Putrajaya Arah SPR Laksana Undi 18 Sebelum Akhir Disember
2021.09.07
Kuala Lumpur
Putrajaya telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) "melakukan semua yang perlu di bawah kuasanya" supaya mematuhi keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuching minggu lalu yang mengarahkan supaya individu berusia antara 18 ke 20 tahun dibenarkan mengundi sebelum 31 Disember, walaupun belum ada sebarang keputusan yang dibuat kerajaan sama ada untuk merayu atau tidak.
Menteri Undang-Undang Malaysia Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata setakat ini SPR dan Pejabat Peguam Negara tidak mempunyai sebarang hasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah di Sarawak itu.
"Saya sudah arahkan SPR bersiap sedia untuk melaksanakannya (Undi 18) menjelang 31 Disember ini…Kita mesti mematuhi undang-undang yang ada sekarang ini, dan berkenaan sama ada kerajaan mahu membuat rayuan, ia belum lagi diputuskan.
"Kami memerlukan perbincangan mendalam dengan Jabatan Peguam Negara dan persetujuan daripada Jemaah Menteri juga perlu diperolehi terlebih dahulu," kata Wan Junaidi pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibupejabat SPR di Putrajaya pada Selasa.
Hakim Alexander Siew dalam penghakiman 73 mukasurat pada Jumaat lepas berkata kerajaan Persekutuan dan SPR telah bertindak "secara tidak sah" dan "tidak rasional" apabila melengahkan pelaksanaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur mengundi, setelah ia diluluskan Parlimen pada 2019.
Hakim berkenaan kemudiannya mengarahkan supaya kerajaan melaksanakan pindaan tersebut selewat-lewatnya 31 Disember depan, dan bukan seperti tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan iaitu pada September 2022.
Mengulas mengenai keputusan dibuat Hakim Siew, Wan Junaidi tidak menganggap ianya sebagai kekalahan kerajaan tetapi sebaliknya mahkamah hanya mengarahkan kerajaan supaya membawa tarikh pelaksanaan ke hadapan.
"Apa yang diputuskan oleh mahkamah dengan kerajaan adalah sama, hanya dari sudut masa sahaja ia diawalkan oleh Mahkamah. Kerajaan tidak salah, mahkamah pun tidak salah – hanya masa saja dipendekkan," kata menteri itu.
Wan Junaidi juga berkata kerajaan berpendapat perlaksanaan Undi 18 dapat dibuat pada September depan berdasarkan kepada keranga kerja, pemutihan senarai pendaftar individu yang sudah mati termasuk lima negeri yang tidak mempunyai peraturan had umur calon paling muda bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pada Mac lepas, SPR menyatakan bahawa proses persiapan untuk membolehkan golongan berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun mengundi telah tergendala akibat pandemik COVID-19 dengan ia dijangka memberi kesan terhadap lebih 1.2 juta rakyat Malaysia dalam lingkungan usia berkenaan.
Terdahulu itu, Parlimen Malaysia pada 16 Julai 2019, telah meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Cadangan itu telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad dan mendapat sokongan kesemua 211 Ahli Parlimen yang hadir termasuk pembangkang dengan 11 lagi tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat semasa undian dibuat.
Wan Junaidi juga memberitahu bahawa golongan muda yang berusia 18 ke 20 tahun dan layak mengundi berdasarkan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah sekitar 1.19 juta orang, tetapi seramai 4.41 juta lagi rakyat Malaysia yang berusia 21 dan keatas masih belum mendaftar sebagai pengundi walaupun sudah boleh berbuat demikian.
Dalam pada itu, badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kempen Undi18 telah menyuarakan penghargaan kepada Putrajaya kerana tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu.
"Ini adalah detik yang mengembirakan bagi 1.2 juta belia Malaysia, yang pada Disember depan bakal mendapat hak mereka untuk menyertai proses demokrasi negara buat pertama kali sebagai pengundi.
"Kami melihat perkembangan ini sebagai satu indikasi bahawa kerajaan pada hari ini mempunyai komitmen untuk mendengar dan bekerjasama dengan pengundi belia," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Oktober depan dijangka turut akan membuat keputusan keatas kes yang serupa yang difailkan terhadap kerajaan oleh sekumpulan 18 orang belia.
Clarice Chan, peguam yang mewakili belia dalam kes di Mahkamah Kuching berharap bahawa penghakiman di Sarawak itu akan dijadikan dahuluan bagi keputusan di Kuala Lumpur, dan akan diguna sebagai asas oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan mengendalikan prosiding penghakiman kelak.
"Ia adalah sesuatu yang mengecewakan sekiranya Mahkamah Kuala Lumpur membuat keputusan yang bertentangan kerana ia akan mencetuskan percanggahan dan kekeliruan.
"SPR akan terpaksa melaksanakan Perlembagaan Persekutuan yang berbeza di satu negeri berbanding satu negeri lain," kata Chan kepada BenarNews.
Berita baik
Penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia menyifatkan keputusan terkini kerajaan itu sebagai satu berita yang sangat baik.
"Saya rasa ia berita yang amat baik untuk pengundi muda. Ia sudah diluluskan sebulat suara di Parlimen dan harus dilaksanakan. SPR tidak ada pilihan lain kecuali melaksanakannya," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah ahli akademik berkenaan, pindaan yang dibuat itu akan membuka ruang politik Malaysia selain memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin muda bertanding pada pilihan raya umum negara itu.
Jamaie Hamil, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyatakan kebimbangan mengenai kematangan pengundi berusia 18 tahun.
"Ia dapat dilihat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 di mana pengundi semuda 21 tahun terikut-ikut trend semasa seperti isu kleptokrasi dan sebagainya, dan sangat mudah bagi golongan muda membuat keputusan tanpa memikirkan kestabilan politik pada masa depan.
"Dalam konteks Malaysia, 18 tahun adalah usia di mana para belia baru sahaja menghabiskan peperiksaan SPM, jadi saya tidak fikir mereka mempunyai kefahaman politik yang berfaedah kepada negara.
“Ini adalah kerana sistem pendidikan negara kita tidak mendedahkan pelajar sekolah kepada politik dengan lebih terbuka," kata beliau, yang senada dengan sentimen oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia Abdul Hadi Awang.
Pada Mac lalu, Abdul Hadi memuji keputusan SPR untuk menunda pelaksanaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 dengan berkata "Mengundi bergantung kepada kematangan dan jangan hanya semudah kerana berusia 18 tahun sahaja, tetapi harus ada kematangan dan kita tidak harus terpengaruh dengan barat.
Katanya lagi, sekiranya mereka yang tidak matang dibenarkan mengundi, maka mereka juga akan mengundi kerajaan yang tidak matang.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.