Tunai Janji Untuk Semak Semula Sosma

S. Adie Zul
2015.11.09
151109-MY-SOSMA620 Penunjuk perasaan memegang poster semasa berarak ke Parlimen, di Kuala Lumpur, membantah undang-undang kontroversi yang mengawal perhimpunan awam. 29 November 2011.
AFP

Majlis Peguam mendesak kerajaan Malaysia menunaikan janji yang dibuat tiga tahun lalu, iaitu mewujudkan jawatankuasa bebas bagi menyemak semula undang-undang Sosma untuk menangani ancaman terhadap keselamatan negara, tetapi kini disalah gunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada April lepas itu, didapati memberikan kuasa terlalu banyak kepada penguatkuasa undang-undang dan pendakwa, dan tidak mempunyai mekanisme untuk pengawasan kehakiman, kata Presiden badan guaman itu, Steven Thiru, kepada BeritaBenar.

Pada April 2012, Perdana Menteri Najib Razak telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu yang akan turut dianggotai oleh Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), sebagai salah satu kaedah untuk memperbaiki Sosma dari semasa ke semasa ketika beliau membentangkan Rang Undang-Undang itu di Dewan Rakyat.

Steven berkata, kerajaan perlu mempercepatkan penubuhan jawatankuasa bebas tersebut, agar semakan dapat dibuat serta memberi ruang kepada Majlis Peguam memberi pandangan dan meluahkan kebimbangan anggota majlis mengenai perlaksanaan undang-undang tersebut.

“Dengan adanya jawatankuasa itu, kita boleh memberi cadangan kepada kerajaan untuk memperbaiki undang-undang Sosma bagi memastikan ia berada pada landasan yang betul, sesuai dengan tujuan penggubalannya," katanya kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada ketika ini, Steven menambah, terdapat banyak kelonggaran dalam perlaksanaan undang-undang itu, yang dilihat tidak memberi lindungan dan jaminan yang mencukupi terhadap individu yang disiasat polis dibawah akta berkenaan.

Pihak berkuasa diberi kuasa sewenangnya untuk membuat penahahan. Imbangan kuasa di pihak pendakwaan sangat kurang, dan terdapat juga kelonggaran dalam perlaksanaan Sosma, terutamanya yang melibatkan bidang kuasa. Terdapat juga kelemahan dari segi melindung dan menjamin keselamatan individu yang disiasat, serta kebebasan menggunakan kuasa bagi pihak yang mempunyai kuasa, tambah beliau.

Steven memberi contoh perkembangan terkini yang membimbangkan pengamal undang-undang dalam penggunaan Sosma, terutamanya dalam kes penahanan pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Khairuddin Abu Hassan, yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan dan peguamnya Matthias Chang pada September lalu.

Khairuddin, 53, and Chang, 65, telah ditahan Polis dan didakwa kerana mensabotaj perkhidmatan perbankan dan institusi kewangan Malaysia di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi enggan membenarkan permohonan ikat jamin ke atas kedua-dua mereka atas alasan pertuduhan ke atas mereka mempunyai kaitan dengan undang-undang Sosma.

‘Kesal’

Steven berkata, Majlis Peguam kesal dengan penyalahgunaan Sosma oleh pihak berkuasa dalam penangkapan, penahanan dan pendakwaan terhadap kedua-dua individu itu.

Majlis Peguam berpendapat adalah mustahil untuk mempercayai bahawa apabila seseorang mengambil inisiatifnya sendiri dalam meminta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa menyiasat amalan rasuah yang mungkin berlaku pada peringkat tertinggi Kerajaan, ia dilihat sebagai percubaan untuk mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Apabila satu kebimbangan yang boleh dipercayai dibangkitkan oleh individu kepada agensi antarabangsa,  ini menandakan mekanisma untuk menyiasat rasuah telah lumpuh atau dilemahkan. "Maka kita semua sedia fahami bahawa terdapat jalan untuk mendapatkan bantuan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang di luar negara. Oleh itu, tindak balas Kerajaan dalam hal ini menjadi satu tanda tanya."

"Tuduhan terhadap Matthias menarik kecaman tambahan kerana beliau telah menyatakan secara konsisten bahawa tindakannya adalah dalam kapasitinya sebagai peguambela dan peguamcara yang menasihati anak guamnya. Oleh itu, penangkapan, penahanan dan pendakwaannya jelas melanggari Prinsip Asas Pertubuhan,” tambah Steven.

Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam, telah mensyaratkan bahawa peguam tidak boleh dikaitkan dengan anak guam mereka atau perjuangan anak guam mereka semata-mata kerana mereka mewakili anak guam berkenaan.

Baru-baru ini, semasa berucap di satu forum bertajuk "Sosma - Musang Berbulu Ayam?" yang diadakan di Kuala Lumpur, bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail telah menggesa Majlis Peguam dan Suhakam supaya merujuk kepada Najib berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa itu seperti yang dijanjikan tiga tahun lepas.

‘Wujud Perdebatan’

Abdul Ghani, yang turut terlibat dalam penggubalan Sosma, mempertahankan akta itu, yang menurutnya digubal untuk menangani kegiatan keganasan, yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, memantapkan sistem keadilan jenayah yang menyeluruh bagi mengendalikan penangkapan, pendakwaan dan perbicaraan.

"Dalam kes Sosma, ia telah diperkenalkan untuk menangani keganasan dan kesalahan lain berkaitan keselamatan tetapi ia tidak pernah bertujuan untuk menyekat perbezaan pendapat politik," ujar Abdul Gani dalam ucapanya di forum tersebut.

Bagi Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) Ambiga Sreenevasan, apa yang ditegaskan oleh Abdul Ghani mengenai fungsi Sosma di forum itu adalah selari dengan kebimbangan yang telah disuarakan oleh banyak pihak sebelum ini.

"Abdul Ghani telah menjelaskan apa yang kita fahami tentang fungsi Sosma yang sebenarnya, dan apa yang telah dinyatakan di Parlimen. Jadi adalah jelas bahawa Sosma bukan undang-undang untuk menahan mana-mana individu tanpa dibenarkan ikat jamin seperti Matthias dan Khairuddin, kerana tujuan asal Sosma adalah untuk mengekang aktiviti pengganas," katanya kepada BeritaBenar.

Ambiga, yang juga bekas presiden Majlis Peguam, juga menegaskan usaha untuk mengkaji semula perlaksanaan undang-undang Sosma adalah amat penting dan perlu disegerakan.

"Penubuhan jawatankuasa itu adalah janji yang telah dibuat di Parlimen. Oleh itu Perdana Menteri mesti berpegang kepada janjinya," katanya.

Malaysian Civil Society, sebuah gabungan lebih 30 pertubuhan badan bukan kerajaan berkata, undang-undang Sosma sepatutnya digunakan untuk menangani ancaman keganasan, bukannya digunakan sebagai alat 'tahanan politik,' sambil mendakwa perbuatan tersebut adalah seperti "melangkah ke belakang," setelah kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.