SOSMA: Pembangkang Mungkir Janji, Abai Komitmen, kata Pemimpin UMNO

Penganalisis berkata kekalahan kerajaan dalam undian di Parlimen adalah memalukan, manakala pemimpin UMNO gesa batalkan perjanjian.
Suganya Lingan & Nisha David
2022.03.24
Kuala Lumpur
SOSMA: Pembangkang Mungkir Janji, Abai Komitmen, kata Pemimpin UMNO Sebilangan keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan sokongan beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan berhimpun di luar bangunan Parlimen membantah penggunaan tahanan tanpa undang-undang perbicaraan di Kuala Lumpur , 21 November 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Dalam insiden yang amat memalukan kerajaan Malaysia, Parlimen negara itu pada Rabu telah menolak satu usul yang dibentangkan bagi mendapatkan tempoh lanjutan terhadap satu peruntukan undang-undang keselamatan, dengan penganalisis menyatakan ianya adalah kali pertama dalam sejarah pentadbiran negara itu kalah dalam undian yang dibuat di Dewan Rakyat.

Kekalahan kerajaan sekaligus mencetuskan gesaan dari dalam parti pemerintah yang mahukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan satu perjanjian persefahaman yang dibuat dengan pembangkang pada September tahun lepas, yang antara lain berjanji memberi kerjasama kepada Putrajaya dalam semua isu utama sehingga 31 Julai ini.

Dengan penolakan usul lanjutan tempoh lima tahun bagi kes yang disiasat di bawah Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2021, atau SOSMA, Malaysia tidak lagi boleh menahan suspek tanpa bicara dan dibawa ke mahkamah selama 28 hari.

"Ia adalah satu yang memalukan buat kerajaan apabila gagal meluluskan usul tersebut. Perkara ini tidak pernah berlaku di Malaysia... tetapi kekalahan sebegini sememang boleh berlaku dalam sistem demokrasi," kata Pensyarah Universiti Utara Malaysia Azizuddin Mohd Sani kepada BenarNews sambil mempersoal tindakan kerajaan tidak berunding dengan blok pembangkang Pakatan Harapan sebelum membentangkan usul lanjutan berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mengetuai gabungan pemerintah telah menyalahkan pembangkang berhubung kekalahan tipis dalam pengundian di Dewan Rakyat pada Rabu itu, dengan mendakwa pembangkang telah mungkir janji dan meminta Perdana Menteri membatalkan perjanjian yang dibuat Sepetember tahun lalu itu.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam muatnaik di laman Facebooknya mendakwa pembangkang tidak mempunyai kemahuan mewujudkan kestabilan politik selepas mungkir janji apabila bertindak menolak usul lanjutan tempoh lima tahun lagi bagi akta tersebut.

"Apabila usul yang dibentangkan telah gagal disebabkan ketiadaan sokongan dari pembangkang, ia adalah wajar untuk kita semua merumuskan bahawa mereka telah mungkir janji, melanggar perjanjian dan mengabaikan komitmen mereka sebelum ini.

“Adalah jelas buktinya yang Kerajaan sedia ada, sudah tidak dihormati. MoU antara Kerajaan dan Pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas," kata Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang tidak hadir semasa pengundian dibuat di Parlimen pada Rabu.

Nazri Aziz, seorang lagi Ahli Parlimen UMNO pula berkata kerajaan kini tidak lagi mempunyai "asas moral" selepas pembangkang mungkir janji dan patut memanggil pilihan raya segera supaya rakyat boleh membuat keputusan siapa yang mereka mahukan untuk mentadbir negara.

Wakil Pakatan Harapan yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke pula berkata perjanjian pada September lepas telah menyatakan yang kedua-dua pihak perlu berunding dalam setiap usul di Parlimen, tetapi perkara itu tidak berlaku semasa udian berhubung lanjutan tempoh lima tahun Akta SOSMA, oleh itu pembangkang boleh mengundi mengikut cara yang mereka suka, dan ianya tidak melanggar perjanjian September lalu itu.

“Kami tidak pernah bersetuju dengan usul mengenai SOSMA...Persoalannya, adakah perdana menteri hilang keyakinan selepas usul SOSMA ditolak? Dan jawapannya adalah tidak.” kata Anthony mewakili DAP, yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Justifikasi adakan pilihan raya

Penganalisis politik, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia semasa ditanya sama ada usul pada Rabu itu telah disabotaj bagi menggesa kerajaan untuk mengadakan pilihan raya, beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang tidak mungkin.

"Saya tidak rasa adanya rancangan untuk menyebabkan rang undang-undang tersebut ditolak. Akan tetapi, disebabkan ia telah dikalahkan, maka perkara itu memberikan alasan kepada beberapa pemimpin UMNO untuk menggunakannya sebagai justifikasi bahawa pilihan raya perlu diadakan segera.

"Ahli Parlimen tidak hadir di Dewan Rakyat bukan satu perkara baru. Sesetengahnya memang selalu tidak hadir persidangan. Kebanyakan daripada mereka juga tidak mementingkan proses legislatif. Akan tetapi kegagalan kerajaan untuk mendapatkan undi mencukupi menunjukkan kelemahan pimpinannya," kata beliau kepada BenarNews.

Kemenangan tipis pihak pembangkang itu menyaksikan seramai 50 Ahli Parlimen tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat semasa undian dibuat termasuk bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Najib Razak serta Presiden UMNO Zahid Hamidi.

Seorang lagi penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berpandangan apa yang berlaku di Parlimen itu adalah disebabkan sikap tidak acuh Ahli Parlimen.

"Kita tidak boleh kata bahawa Ahli Parlimen tidak mengetahui bahawa usul itu akan dibentangkan. Mereka sudah tentunya telah menerima notis. Ia mungkin kerana kurangnya komitmen dan rasa hormat," kata beliau kepada BenarNews.

Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)  yang pernah ditahan dibawah SOSMA pada 2016 semasa giat sebagai aktivis memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih di Malaysia telah menyuarakan rasa gembira yang tidak terhingga dengan keputusan di Dewan Rakyat pada Rabu itu.

"Ini merupakan penyuntik semangat yang amat besar! Terima kasih! Terima kasih! Dewan telah menolak daripada melanjutkan kuasa SOSMA untuk menahan tanpa bicara," ciap beliau di laman media sosial Twitternya.

Nalini Elumalai, seorang pejuang hak asasi manusia, pula menyatakan bahawa SOSMA patut dihapuskan sama sekali.

"Penahanan 28 hari di bawah SOSMA tidak mempunyai sebarang pengawasan kehakiman, dan ia melanggar standard hak asasi manusia antarabangsa mengenai akses tahanan kepada semakan hakim dengan segera," ciap beliau di Twitter.

Seorang lagi aktivis Malaysia, Ivy Josiah, mempersoalkan apakah keperluan penahanan tanpa bicara dengan berkata “Pada zaman ini dengan pelbagai alat penyiasatan yang canggih mengapa kita perlu menahan seseorang selama 28 hari untuk mengumpul bukti.”

Dalam ciapan beliau di Twitter, Josiah berkata Ahli Parlimen yang mengundi untuk melanjutkan tempoh peruntukan itu tidak boleh dipilih semula.

Pada 2020, Malaysia telah menahan seramai 1,032 individu tanpa bicara sehingga Ogos, demikian menurut Laporan Negara mengenai Amalan Hak Asasi Manusia bagi Malaysia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Bimbang

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan pula menyuarakan kebimbangan terhadap penolakan undang-undang SOSMA oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

"Sesetengah ahli politik berasakan bahawa undang-undang keselamatan ini akan menyekat mereka daripada terlibat dalam aktiviti tertentu. Sebab itu mereka menolak undang-undang keselamatan ini.

“Kamu harus faham bahawa Malaysia terdedah kepada ancaman dengan ketiadaan peruntukan ini. Setiap negara perlukan undang-undang keselamatan sendiri. Sekiranya Malaysia tidak mahukan peruntukan sebegitu, maka kelak berdepanlah dengan akibatnya nanti sekiranya sesuatu yang tidak elok berlaku," beliau memberi amaran.

Dalam ucapan di Parlimen pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menyatakan subseksyen 4(3) SOSMA memperuntukkan bahawa tidak ada seorang individu yang boleh ditahan di bawah akta berkenaan hanya kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

Beliau berkata sejak 2016 hingga Januari 2022, seramai 3,717 suspek telah ditahan dibawah SOSMA atas kesalahan berkaitan pembabitan mereka dalam aktiviti berunsurkan keganasan, penyeludupan manusia, jenayah terancang, dan kesalahan lain yang "kompleks".

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.