SKMM, Polis dan Jakim Bekerjasama Sekat Media Sosial Ekstremis

S. Adie Zul
2015.12.31
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151231-MY-IS620 Imej propaganda yang disiarkan oleh saluran media Islam Welayat Salahuddin pada 11 Februari 2015, yang antara lain mendakwa seorang jihadi dari Perancis, yang dikenali sebagai Abu Tala al-Faransi, atau nama sebenarnya Pierre Choulet, merupakan seorang anggota Kumpulan Militan Negara Islam (IS) militan, di suatu lokasi yang tidak
AFP

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  sedang bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyekat semua laman media sosial termasuk laman video Youtube yang mempunyai elemen penyebaran ajaran sesat dan berunsur ekstremis.

Ketua Pegawai Jaringan Sekuriti dan Pengurusan Media Baru SKMM, Dr Mazlan Ismail semasa dihubungi BeritaBenar berkata, agensi itu dengan bantuan beberapa jabatan berkaitan sedang mengenal pasti pengguna laman sosial, web and video yang dipercayai menyebarkan fahaman militan di Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendedahan PDRM mengenai kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang sangat aktif memuat naik kira-kira 100,000 maklumat mengenai aktiviti mereka setiap hari menerusi pelbagai laman media sosial dalam usaha mempegaruhi minat orang ramai untuk menyertai kumpulan itu.

“Kita sedang berkerjasama dengan semua pihak berkepentingan antaranya PDRM, Jakim dan beberapa jabatan berkaitan dalam meneliti kandungan maklumat yang cuba disampaikan oleh kumpulan-kumpulan ektremis ini,” kata beliau.

Sambil tidak menolak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat mempengaruhi dan menyebarkan ideologi sesat dan ekstremis, Mazlan turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan ideologi ekstremis dalam laman media sosial itu.

Pada Ahad lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Polis Bukit Aman  Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan  pemantauan pihak polis ke atas beberapa laman sosial popular seperti Twitter, Facebook dan Instagram mendapati kira-kira 100,000 maklumat mengenai ideologi dan kegiatan kumpulan itu dimuat naik dalam kesemua laman media sosial berkenaan.

‘Media maya pilihan utama’

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial (Kriminologi) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr P. Sundramoorthy ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Ayob Khan berkata, teori bahawa media maya adalah pilihan utama kumpulan militan itu dalam merekrut ahli-ahli baru adalah jelas.

“Internet khususnya media sosial telah menjadi medium utama kepada IS dalam menyebarkan maklumat dan ideologi mereka kerana media sosial adalah medium yang paling popular dalam kalangan masyarakat.

“Golongan muda masa kini amat terdedah kepada media sosial dan IS mengambil kesempatan itu untuk menyebarkan dakyah mereka serta merekrut ahli baru dari seluruh pelusuk dunia... Malaysia tidak terkecuali," katanya kepada BeritaBenar.

Sundramoorthy berkata, pihak berkuasa Malaysia telah mengambil pelbagai pendekatan proaktif untuk memantau dan mengambil tindakan bagi mengekang penularan ideologi militan, tetapi ia bukan satu tugas yang mudah.

"Kita berbicara tentang media sosial tanpa sempadan. Kita boleh menyekat sesuatu akaun laman sosial atau sesuatu laman web tetapi mereka boleh mengggunakan akaun dan laman baru.

“Cabaran  amat besar tetapi pihak berkuasa Malaysia memerlukan sokongan segenap lapisan masyarakat dalam memerangi penularan fahaman ektsremis ini," jelasnya.

Pendedahan oleh Ayob turut mendapat perhatian pendakwah bebas Wan Akashah Wan Abdul Hamid, yang menyarankan SKMM supaya segera menyekat video penceramah bebas yang menyampaikan dakwah berunsurkan ekstremis melalui media sosial.

Wan Akashah meminta pihak berkuasa memantau penceramah yang menggunakan platform media sosial bagi memastikan penularan fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat dibendung lebih awal.

"Dalam hal ini, pihak polis perlu menyenaraikan individu yang dilihat berhujah tanpa asas dengan memanipulasi Al-Quran dan Hadis untuk membawa fahaman ekstremis melalui YouTube," katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam perkembangan yang sama, Ayob meminta semua pihak memandang isu penularan fahaman sesat di Malaysia sebagai sesuatu yang serius dan bukan hanya terletak di atas bahu pihak PDRM semata-mata.

Pegawai kanan Polis bahagian Counter Terrorism itu turut menyarankan Jabatan Agama Islam Negeri berkerjasama dengan PDRM kerana kumpulan militan IS sentiasamemperkenalkan kaedah terbaru untuk membolehkan sesiapa sahaja menyertai kumpulan mereka.

Beliau berkata, cara terbaru yang diperkenalkan oleh kumpulan militan itu ialah kaedah bai'ah (ikrar untuk menyertai IS) yang boleh dibuat menerusi laman sosial tanpa perlu bersemuka dengan anggota kumpulan.

"Cara ini dilihat dapat menjadikan fahaman itu lebih mudah menular dalam kalangan masyarakat seterusnya mempengaruhi golongan muda yang cetek ilmunya dalam bidang agama," kata Ayob seperti dilaporkan media tempatan pada Ahad lalu.

Beliau juga dilaporkan berkata, ancaman fahaman militan dan ekstremis tidak akan reda, malah semakin meruncing.

Sementara itu, Sundramoorthy turut bersetuju yang PDRM sangat memerlukan sokongan erat daripada jabatan agama kerana hanya mereka mempunyai kepakaran dalam menentukan intipati ceramah agama di pelbagai platform media sosial yang mengandungi unsur ideologi militan dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Mufti Kedah, Muhamad Baderudin pula berkata, pihaknya sentiasa berkerjasama erat dengan PDRM, dalam mengekang ancaman penyebaran dakyah IS dalam kalangan penduduk di negeri itu.

"Kita juga bekerjasama dalam memantau program-program ceramah dan akademik berunsurkan Islam," katanya ketika dihubungi BeritaBenar.

‘Pelajar sertai Al-Qaeda’

Dalam perkembangan lain, seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di Selangor atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Mohamad Hidayat Azman, 19, bekas pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah dihadapkan ke mahkamah itu pada Khamis atas dakwaan memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan pengganas itu.

Bekas pelajar berasal Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Syria antara 5 Sept 2014 hingga 1 Sept tahun ini.

Beliau ditahan polis sekembalinya daripada Turki pada 7 Disember lalu.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Hidayat, seperti yang dilaporkan Bernama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika didapati bersalah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.