Parlimen Malaysia Undi Tolak Lanjut Tempoh Tahanan 28 Hari Tanpa Bicara

Kali pertama usul dibawa kerajaan berjaya dikalahkan pembangkang dalam undian belah bahagi.
Noah Lee & Nisha David
2022.03.23
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Parlimen Malaysia Undi Tolak Lanjut Tempoh Tahanan 28 Hari Tanpa Bicara Sebilangan keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan sokongan beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan berhimpun di luar bangunan Parlimen membantah penggunaan tahanan tanpa undang-undang perbicaraan di Kuala Lumpur , 21 November 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia tidak akan lagi menahan individu yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan tanpa bicara selama 28 hari selepas Parlimen negara itu mengundi untuk menolak satu usul yang dicadangkan kerajaan untuk melanjutkan peruntukan kontroversi dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang dikecam para pengkritik kerana digunakan untuk tujuan politik.

Penolakan usul lanjutan tempoh lima tahun lagi, bagi kes yang disiasat di bawah Subseksyen 4(5) Akta SOSMA yang membolehkan pihak polis menahan tanpa bicara dan dibawa ke mahkamah itu menyaksikan blok pembangkang buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi selepas dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada awal Rabu.

"Berikut adalah keputusan daripada undian yang dibuat. Seramai 84 telah bersetuju, 86 tidak bersetuju, manakala yang tidak hadir pula adalah 50," kata Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika mengumumkan hasil kiraan undian blok tersebut.

Sesi undian berkenaan diadakan selepas 19 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti selesai berdebat mengenai usul dikemukakan Hamzah yang mengambil masa lebih empat jam.

Kemenangan tipis pihak pembangkang itu menyaksikan seramai 50 Ahli Parlimen tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat semasa undian dibuat termasuk bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Najib Razak serta Presiden UMNO Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen yang menentang menyatakan bahawa undang-undang berkenaan telah disalahgunakan untuk menahan individu atas sebab politik serta bersifat menindas, manakala yang menyokongnya pula berkata undang-undang tersebut adalah sesuatu yang diperlukan pihak berkuasa bagi menangani ancaman terhadap keselamatan negara.

Berdasarkan peruntukan mengikut Subseksyen 4(5), Akta SOSMA yang menyatakan bahawa "seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada dua puluh lapan hari" bagi tujuan menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, akta yang sama turut menetapkan bahawa peruntukan Subseksyen 4(5) "hendaklah disemak" setiap lima tahun dan terhenti berkuatkuasa kecuali ia dilanjutkan melalui ketetapan yang dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sejak pertama kali berkuatkuasa pada 2012, peruntukan tersebut pernah diberikan pelanjutan oleh Parlimen pada 2017 dan berkuatkuasa sehingga 31 Julai 2022.

Amat diperlukan

Semasa pembentangan usul lanjutan lima tahun lagi, Hamzah memberitahu Parlimen bahawa peruntukan yang membenarkan penahanan selama 28 hari itu adalah "amat diperlukan" oleh pihak berkuasa terutama dalam menjalankan siasatan terhadap kes rumit dan kompleks.

Katanya kes-kes seperti aktiviti kumpulan pengganas, jenayah terancang yang mempunyai organisasi besar dan kes yang melibatkan jenayah rentas sempadan memerlukan penyiasat mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa di negara luar dan memakan masa lama dan tempoh 28 hari yang telah ditetapkan itu juga tidak mencukupi untuk melengkapkan siasatan.

"Tanpa subseksyen 4(5) ini dilanjutkan dan jumlah tahanan 28 hari tidak dikekalkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas kerana dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan dan melengkapkan Kertas Siasatan dan mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," kata menteri itu kepada sidang Dewan Rakyat.

Usul itu kemudiannya didebat oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk dari kerajaan dan pembangkang yang kemudiannya menyaksikan perdebatan hangat apabila yang menentangnya mempertikaikan akta tersebut sebagai drakonian dan bersifat menindas hak individu kepada proses perundangan yang adil manakala yang penyokong menegaskan ianya perlu dalam menjamin keselamatan.

Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Sungai Buloh dari Parti Keadilan Rakyat [PKR], mencadangkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat supaya tidak melanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA kerana pihak berkuasa masih mempunyai peruntukan undang-undang lain yang mencukupi untuk menjalankan siasatan.

"Cadangan saya supaya jangan dilanjutkan subseksyen ini. Bukannya Akta SOSMA ini terus tidak boleh dipakai, cuma subseksyen 4(5) sahaja yang tidak ada. Tetapi pihak berkuasa masih boleh kembali kepada Kanun Prosedur Jenayah," kata beliau, merujuk kepada set undang-undang yang biasa digunakan dalam kes jenayah termasuk jenayah berat.

Kanun itu memberikan kuasa kepada majistret untuk mengarahkan seseorang suspek ditahan sehingga 14 hari untuk disiasat. Apa yang penting adalah akses kepada mahkamah itu terjamin," tambah Sivarasa.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dari Parti Bangsa Malaysia yang pro-kerajaan, pula menyatakan bahawa aktiviti keganasan masih berleluasa di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali, dan membuatkan undang-undang seperti SOSMA masih diperlukan.

"Perlu ditekankan kuasa penahanan ini adalah untuk tujuan penyiasatan semata-mata dan bukan untuk sebab lain. Oleh sebab aktiviti keganasan masih berleluasa di dunia ini, dan negara kita tidak terkecuali daripada aktiviti kegananasan, maka SOSMA ini diperlukan," kata beliau.

Panik

Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang dari PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan amat panik dengan kekalahan pertama pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri yang tidak disangka-sangka di Dewan Rakyat pada petang Rabu itu.

“Ini adalah kekalahan pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri di Parlimen…walaupun tipis tetapi amat memalukan selepas menang bergaya semasa Pilihan Raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor.

“Kerajaan amat panik dengan kekalahan tidak disangka di Dewan Rakyat petang ini. Sebaik sahaja mengalami kekalahan dalam usul dibawa Menteri Dalam Negeri, dengan secepat kilat Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen dan Undang-Undang segera bangun mengemukakan usul terbaru iaitu menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat dengan serta merta,” kata Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang dewan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak berkuasa itu akan menggunakan peruntukan undang-undang yang lain bagi menyiasat kes dibawah Subsekyen 4(5) Akta SOSMA selepas 31 Julai ini.

“Polis DiRaja Malaysia telah "mengambil maklum dan menerima" keputusan Dewan Rakyat dan selepas 31 Julai, SOSMA tidak lagi akan memperuntukkan kuasa untuk menahan saspek selama 28 hari bagi siasatan melibatkan kes-kes bersifat kompleks, termasuk kesalahan terhadap negara, kesalahan berkaitan keganasan, kesalahan jenayah terancang, pemerdagangan manusia, dan kesalahan di bawah Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015.

"Bagi kes-kes melibatkan kesalahan di bawah SOSMA yang disiasat selepas 31 Julai 2022, Polis DiRaja Malaysia akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah," kata Acryl Sani.

Pada Oktober 2019, Muhyiddin Yassin yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu berkata kerajaan belum bersedia untuk mengemukakan pindaan terhadap akta kontroversial SOSMA.

"Undang-undang terbaru yang kami sedang teliti ialah undang-undang pencegahan SOSMA, tetapi kami belum selesai dengannya. Kami masih belum dapat melibatkan dengan banyak pihak atau masuki fasa cadangan. Saya tidak pasti sama ada kami boleh buat atau tidak dalam membawanya ke sesi parlimen," kata Muhyiddin pada masa itu.

Ia bagaimanapun bertentang dengan janji pilihan raya umum Mei 2018, di mana Pakatan Harapan pimpinan Mahathir telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang dan perundangan keselamatan kontroversi, termasuk SOSMA, Akta Hasutan era kolonial dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), serta yang lain yang diperkenalkan ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

Semasa satu temu bual dengan BenarNews di New York pada September 2019, iaitu lebih setahun menjadi Perdana Menteri, Mahathir berkata apabila Pakatan Harapan membuat janji itu pada musim kempen, "kami tidak mempunyai maklumat lengkap tentang keadaannya."

"Polis berpendapat bahawa undang-undang ini, jika tidak digunakan untuk tujuan politik, masih berguna," katanya, sambil menambah daripada ianya memansuhkan, "kami sedang mengkajinya semula."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh