Malaysia Beri Skim Insuran Percuma Bernilai RM2 Bilion Kepada 4.1 Juta Keluarga

Hadi Azmi & Noah Lee
2018.12.28
Kuala Lumpur, Malaysia
181228-MY-LGE-1000.jpg Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 2 November 2018.
[AP]

Kerajaan Malaysia pada Jumaat mengumumkan pemberian perlindungan insurans dan takaful kesihatan percuma bernilai RM2 bilion kepada 4.1 juta isi rumah berpendapatan rendah melalui Skim Perlindungan Nasional B40, mulai Januari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, program perlindungan insurans percuma itu merangkumi 36 penyakit kritikal termasuk kanser, AIDS dan pemindahan organ yang melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak 2 bilion ringgit (AS$479.85 juta).

“Mereka yang layak akan menerima bayaran sehingga had 8 ribu ringgit (AS$1,919.40) dan bayaran harian semasa rawatan hospital sebanyak 50 ringgit (AS$12) sehari untuk tempoh maksimum 14 hari setahun atau bersamaan dengan 700 ringgit (AS$167.95) setahun,” kata Lim dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, skim berkenaan diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah atau keluarga berpendapatan di bawah 3,900 ringgit (AS$935.71) sebulan (B40) menerima bantuan kewangan sepanjang menjalani rawatan di hospital.

“Skim ini dijangka akan menawarkan perlindungan perubatan selama lima tahun untuk kumpulan sasar. Sebanyak 4.1 juta isi rumah B40 yang terdiri daripada individu berumur antara 18 hingga 55 tahun akan mendapat manfaat di bawah skim ini,” tambah Lim lagi.

Program di bawah Skim Perlindungan Nasional B40 itu telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Lim berkata, skim yang dibuat kali pertama dalam sejarah Malaysia itu adalah berpandukan janji Manifesto Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) dalam memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Skim ini adalah langkah penting kerajaan untuk menubuhkan jaringan keselamatan sosial dalam aspek perlindungan insuran dan takaful kesihatan bagi golongan berpendapatan rendah secara percuma,” kata Lim lagi.

Mereka yang layak akan dilindungi bermula dari 1 Januari ini manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan bermula pada 1 Mac 2019.

Pendaftaran boleh dilakukan secara elektronik melalui internet tanpa penggunaan borang kertas dan tiada pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan. Semua penerima yang layak di bawah Skim ini akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Kejar keuntungan

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Lim berkata, skim tersebut adalah hasil kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta, Great Eastern Life dengan dana berjumlah 2 bilion ringgit yang akan diuruskan oleh Bank Negara.

Pakar ekonomi dari Penang Institute, Lim Chee Han bagaimanapun mempersoalkan sistem berkenaan, kerana kerajaan tidak menyatakan sebarang mekanisme keuntungannya.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam polisi kesihatan turut menyuarakan kebimbangan berlakunya konflik kepentingan apabila berurusan dengan hospital swasta yang fokus utamanya adalah mengejar keuntungan.

“Bergantung kepada mekanisme pembayaran kepada golongan B40 yang layak, ia boleh dijangkakan yang dana tersebut akan habis dan dana baru perlu diperoleh.

“Jika kerajaan gagal mengawal selia dana itu, hospital swasta ada peluang untuk mengambil kesempatan dengan memperkenalkan pemeriksaan dan diagnostik yang berlebihan kepada pesakit," kata Chee Han kepada BeritaBenar.

"Maka satu sistem semak dan imbang adalah mustahak untuk mengelakkan tuntutan melampau sebegitu," katanya.

Tambahnya, mana-mana pesakit yang telah melebihi had 8 ribu ringgit (AS$1,919.40) yang dikenakan oleh kerajaan dan masih memerlukan rawatan susulan akan berhadapan dengan masalah kewangan kerana mereka perlu mengeluarkan wang sendiri.

“Jumlah 8 ribu ringgit (AS$1,919.40) agak rendah berbanding kos rawatan dan agak tidak realistik untuk mereka menyambung pembayaran memandangkan mereka adalah dari golongan B40,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan dana dua bilion ringgit (AS$479.85 juta) tersebut untuk memperbaiki perkhidmatan hospital kerajaan yang masih ketinggalan.

“Dua billion ringgit (AS$479.85 juta) adalah jumlah yang besar, walaupun jika dibandingkan dengan jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 kepada Kementerian Kesihatan iaitu 28.7 bilion ringgit (AS$6.9 bilion), " katanya.

Sementara itu, Pakar Sosiologi Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi menyambut baik dasar kerajaan itu dengan berkata golongan B40 perlu dibela kerajaan.

“Namun skim ini perlu telus dari segi pelaksanaan dan tidak ada unsur memanipulasi sehingga boleh menyebabkan golongan itu terjebak dalam sebarang komitmen atau bebanan hidup,” katanya.

Di samping itu, beliau menambah yang skim tersebut dapat menarik sokongan B40 menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam memasuki tahun 2019, pentadbiran kerajaan pertama PH turut mengumumkan untuk membelanjakan sejumlah 972.75 juta ringgit (AS$234 juta) bagi membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun 2019.

Keputusan itu dibuat sebagai kompromi terhadap janji manifesto gabungan parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menjanjikan penghapusan semua tol lebuh raya yang masih belum berjaya ditunaikan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan melalui menterinya berkata keputusan tersebut berdasarkan kepada tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat Malaysia.

“Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan. Pembekuan ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut,” kata Lim.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.