Pengerusi Spanco didakwa menipu konsesi bernilai RM3.96 bilion
2024.04.03
Kuala Lumpur
Seorang ahli perniagaan terkemuka Malaysia dihadapkan ke mahkamah pada Rabu atas dakwaan menipu Kementerian Kewangan negara itu bagi mendapatkan kontrak bernilai RM3.96 bilion (AS$ 842 juta) untuk menguruskan kenderaan kerajaan, lima tahun lepas.
Tan Hua Choon, 83, atau lebih dikenali sebagai Robert Tan merupakan Pengerusi Spanco Sdn Bhd yang terlibat membekal, menyelenggara dan menguruskan kenderaan bagi kegunaan kerajaan Persekutuan di seluruh negara sejak 1994.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menipu Kementerian Kewangan dengan cara memperdaya satu jawatankuasa penilaian tender bernilai RM3.96 bilion dengan mendakwa bahawa sekurang-sekurangnya 30 peratus daripada saham Spanco dimiliki oleh Bumiputera.
"...dengan itu kamu secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak 'Pembekalan, Membaiki, Menyelenggara dan Pengurusan Kenderaan Kerajaan' bernilai RM3,966,386,628 kepada syarikat Spanco Sdn Bhd.
“Kementerian Kewangan tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan…oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," menurut kertas pertuduhan yang dilihat oleh BenarNews.
Pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Tan didakwa telah melakukan kesalahan tersebut antara 27 dan 28 Februari 2019 di Putrajaya.
Mengaku tidak bersalah
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di depan Hakim Suzana Hussin.
"Faham (pertuduhan), saya tidak bersalah. Saya sudah tolong negara banyak lama," kata Tan yang turut terkenal dengan gelaran “Raja Casio” kerana kejayaannya membina perniagaan sebagai pengedar jam dan kalkulator jenama Jepun itu sejak tahun 70-an.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang sudah dipersetujui pembelaan tokoh korporat tersebut.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Wan Azmir Wan Majid mengesahkan tidak membantah cadangan jaminan RM2 juta walaupun menyedari jumlah itu tinggi.
"Anak guam ada darah tinggi, sakit lutut dan belakang serta memerlukan bantuan perubatan. Anak guam bergantung kepada tongkat dan sentiasa dibantu individu lain untuk urusan harian.
"Penjamin adalah anak tertuduh. Seterusnya, permintaan untuk menyerahkan pasport menyekat perjalanan dan pergerakan anak guam,” katanya sambil menambah anak guamnya tiada risiko melarikan diri.
Peguam pemerhati yang mewakili Spanco, Razlan Hadri khuatir tertuduh sebagai pengarah eksekutif syarikat yang masih aktif dalam perniagaan tidak sengaja berhubung dengan saksi pendakwaan.
Hakim Suzana kemudian membenarkan jumlah jaminan dengan seorang penjamin seperti dipersetujui pendakwaan dan pembelaan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga tidak boleh mengganggu saksi secara terus atau melalui pihak ketiga serta perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, kata hakim.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun ini untuk serahan dokumen.
“Hari ini ditetapkan untuk Tan Sri (Tan) didakwa dan jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan syarat tambahan disertakan. Pihak pembelaan tidak membantah permintaan pihak pendakwaan kecuali keperluan beliau untuk melaporkan kehadiran setiap bulan [atas sebab kesihatan].
“Mahkamah membenarkan jaminan RM2 juta, pasport diserahkan, saksi tidak diganggu dan kehadiran di pejabat SPRM berhampiran setiap dua bulan sekali,” kata peguam Tan, Wan Azmir kepada BenarNews selepas prosiding itu.
Menurut laman web Spanco, syarikat yang ditubuhkan pada 1988 itu menyediakan perkhidmatan pengurusan kenderaan dan mencanangkan kejayaannya sebagai sebuah organisasi yang menjadi pilihan kerajaan Persekutuan dengan lebih 13,000 kenderaan konsesi di seluruh negara.
Syarikat itu diberikan kepercayaan pada 1 Januari 1994 untuk memegang konsesi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan Persekutuan bagi tempoh 25 tahun di mana Spanco telah menyediakan pakej penyewaan dan penyelengaraan kereta-kereta sedan untuk kegunaan kerajaan.
Difahamkan bahawa tempoh konsesi itu tamat pada 2019, sebelum kerajaan Persekutuan, yang ketika itu berada di bawah pimpinan Mahathir Mohamad yang kembali menjadi perdana menteri kali kedua pada 2018 dengan membuka tender baharu untuk konsesi serupa bagi tempoh 15 tahun.
Menurut laporan akhbar perniagaan The Edge Malaysia pada April 2019, ia memetik sumber yang menyatakan bahawa sebanyak lima syarikat menghantar kertas cadangan untuk mendapatkan kontrak tersebut apabila tempoh penyertaan tamat pada 29 Februari pada tahun sama.
Selain Spanco, empat lagi syarikat yang cuba membida tender berkenaan adalah DRB-Hicom, Sime Darby, Kumpulan Naza dan Kumpulan Samling.
Pada tahun yang sama, Berjaya Group dan Kumpulan Naza membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu.
Pada 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan telah memilih syarikat konsesi baharu untuk menguruskan armada kenderaan kerajaan tetapi tidak menamakannya.
Vincent Tan saman Spanco
Bagaimanapun pada 17 Julai 2023, pengasas Kumpulan Berjaya, Vincent Tan memfailkan saman terhadap kerajaan dan Spanco berhubung konsesi pengurusan kenderaan bernilai berjuta-juta ringgit itu.
Vincent mendakwa, kumpulan itu bersama Naza telah dipilih untuk menguruskan konsesi armada kenderaan itu oleh kerajaan terdahulu melalui Surat Niat (LOI) yang dikeluarkan pada 2018, iaitu ketika zaman Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua dan ia telah ditamatkan secara tidak adil sebelum anugerah sebenar ditetapkan untuk diumumkan.
Beliau berkata konsortium Naza-Berjaya memenangi bidaan dengan tawaran terendah tetapi LOI ditamatkan selepas kerajaan bertukar dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Vincent mendakwa konsesi itu dianugerahkan kepada Spanco sedangkan harga tender mereka adalah RM700 juta lebih murah.
Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.
“Sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan,” katanya dalam Facebook pada Februari lepas.
Terdahulu pada 19 Januari lalu, pasukan SPRM menyerbu kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan armada kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang terkenal sikap tegas terhadap rasuah menyifatkan kontrak kepada Spanco hanya merugikan negara selain ia tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan, katanya di depan penjawat awam pada 5 Februari lalu.
Pada 6 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata mereka yang terlibat dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada Spanco akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Beliau berkata mereka akan melihat sejarah syarikat itu semasa penubuhannya antara 1998 atau 1999 dan sesiapa yang terlibat dalam tempoh itu, termasuk perdana menteri dan menteri kewangan untuk direkodkan kenyataan mereka.