Timbalan Menteri Malaysia Dikritik Kenyataan Sokong Keganasan Rumah Tangga
2022.02.14
Kuala Lumpur
Kumpulan pejuang hak wanita dan ramai individu dari pelbagai latarbelakang di Malaysia pada Isnin mendesak supaya seorang timbalan menteri negara itu meletakkan jawatan selepas beliau dilihat seperti mempromosikan keganasan rumah tangga dalam sebuah video yang dimuatnaik di laman media sosial hujug minggu lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata dalam video berdurasi 1:01 minit itu bahawa para suami boleh menggunakan "sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas" untuk "mendidik" isteri mereka yang tidak berdisiplin.
"Sekiranya dia tidak dengar juga selepas nasihat dan dipisahkan tempat tidur (selama tiga hari), masih amal perkara-perkara bercanggah perintah Allah, masih tidak berdisiplin, maka di situ kita (suami) boleh menggunakan cara sentuhan fizikal yang lembut, yang mendidik dengan kasih sayang, yang tak menyakitkan tapi menunjukkan ketegasan kita menunjukkan betapa kita hendak dia berubah," kata timbalan menteri itu dalam satu videonya.
Siti Zailah, yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS telah memberikan nasihat dalam dua video pendek yang dimuatnaik ke Facebook dan Instagram pada 12 Februari lepas mengenai bagaimana lelaki dan wanita patut bercakap dengan pasangan mereka apabila menyentuh mengenai perkara yang sukar ditangani.
Antara nasihat dikeluarkan beliau kepada kaum lelaki apabila isteri mereka melakukan perkara yang tidak disukai adalah supaya mereka menggunakan cara kaunseling, memisahkan tempat tidur mereka dengan isteri selama tiga hari, dan menggunakan "sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas" seperti yang dibenarkan oleh Islam.
Manakala nasihat beliau kepada kaum wanita pula adalah supaya mereka menunggu suami mereka sehingga mereka selesai makan, melaksanakan ibadah dan berada dalam mood yang baik sebelum memulakan perbualan mengenai isu yang sukar supaya dapat memastikan keharmonian rumahtangga.
Video nasihat beliau kepada lelaki itu telah ditonton lebih 16,000 kali di Instagram dan 12,000 kali di Facebook.
Video tidak sesuai
Anggota Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata bahawa nasihat oleh Siti Zailah itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
"Musim pandemik ini telah menyaksikan peningkatan kejadian keganasan rumah tangga, dengan kebanyakan mangsa adalah kaum wanita.
"'Nasihat' ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh timbalan menteri, dan merupakan sesuatu yang tidak membantu dan bertentangan dengan realiti serta keperluan semasa," kata beliau melalui laman media sosialnya.
Seorang lagi Anggota Parlimen pembangkang, Hannah Yeoh dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula menggesa Siti Zailah menerangkan apakah yang dimaksudkan beliau dengan "sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas".
"Ia adalah berbahaya untuk mengeluarkan video seperti ini - "lembut tetapi tegas" adalah sesuatu yang subjektif. Pergi bertanya dengan para doktor, aktivis dan organisasi bukan kerajaan yang terlibat dengan usaha menangani isu keganasan rumah tangga," kata Hannah.
Hannah merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat -- jawatan yang kini dipegang oleh Siti Zailah - sebelum pertukaran kerajaan pada 1 Mac dua tahun lepas.
Sisters in Islam, sebuah badan bukan kerajaan wanita Muslim yang terkenal dengan pandangan liberal, berkata bahawa video tersebut sesuatu yang mengejutkan.
"Ia adalah sesuatu yang menyedihkan apabila seorang Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat dan memuatnaik video yang menyokong perbuatan melayan wanita sebagai makhluk yang kurang nilai serta layak didisiplin dan dibetulkan tingkah laku mereka," kata organisasi itu dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan BenarNews pada Isnin.
Tambahnya, tidak wujud perkara seperti seorang suami memukul isteri dengan lembut.
"Keganasan adalah keganasan dan tidak ada yang boleh menjustifikasi bagaimana seorang suami patut "mendidik" atau "menegur" seorang isteri. Tambahan pula, naratif bahawa seorang suami dibenarkan mendidik isteri dengan memukul fizikal secara lembut membuka pintu kepada keganasan terutama sekali apabila tiada pun isteri yang pernah mengadu bahawa mereka pernah dipukul dengan lembut oleh suami," kata SIS.
Organisasi itu berkata naratif bahawa suami dibenarkan memukul isteri dengan cara lembut adalah sesuatu yang tidak lagi diterima atau boleh dipakai, termasuk di negara dengan majoriti penduduk beragama Islam.
SIS berkata video tersebut menyokong dan mengekalkan cara layanan tidak setaraf terhadap wanita dalam perkahwinan, yang boleh dikenakan hukuman disiplin dengan menggunakan cara fizikal.
Gabungan organisasi wanita yang menggelar diri mereka sebagai Joint Action Group for Gender Equality (JAG) berkongsi pandangan serupa dan mendesak Siti Zailah supaya meletakkan jawatan.
"Timbalan Menteri mesti meletak jawatan kerana mesej yang menormalisasikan keganasan rumah tangga, yang merupakan jenayah di Malaysia serta mengesyorkan idea dan tingkah laku yang bertentangan dengan prinsip kesaksamaan gender," kata JAG dalam satu kenyataan.
Nasihat mengikut ajaran Islam
Sementara itu, kumpulan Islamik ISMA yang dikenali dengan pendirian keras mengenai Islam dan Melayu menyokong video dibuat Siti Zailah dan menyatakan bahawa ia dibuat berdasarkan apa diajar oleh Islam.
NGO itu berkata bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan video tersebut sepatutnya melihat kepada faktor-faktor lain yang menyumbang ke arah keganasan rumah tangga seperti ketagihan dadah dan alkohol.
"Sebelum membuat sebarang komen yang tidak sepatutnya mengenai ajaran Islam, apa kata kita mengupas mengenai punca sebenar keganasan rumah tangga?
“Berapa banyak kes yang disebabkan oleh penagih dadah dan alkohol? Berapa banyak kes disebabkan oleh isu kesihatan mental yang berkaitan dengan status sosioekonomi serta beban hutang?
“Berapa banyakkah kes sedemikian melibatkan lelaki dan wanita yang alim dan mengikut ajaran Islam, atau ia adalah sebaliknya?" kata Penolong Ketua Sayap Wanita ISMA Fatimah Zaharah kepada BenarNews.
Fatimah berkata ajaran Islam mengajar cara holistik dalam kehidupan termasuk mengelakkan dari meminum minuman beralkohol yang mempunyai kesan buruk kepada kesihatan serta keadaan sosioekonomi sambil mempersoalkan mengapa tidak ada pujian diberikan kepada kumpulan Muslim yang memperjuangkan supaya minuman beralkohol disekat sebagai cara untuk mengurangkan kes keganasan rumah tangga.
"Mengapa mereka yang kononnya feminis antara ahli-ahli Parlimen begitu lantang seperti hero apabila mereka dapat mengambil ajaran Islam luar daripada konteksnya, dan menghentam orang Islam?" kata beliau, merujuk kepada komen yang dibuat Nurul Izzah dan Yeoh.
Sementara itu, rakyat Malaysia mempersoalkan cara Siti Zailah menggunakan sumber kementerian untuk membuat video berkenaan.
Pengguna Instagram Naim Mazeri dalam membalas komen netizen lain yang mempertahankan Siti Zailah berkata timbalan menteri itu sepatutnya memberikan fokus kepada perkara polisi berbanding mengeluarkan kenyataan berkaitan agama.
"Beliau bukan menteri yang bertanggungjawab ke atas isu hal-ehwal agama Islam. Peranan beliau lebih kepada polisi.
“Tidak salah untuk mengeluarkan nasihat keagamaan tetapi apabila beliau melakukan sesuatu yang bukan apa sepatutnya beliau lakukan dan mengeluarkan nasihat yang boleh dibuat orang lain, ia akan membuat orang menjadi marah. Termasuk orang Islam.
"Ia sudah jadi pembaziran sumber kementerian yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan kementerian itu," kata Naim.
Ia bukan kali pertama mesej dikeluarkan oleh kementerian tersebut menjadi sasaran kritikan ramai. Ketika negara berada dalam perintah berkurung disebabkan oleh pandemik COVID-19 pada 2020, kementerian itu telah beberapa muatnaik mesej di media sosial yang mencetuskan kemarahan ramai.
Antaranya termasuk nasihat kepada kaum wanita supaya bercakap dengan suara lembut seperti karakter 'Doraemon' dengan suami mereka bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga dan muatnaik berkenaan telah pun dipadamkan, selepas ia menerima kritikan orang ramai.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.