Follow us

Malaysia Akan Mansuh Undang-Undang Keselamatan Kontroversi, Kata PM Mahathir

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-23
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menjawab soalan daripada wartawan ketika ditemu bual di Putrajaya, 19 Jun 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menjawab soalan daripada wartawan ketika ditemu bual di Putrajaya, 19 Jun 2018.
[Reuters]

Saranan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad untuk memansuhkan undang-undang antikeganasan kontroversi yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan telah mendorong parti pembangkang menolak rancangan beliau pada Isnin, dan memberi amaran bahawa langkah itu mampu menggugat keselamatan negara.

Sejak mengambil alih kuasa selepas pilihan raya umum 9 Mei, kerajaan Mahathir telah memperjuangkan “kedaulatan undang-undang” di negara majoriti Islam itu dan berikrar untuk membatalkan undang-undang menindas yang diperkenal oleh pemimpin terdahulu, Najib Razak.

“Undang-undang Najib kalau dia tangkap tidak bawa ke mahkamah, kalau mati tiada inkuiri dan tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang membunuh individu yang ditangkap itu,” kata Mahathir merujuk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, yang juga dikenali sebagai SOSMA.

“Itu undang-undang yang diluluskan oleh Najib dan kami akan mansuhkan undang-undang itu,” kata Mahathir, 93, ketika berucap pada majlis makan malam bagi mengumpul dana pada Ahad di daerah Klang berhampiran Kuala Lumpur.

Di bawah SOSMA, yang berkuat kuasa pada 31 Julai 2012, pihak berkuasa Malaysia boleh menahan suspeks sehingga 28 hari tanpa perbicaraan. Undang-undang itu telah menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang membenarkan penahanan sehingga dua tahun tanpa memerlukan pihak berkuasa membawa suspek ke mahkamah.

“Rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika ada, akan ditentukan oleh mahkamah…mahkamah akan tentukan salah atau tidaknya seseorang itu,” kata Mahathir.

Ahmad Zahid Hamidi, yang baru-baru ini menggantikan Najib sebagai pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), berkata SOSMA telah digubal untuk melindungi keselamatan negara.

“Negara kini berdepan ancaman keselamatan yang dirancang dengan teliti dan dikawal dari jauh,” kata Zahid, menurut akhbar tempatan berbahasa Inggeris Malaysia, The Star.

“Dengan perubahan pantas dalam lanskap politik tempatan dan antarabangsa, undang-undang seperti SOSMA.… amat tepat pada masanya,” kata beliau.

Zahid, yang menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Najib, memaklumkan parlimen pada April 2017 bahawa sejumlah 979 orang telah ditahan sejak SOSMA diperkenal.

Antara tokoh terkenal yang ditahan di bawah SOSMA ialah Maria Chin Abdullah, pengerusi badan pemantau pilihan raya Bersih. Beliau telah diberkas pada 18 Nov 2016, dan ditahan selama 11 hari atas dakwaan cuba melemahkan demokrasi parlimen dengan mengadakan perhimpunan bagi menggesa pilihan raya yang bebas dan adil.

Pada Isnin, aktivis perundangan Syahredzan Johan dalam satu kenyataan menyebut bahawa penahanan Chin adalah satu contoh bagaimana SOSMA telah disalah guna oleh kerajaan terdahulu meskipun terdapat jaminan bahawa ia tidak akan digunakan bagi tindakan balas politik.

“Sudah jelas bahawa SOSMA sebagai undang-undang adalah tidak adil, pelaksanaannya adalah sembarangan dan mudah disalah guna,” kata Syahredzan yang memuji pengumuman Mahathir berhubung perkara itu.

Beliau berkata Malaysia memerlukan satu undang-undang yang menyasar keganasan secara khusus dan pada masa yang sama, memenuhi piawaian antarabangsa.

Para pegawai antikeganasan Malaysia telah menahan beratus-ratus orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dalam tempoh lima tahun lepas, namun negara berbilang kaum yang mempunyai penduduk berjumlah 32 juta itu hanya berdepan satu serangan ganas.

Pada 26 Jun 2016, Negara Islam telah mengaku bertanggungjawab terhadap letupan bom tangan yang mencederakan lapan pengunjung sebuah kelab malam di Puchong, kira-kira 12.8 km (8 batu) dari Kuala Lumpur.

Kaji semula, jangan mansuhkan, kata penganalisis

Geshina Ayu, seorang penganalisis antiradikalisme di Universiti Sains Malaysia, memberitahu BeritaBenar kerajaan dan polis harus mengkaji semula dan menambah baik undang-undang sedia ada untuk merangkum jenayah yang berkaitan tindakan keganasan.

“Kita boleh meminda SOSMA dengan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan bukan hanya yang berada dalam sistem kehakiman jenayah, malah mereka yang berurusan secara langsung dengan penjenayah dan mangsa,” kata Geshina.

Pada 2015, parlimen Malaysia telah meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (POTA), yang membolehkan polis mengehadkan pergerakan suspek menerusi penggunaan peranti pemantauan. Pindaan terhadap undang-undang antikeganasan Malaysia itu membolehkan pihak berkuasa menahan suspek bagi tempoh masa yang tidak terbatas tanpa perbicaraan dan boleh diperbaharui bagi tempoh selama dua tahun.

Aruna Gopinath, seorang penganalisis keselamatan antarabangsa di Universiti Pertahanan Malaysia, telah melahirkan kebimbangan berhubung keputusan Mahathir.

“Dalam hal-hal yang berkaitan dengan keganasan, kerajaan tidak seharusnya memansuhkan akta ini,” katanya kepada BeritaBenar. “Kita harus tegas supaya pengganas tahu bahawa mereka tidak boleh main-main dengan Malaysia.”

Lihat Laman Penuh