SIS kekal sesat dan bukan mudah hendak menentang kesesatan yang nyata kerana tidak semua orang berani untuk nahi munkar," katanya kepada Berita Benar.

SIS ditubuhkan melalui idea tujuh wanita, Zainah Anwar, Amina Wadud, Askiah Adam, Norani Othman, Rashidah Abdullah, Rose Ismail and Sharifah Zuriah Aljeffri pada 1988, kemudiannya ia didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan [NGO] pada 1993 dengan nama SIS Forum Malaysia sebelum menggunakan Sisters In Islam sebagai nama rasmi.

Objektif asal SIS adalah untuk menuntut hak kesaksamaan gender, kebebasan, keadilan dan maruah di dalam Islam serta memperkasakan wanita Muslim untuk menjadi aktor perubahan negara.

Sejak penubuhannya, SIS sudah banyak menerima kecaman daripada golongan konservertif agama.

Pada 2009, parti Islam PAS menggesa kerajaan Barisan Nasional menyiasat SIS dan menyuruh agar anggota badan NGO itu bertaubat, selepas SIS menempelak PAS kerana menggesa hukuman mati kepada orang Islam yang keluar daripada agama dan menjadi murtad.

Komen (1)
Share

Hamba Allah

daripada Kuala Lumpur

Saya sarankan Yasmin Hanani dari USIM dan Zainur Rashid dari ISMA bertemu pihak SIS untuk mengenali satu sama lain sebelum mereka melebel SIS atau mana mana individu atau organisasi lain sebagai sesat. Jika ego mereka terlalu tinggi, carilah orang tengah untuk mendapatkan duduk perkara yang sebenar sebelum membuat tuduhan. Pandangan mereka sangat tidak mencerminkan nilai agama Islam yang mereka anuti. Perkara ini sangat menyedihkan. Saya belum pernah membaca atau mendengar SIS melebel pihak-pihak yang mengecam mereka.

Aug 29, 2019 12:02 AM

Lihat Laman Penuh