Malaysia lulus undang-undang suri rumah dapat perlindungan keselamatan sosial

Menerusi skim itu, suri rumah akan mendapat pelbagai faedah termasuk perubatan dan perlindungan dengan menyumbangkan sebanyak RM120 ringgit setahun.
Noah Lee
2022.07.25
Kuala Lumpur
Malaysia lulus undang-undang suri rumah dapat perlindungan keselamatan sosial Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 14 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) yang memberikan manfaat keselamatan sosial kepada lebih tiga juta suri rumah berusia di bawah 55 tahun di negara itu, dengan bayaran serendah RM10 (AS$2.25) sebulan.

Mereka yang layak untuk menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) itu, akan mendapat beberapa faedah termasuk perubatan, rawatan dialisis, rehabilitasi fizikal dan bantuan kecacatan kekal; serta wang pencen, antara lain.

Rang Undang-Undang itu diluluskan melalui undi suara selepas dibahaskan lebih tiga jam oleh 19 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, di mana Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan yang Rang Undang-Undang itu diluluskan tanpa pindaan selepas bacaan kali ketiga, semasa sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin.

"Suri rumah yang layak diliputi ialah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Liputan ini terpakai kepada suri rumah yang berumur kurang 55 tahun," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim ketika membentangkan rang undang-undang itu.

Semasa sesi tersebut, Awang berkata suri rumah adalah golongan yang wajar diberikan perlindungan kerana mereka merupakan tulang belakang kepada ahli keluarga dan masyarakat.

SKSSR yang disediakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu merupakan perluasan jaringan keselamatan sosial kepada kumpulan masyarakat yang tidak dilindungi selama ini.

Menurut Awang, undang-undang baru itu menyediakan faedah hilang upaya dan faedah keilatan kepada suri rumah yang mencarum, meliputi faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, pencen penakat, faedah pengurusan mayat, dan elaun keuzuran.

"Caruman hendaklah dibayar terlebih dahulu pada kadar RM120 (AS$26.95) setahun bagi tempoh 12 bulan bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah," kata Timbalan Menteri itu lagi.

Caruman tersebut adalah secara sukarela, dan sesiapa termasuk suami dan suri rumah sendiri boleh mendaftar untuk menyertai skim berkenaan.

Seramai 150,000 suri rumah yang berdaftar di bawah program bantuan kerajaan i-Suri akan turut dicarumkan untuk tidak membebankan golongan suri rumah dari kumpulan miskin tegar.

Wakil rakyat pembangkang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Hannah Yeoh dalam debat sebelum undang-undang itu diluluskan menyifatkan penyamaan nilai kerja seorang suri rumah dengan wang sebanyak RM600 (AS$134) juga adalah satu penghinaan kepada kaum wanita.

"Saya sokong undang-undang begini tapi menyamakan bayaran 'pay out' dengan gaji bulanan anggapan bagi suri umah adalah RM600, ia sangat menghina. Ia menyifatkan kalau kita pecahkan kepada RM20 sehari - iaitu kerja sehari boleh dapat dua pinggan nasi sahaja,” kata beliau.

Beliau sebelum itu turut meminta supaya terma suri rumah turut diperluaskan meliputi lelaki yang tidak bekerja dan melalukan tugasan suri rumah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.