Ahli keluarga mogok lapar desak kerajaan bebas tahanan SOSMA

Kerajaan minta lebih 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan SOSMA tamatkan mogok dan beri peluang proses reformasi undang-undang itu berjalan.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.08.01
Kuala Lumpur
Ahli keluarga mogok lapar desak kerajaan bebas tahanan SOSMA Ahli keluarga tahanan SOSMA termasuk kanak-kanak antara yang mengadakan mogok lapar di luar Penjara Sungai Buloh, Selangor, 1 Ogos, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia sedang mengkaji secara aktif pindaan ke atas undang-undang keselamatan kontroversi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA dan juga mengambil maklum mogok lapar oleh ahli keluarga tahanan yang berusaha mendesak kerajaan membebaskan mereka, demikian kata Timbalan Menteri Undang-undang Ramkarpal Singh pada Selasa.

Pengkritik pula menuduh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal untuk membuat keputusan berkaitan SOSMA setelah memaklumkan yang pindaan akan dibuat terhadap akta yang membenarkan suspek ditahan selama 28 hari tanpa bicara.

Parti pimpinan Anwar Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa menjadi pembangkang sebelum ini telah mendesak secara konsisten pemansuhan akta berkenaan kepada kerajaan pemerintah pada masa itu.

Seramai 69 tahanan SOSMA dan 100 ahli keluarga mereka termasuk kanak-kanak sedang mengadakan mogok lapar di luar perkarangan Penjara Sungai Buloh, di Selangor sejak Isnin bertujuan mendesak kerajaan membebaskan tahanan atau mendakwa mereka di mahkamah.

Ramkarpal telah meminta ahli keluarga tahanan menamatkan mogok laparsementara proses reformasi undang-undang berkenaan berjalan dengan Putrajaya sedang berusaha meneliti cadangan penambahbaikkan akta tersebut secara bersama yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Peguam Negara.

"Usaha meneliti penambahbaikkan kepada SOSMA mengikut kesesuaian semasa sememangnya sedang berjalan dan saya yakin bahawa syor-syor berhubung cadangan penambahbaikkan ini akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat.

"Sehubungan itu, saya memohon kepada kesemua ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA yang sedang melakukan tindakan mogok lapar ini untuk terus bersabar dan menamatkan tindakan mogok lapar tersebut sementara proses reformasi undang-undang berjalan dan demi kanak-kanak kecil yang kelihatan hadir bersama di luar perkarangan Penjara Sungai Buloh," kata Ramkarpal dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia SUARAM telah memaklumkan yang tahanan SOSMA di dalam penjara juga telah memulakan mogok lapar sejak Ahad, sebelum ahli keluarga mereka menyertai protes berkenaan pada hari berikutnya.

"Ahli keluarga tahanan SOSMA telah membuat mogok lapar di luar Penjara Sungai Buloh lebih 24 jam, sementara mereka yang di dalam penjara telah melakukannya lebih 72 jam," kata SUARAM dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Seramai 34 tahanan SOSMA dilaporkan berada di Penjara Sungai Buloh manakala selebihnya di sebuah penjara di Alor Setar, Kedah.

"Kami melakukan mogok lapar ini untuk mendapatkan jawapan daripada kerajaan kerana telah menunggu sekian lama akan ahli keluarga kami yang berada dalam penjara dan ada yang ditahan sehingga tiga tahun…..

“Kami tidak meminta supaya dia dibebaskan serta merta, tetapi sekiranya pihak berkuasa mahu mendakwanya, dakwalah dia… jangan tahan sehingga tiga tahun, dan sekiranya mereka didakwa atas sesuatu kesalahan, ia boleh difahami,” kata Roshnee, isteri kepada seorang tahanan SOSMA kepada media.

Mereka telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah dan telah ditahan antara satu dan tiga tahun, dakwa ahli-ahli keluarga yang sedang bermogok lapar kepada wartawan pada Isnin.

Dakwa tahanan dipukul

Presiden pertubuhan bukan kerajaan Nambikkai Malaysia Kalai Vanar pula mendakwa sebahagian daripada tahanan yang menyertai protes di dalam penjara dikatakan telah dipukul oleh pihak berkuasa dan ada sehingga yang mengalami patah tangan.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa penjara menafikan perkara ini dan sekiranya tidak benar, maka berikan kebenaran kepada keluarga untuk masuk dan lihat sendiri keadaan mereka," kata beliau kepada media pada Isnin.

BenarNews telah cuba mendapatkan komen daripada Jabatan Penjara namun dimaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat baharu mengenai tahanan untuk dikongsikan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata SOSMA masih relevan dan diperlukan untuk melindungi keamanan dan keselamatan negara.

"Kerajaan melihat undang-undang keselamatan di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, termasuk SOSMA, adalah masih relevan dan penting untuk melindungi keselamatan negara.

"Polis masih memerlukan undang-undang ini untuk mengambil tindakan bagi mencegah panik di kalangan orang ramai dan mengendalikan ancaman kepada kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat," kata beliau dalam satu jawapan di Parlimen pada Februari, sambil menambah perbincangan dan meneliti semua cadangan yang diterima sedang berjalan.

Menurut Saifuddin lagi sepanjang 2022, sejumlah 624 individu telah ditahan di bawah SOSMA dengan 140 telah dibebaskan manakala 71 lagi telah didakwa di mahkamah.

Dalam respon terhadap angka tersebut, Majlis Peguam Malaysia dalam satu kenyataan pada Mac tahun yang sama berkata undang-undang tersebut melanggar Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa polis tidak sepatutnya menahan seseorang individu lebih dari 24 jam, dan individu itu tidak patut ditahan lebih lanjut tanpa mendapat kebenaran majistret.

"Bagaimanapun, di bawah SOSMA, pihak berkuasa tidak perlu membawa suspek di depan majistret dalam tempoh 24 jam, untuk polis mendapatkan perintah reman bagi menahan suspek lebih lama bagi siasatan lanjut.

"Sebaliknya, di bawah undang-undang itu, seorang pegawai polis berpangkat Superintenden dan ke atas boleh melanjutkan tempoh tahanan kepada tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan.

"Oleh itu, peranan penting dimainkan majistret untuk memastikan hak seseorang suspek tidak diabaikan polis atau mana-mana pihak berkuasa, telah diketepikan," kata Majlis Peguam Malaysia.

BenarNews telah menghubungi Menteri Dalam Negera dan SUHAKAM mengenai mogok lapar itu namun masih belum mendapat maklumbalas.

Josef Benedict, pengkaji Asia Pasifik bagi CIVICUS, sebuah gabungan masyarakat sivil antarabangsa berkata, protes itu dilakukan bagi mendapatkan perhatian terhadap situasi buruk dihadapi tahanan yang dipenjarakan bertahun lama tanpa didakwa di mahkamah.

"Ia adalah penting bagi keluarga tahanan SOSMA melakukan mogok lapar ini dalam usaha mengetengahkan situasi mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut - dengan sesetengahnya berada di dalam tahanan selama bertahun-tahun tanpa didakwa.

"SOSMA adalah undang-undang lapuk yang mengandungi peruntukan yang tidak konsisten dengan standard hak asasi manusia antarabangsa mengenai perbicaraan adil, terutama sekali hak untuk diberikan jaminan," kata Benedict kepada BenarNews.

Bekas tahanan SOSMA, Maria Chin Abdullah pula berkata undang-undang itu tidak adil kerana meletakkan tahanan di penjara tanpa didakwa sehingga mereka dibicarakan di mahkamah.

"Ia tidak adil. Dan disebabkan undang-undang ini, kita mempunyai tahanan yang dipenjarakan lebih 7 tahun, ada yang sehingga 10 tahun sebelum kes mereka didengar di mahkamah,” kata Maria semasa dihubungi BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.