Follow us

Kaji Selidik: Wanita Malaysia Benarkan Suami Poligami

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-16
E-mel
Komen
Share
Wanita Islam Malaysia sedang mengambil gambar selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Jun, 2019.
Wanita Islam Malaysia sedang mengambil gambar selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Jun, 2019.
[AP]

Hampir tiga daripada empat wanita Islam di Malaysia percaya bahawa lelaki Islam mempunyai hak untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri, demikian menurut satu kaji selidik yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Pertubuhan bukan untuk meraih keuntungan itu, Sisters in Islam, dalam kaji selidik melibatkan seramai 675 wanita di seluruh Malaysia mendapati lebih daripada 21 peratus wanita Islam percaya bahawa suami mempunyai hak untuk memukul isteri mengikut beberapa keadaan termasuk keengganan untuk melakukan hubungan seksual.

"Lebih 70 peratus daripada responden menerima bahawa suami mempunyai hak untuk mengamalkan poligami jika suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isterinya," kata kumpulan itu. "Bagaimanapun, hanya 32 peratus daripada kesemua wanita yang ditemui itu  membenarkan suami berkahwin lain."

Kewajipan wanita Muslim untuk mentaati suami mereka "telah menyebabkan banyak situasi di mana isteri tidak mengambil kira bahaya atau ketidakadilan yang boleh dilakukan terhadap mereka," kata pertubuhan itu dalam satu laporan yang turut memuat naik kaji selidik tersebut.

"Wanita telah menyatakan bahawa mereka keberatan melaporkan keganasan rumah tangga, termasuk pemerkosaan dalam perkahwinan, kerana ini akan menyebabkan mereka mengkhianati suami, dan keluarga mungkin menganggap isteri sebagai tidak mentaati suami," kata Sisters in Islam.

Women’s Aid Organization [WOA], sebuah badan bukan kerajaan Malaysia yang menyediakan tempat perlindungan dan kaunseling percuma kepada wanita yang dianiaya dan didera, menyatakan bahawa ia merekodkan sebanyak 5,513 kes keganasan rumah tangga di negara itu sepanjang tahun lepas berbanding 3,468 kes pada 2000.

Namun, Sisters in Islam berkata undang-undang baru termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga yang diluluskan pada 1995 di Malaysia telah menyebabkan 94 peratus daripada responden kaji selidik itu percaya bahawa mereka boleh melaporkan penderaan mental atau fizikal terhadap mereka.

"Bagaimanapun, angka itu menurun dengan ketara kepada 69 peratus di mana terdapat keganasan seksual atau di mana suami memaksa hubungan seksual tanpa persetujuan isteri," kata pertubuhan itu.

"Apa yang membimbangkan sebanyak 21 peratus responden percaya bahawa suami mempunyai hak untuk memukul isterinya," kata beliau.

Kanun Keseksaan Malaysia memperuntukkan hukuman berat bagi keganasan rumah tangga termasuk penjara selama 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan merogol.

"Wanita-wanita Islam telah didoktrinasikan dengan mendalam supaya mentaati perintah suami sehingga menyebabkan mufti mengeluarkan fatwa bahawa wanita yang diserang atau dipukul oleh suami mereka dibenarkan untuk meninggalkan rumah," kata pertubuhan itu dalam catatan Twitter selepas melancarkan laporan kaji selidik berkenaan.

Sisters in Islam menyerahkan kepada Ipsos, sebuah firma penyelidikan dan perundingan global yang berpusat di Paris, untuk menjalankan kaji selidik itu yang bermula pada 2018. Para peserta adalah wanita yang berumur antara 18 dan 55 tahun.

Dalam laporannya yang berjudul "Persepsi dan Realiti: Hak Peribadi dan Umum Wanita Islam di Malaysia", Sisters in Islam menekankan bahawa keganasan rumah tangga "jelas melanggar prinsip-prinsip Al-Quran dan amat bertentangan dengan amalan Nabi Muhammad yang tidak pernah memukul isterinya dalam apa keadaan sekalipun."

Responden kaji selidik itu bersetuju bahawa meninggalkan rumah tanpa persetujuan suami atau keengganan untuk membuka pintu adalah antara contoh yang akan menyebabkan mereka boleh dipukul suami, kata Sisters in Islam.

"Mereka percaya bahawa ini adalah perbuatan isteri yang tidak mentaati suami, dan oleh itu suami dibenarkan memukul isterinya," kata pertubuhan itu.

Marina Mahathir, aktivis sosial terkenal Malaysia yang juga ahli Sisters in Islam, memberitahu akhbar China Morning Post bahawa pembuat dasar harus membaca hasil kaji selidik itu.

"Kaji selidik ini menunjukkan wujudnya keadaan berbeza berhubung apa yang diharapkan oleh wanita Islam dan apa yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan mereka,”katanya. “Keadaan ini semakin diterima kerana ramai yang percaya bahawa inilah cara yang sepatutnya,” kata Marina yang juga anak perempuan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Lihat Laman Penuh