Malaysia lulus lanjutan lima tahun Subseksyen 4(5) SOSMA

Maria Chin Abdullah yang pernah ditahan dibawah SOSMA mempertikai bagaimana Akta yang telah dibatalkan di Parlimen boleh dikembalikan.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
2022.07.26
Kuala Lumpur
Malaysia lulus lanjutan lima tahun Subseksyen 4(5) SOSMA Sebilangan keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan sokongan beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan berhimpun di luar bangunan Parlimen membantah penggunaan tahanan tanpa undang-undang perbicaraan di Kuala Lumpur, 21 November 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah meluluskan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), undang-undang kontroversi yang membenarkan suspek ditahan selama 28 hari tanpa tuduhan atas dakwaan kesalahan keselamatan negara, walaupun mendapat tentangan kuat daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Peruntukan subseksyen itu, yang dikatakan pengkritik sering disalahgunakan atas sebab politik, diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai, walaupun kerajaan telah dimalukan apabila gagal meluluskan usul tersebut di Parlimen pada Mac lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun semasa sidang pada Selasa berkata usul itu diluluskan selepas 111 Ahli Parlimen mengundi memihak kepada perlanjutan undang-undang berkenaan, manakala 88 lagi menentangnya dengan 21 lagi tidak hadir untuk mengundi.

"Jika kita ingin berhujah mengenai konsep keadilan…, akta ini (SOSMA) juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan seperti peluang untuk berjumpa peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin semasa membahaskan ulus berkenaan di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

SOSMA yang mula berkuatkuasa sejak 22 Jun 2012 menyediakan langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, selain menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berdasarkan peruntukan mengikut Subseksyen 4(5), Akta SOSMA itu, ada menyatakan bahawa "seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada dua puluh lapan hari" bagi tujuan menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, akta yang sama turut menetapkan bahawa peruntukan Subseksyen 4(5) "hendaklah disemak" setiap lima tahun dan terhenti berkuatkuasa kecuali ia dilanjutkan melalui ketetapan yang dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sejak pertama kali berkuatkuasa sepuluh tahun lepas, peruntukan tersebut pernah diberikan pelanjutan oleh Parlimen pada 2017 dan berkuatkuasa sehingga 31 Julai 2022.

Hamzah semasa penghujahannya berkata, walaupun akta itu memperuntukkan 28 hari untuk melakukan siasatan, namun, pihak polis hanya mempunyai 21 hari untuk berbuat demikian kerana perlu menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara, tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari itu.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa Menteri Dalam Negeri itu bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lepas yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi.

Parlimen bagaimanapun memperuntukkan klausa matahari terbenam, untuk menyemak semula peruntukan tersebut bagi setiap lima tahun.

Hamzah telah pertama kali membentangkan usul lanjutan tersebut pada 23 Mac lepas, tetapi gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Parlimen negara itu mengundi menolak usul yang dicadangkan kerajaan untuk melanjutkan peruntukan kontroversi dalam Akta SOSMA itu.

Ia sekaligus mencetuskan gesaan dari parti pemerintah yang mahukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan perjanjian persefahaman yang dibuat dengan pembangkang pada September tahun lepas, yang antara lain berjanji memberi kerjasama kepada Putrajaya dalam semua isu utama sehingga 31 Julai ini.

Kemenangan tipis pihak pembangkang itu menyaksikan seramai 50 Ahli Parlimen tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat semasa undian dibuat termasuk bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Najib Razak serta Presiden UMNO Zahid Hamidi.

Akta batal dikembalikan

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang pernah ditahan di bawah Akta SOSMA semasa berjuang sebagai seorang aktivis pada 2016 membantah perlanjutan lima tahun lagi Subseksyen 4(5) akta berkenaan.

“Saya masih tidak boleh menerima bagaimana sebuah Akta yang telah dibatalkan boleh di kembalikan dengan penjelaskan yang amat lemah. ISA dan SOSMA adalah Akta dan prosedur yang mengabaikan Kedaulatan Undang-undang.

“Saya tidak menentang usaha untuk mengawal dan menangani terrorism dan jenayah terancang walaupun saya percaya bahawa kita mempunyai undang-undang yang cukup kuat untuk menangani cabaran ini,” kata Ahli Parlimen pembangkang itu.

Maria turut mempertikaikan hujah Menteri Dalam Negeri bahawa SOSMA tidak akan digunakan untuk tujuan politik sambil mengingatkan Menteri berkenaan yang beliau pernah ditahan kerana dituduh terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Walaupun Sub-seksyen 4(3) dikatakan “tidak ada kaitkan dengan kepercayaan politik atau aktiviti politik”, sekali lagi saya ingin mengingatkan Menteri bahawa saya telah ditahan kerana dituduh melibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dengan SOSMA sebagai prosedur telah digunakan,” tegas beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa di bawah SOSMA, kedaulatan undang-undang tidak dipatuhi kerana perbicaraan mahkamah tidak boleh mengarahkan Pendakwa Raya mengemukakan sebarang kenyataan atau ringkasan maklumat yang dianggap sensitif, atau memudaratkan keselamatan negara.

“Ini menjadikan pendakwaan sangat mencabar. Bahagian paling tidak adil dalam SOSMA ialah tertuduh boleh ditahan di penjara sehingga rayuan terakhir selesai walaupun perbicaraan mahkamah telah membebaskan tahanan tersebut,” tambah Maria.

Seorang peguam di Kuala Lumpur, Syahredzan Johan dalam ciapan di laman media sosial Twitternya melahirkan rasa kecewa apabila Ahli Parlimen daripada parti Bersatu dan PAS yang pernah menentang undang-undang berkenaan menyokong perlanjutan tempoh lima tahun lagi undang-undang yang dikatakan tidak menjamin perbicaraan yang adil bagi tertuduh.

“Barisan Nasional sememangnya tiada masalah dengan undang-undang zalim. Tetapi bila melihat ahli Parlimen daripada Bersatu dan PAS juga menyokong usul ini, saya lebih kecewa.

“Ada di antara mereka di sebelah sana yang dahulunya begitu menentang SOSMA. Hari ini, pendirian mereka berubah,” kata Syahredzan sambil menceritakan pengalaman beliau mengendalikan kes di mahkamah melibatkan tahanan di bawah SOSMA yang didakwanya dipaksa untuk mengaku kesalahan selepas diberikan tekanan termasuk mahu menahan keluarga tahan.

Seorang lagi pemilik akaun twitter yang dikenali sebagai ‘nabilhaziq’ dalam ciapannya berkata “kelakar betul MP dari PAS ni sokong rang undang-undang SOSMA dan IPCC… ingatkan memperjuangkan nilai-nilai Islam… apa entah yang bernilai Islam dalam dua undang-undang tu … Kalau ya pun nak talian hayat politik, janganlah berlaku zalim dengan menyokong dua RUU tu. Kecewalah”.

Hamzah pada Mac lepas memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejak 2016 hingga Januari 2022, seramai 3,717 suspek telah ditahan dibawah SOSMA atas kesalahan berkaitan pembabitan mereka dalam aktiviti berunsurkan keganasan, penyeludupan manusia, jenayah terancang, dan kesalahan lain yang "kompleks".

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.