Tidak Solat Jumaat: 4 Lelaki, 2 Bawah Umur Dihukum Penjara Sebulan, Denda

Ali Nufael & Noah Lee
2019.12.02
Kuala Lumpur, Malaysia
191202-MY-Solat-Islam1000.jpg Seorang lelaki Islam Malaysia berjalan di dalam Masjid Wilayah sebelum menunaikan solat Jumaat pada bulan Ramadhan di Kuala Lumpur, 19 Jun 2015.
[AP]

Mahkamah Syariah Terengganu pada Ahad telah menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda melebihi RM2,000 setiap seorang terhadap enam lelaki termasuk dua dibawah umur selepas kesemuanya mengaku bersalah tidak menunaikan solat Jumaat pada Ogos lepas.

Hukuman keatas enam lelaki termasuk remaja berkenaan yang dipercayai yang pertama di Malaysia melibatkan kesalahan tidak solat Jumaat itu dilihat pengkritik sebagai satu hukuman keras dan memberi persepsi buruk kepada Islam.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman terhadap mereka selepas kesemuanya mengaku bersalah apabila kertas pertuduhan mengatakan dengan sengaja tidak menunaikan solat Jumaat dibacakan terhadap mereka.

Empat tertuduh yang berusia 19, 22, 25, dan seorang bapa kepada dua anak berusia 35, bersama dua remaja bawah umur berusia 17 tahun mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nik Mohd Shahril Irwan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kawasan perkelahan Air Terjun Sekayu, di Kuala Berang, Hulu Terengganu, antara jam 1 dan 1.50 tengah hari pada 23 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 (AS$717) atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sejurus selepas pengakuan direkodkan, Hakim Nik Mohd Syahri menjatuhkan hukuman denda RM2,500 (AS$598) dan sebulan penjara terhadap bapa kepada dua anak itu, manakala lima yang lain yang masih bujang termasuk remaja bawah umur dijatuhi hukuman denda RM2,400 (AS$574) dan sebulan penjara setiap seorang.

Kesemua mereka turut berdepan hukuman tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bercakap kepada BeritaBenar, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah berkata tertuduh tidak diwakili peguam.

"Mereka ditahan dalam satu operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di kawasan terbabit.

"Anggota wanita ditempatkan terlebih dahulu untuk pemantauan sebelum penguatkuasa lelaki menyerbu sebaik selesai solat Jumaat," kata Khasmizan.

September tahun lepas, Mahkamah Syariah di negeri yang sama turut menjalankan hukuman sebatan enam kali setiap seorang ke atas dua wanita kerana disyaki melakukan hubungan sejenis. Hukuman itu, yang pertama dijatuhkan di Malaysia dan dibuat di hadapan lebih 100 orang termasuk orang awam, ahli keluarga, peguam dan pelapor media.

Dalam pada itu, Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan pada lewat Ahad berkata hukuman yang dijatuhkan kepada semua tertuduh adalah satu bentuk hukuman berat hanya kerana meninggalkan solat Jumaat.

Majlis Peguam berkata walaupun ianya termaktub dalam hukum syarak, bentuk hukuman yang dikenakan mestilah juga bersifat ehsan.

"Majlis Peguam berpendapat hukuman itu haruslah bersifat ehsan dan tidak berat dengan niat memberi peluang dan bukannya menghukum. Sehubungan itu, Majlis Peguam mahu supaya hukuman ini dirujuk semula untuk menunjukkan sifat lemah lembut dalam hukum syariah," kata Majlis Peguam dalam satu kenyataan.

Mufti Pulau Pinang Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi turut bersetuju dengan kenyataan Majlis Peguam.

"Bentuk hukuman tidak diberitahu dalam kitab Al-Quran. Ia berlandaskan budi bicara hakim oleh itu, hukuman sepatutnya kepada yang lebih mendidik. Adakah ini baru pertama kali atau sudah berulang kesalahan?... Jika baru pertama kali sepatutnya diberikan dengan amaran.

“Hukuman yang dijatuhkan ini bagi saya adalah sesuatu yang berat. Imej Islam perlu dijaga, dalam berdakwah kita kena tunjukkan bahawa agama ini adalah agama rahmat," kata Wan Salim.

Mufti itu turut berkata hukuman penjara serta denda itu seolah-olah menunjukkan bahawa ajaran Islam itu adalah satu ajaran yang keras.

Sementara itu, Pengarah Akademik Saudara Research Centre Wan Ji Wan Hussein berkata walaupun tidak menunaikan solat Jumaat bagi orang lelaki adalah dosa besar, namun, bukan semua dosa besar itu ada undang-undang dan hukuman.
Mengambil contoh kesalahan mengumpat, Wan Ji berkata Al-Quran atau hadis, tidak pernah menyatakan wujudnya hukuman bagi orang yang mengumpat.

"Di dalam Al-Quran ada menyatakan dosa besar bagi orang yang mengumpat, tetapi Al-Quran atau hadis, tidak pernah menyatakan wujudnya hukuman bagi orang yang mengumpat.

"Pun begitu, wajib bagi orang yang melakukan dosa besar itu bertaubat. Maka demikian juga dalam hal melibatkan mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat," kata Wan Ji.

Beliau menambah, dalam sejarah umat Islam dan sejak turun-temurun, amalan hukuman kepada orang yang tidak solat Jumaat, adalah perbuatan yang diamalkan oleh golongan Taliban.

Selain Terengganu, Kedah turut menguatkuasakan undang-undang memenjarakan lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid.

Bermula dari 2015, mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut di Kedah, boleh dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 (USD300) atau kedua-duanya sekali, menurut Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah), yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun 2014.

Sebanyak 60 peratus penduduk di Malaysia adalah beragama Islam dengan perkara berkaitan agama di negeri-negeri di Malaysia dikawal oleh badan agama yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang yang mereka anggap wajar melalui sistem mahkamah syariah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.