SPRM Diminta Siasat Semula Kes Derma Najib dan SRC
2016.02.24
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu berkata, bahawa sebuah panel bebas telah meminta ia membuka semula siasatan terhadap sumbangan kontroversi yang diterima oleh Perdana Menteri Najib Razak, walaupun peguam utama negara itu telah mengarahkan kes berkenaan ditutup.
Hampir sebulan selepas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada rasuah susulan pendedahan bahawa lebih AS$600 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi beliau, SPRM dalam satu kenyataan berkata bahawa Panel Penilaian Operasi (PPO) telah meminta ia meneruskan siasatan itu.
PPO adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau operasi SPRM dan memberi pandangan mengenai kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan oleh pendakwa raya.
"Kami mendapati adanya bukti kukuh untuk meneruskan siasatan dan tindakan lanjut," kata seorang daripada ahli panel itu kepada BeritaBenar, yang tidak mahu namanya disiarkan, sambil membayangkan bahawa proses pendakwaan bakal diambil.
Tahun lepas, Najib berhadapan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan bahawa kira-kira AS$681 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Peguam Negara memutuskan bulan lalu bahawa pemindahan wang ke akaun Najib adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan berkata tiada tindakan lanjut perlu dilakukan.
Najib menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.
Tetapi, SPRM telah merujuk kes itu ke PPO yang mempunyai lapan ahli, antaranya terdiri daripada bekas kakitangan awam, ahli korporat, ahli akademik dan peguam.
"Memandangkan siasatan SPRM terhadap dakwaan sumbangan RM2.6 bilion masih tidak lengkap, panel mengesyorkan supaya SPRM meneruskan siasatan mengenai kes itu," kata kenyataan SPRM.
Ia tidak mengulas lanjut sama ada ia sememangnya akan meneruskan siasatan seperti yang disarankan itu.
'Engan ulas'
Apandi tidak mahu memberi komen mengenainya, kata jurucakap pejabat Peguam Negara kepada agensi berita Reuters dalam satu teks mesej. Jurucakap Pejabat Perdana Menteri pula enggan mengulas ketika dihubungi melalui telefon.
Panel itu juga mencadangkan supaya SPRM mendapatkan bantuan daripada Apandi dalam mendapatkan bantuan perundangan bersama ‘bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan di luar negara sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap kes RM 2.6 bilion itu.’
SPRM berkata PPO juga mengesyorkan bahawa kertas siasatan berhubung SRC International, anak syarikat 1MDB, yang disiasat berhubung penyalahgunaan wang peruntukan, dikemukakan semula kepada Apandi untuk semakan.
Bulan lalu, SPRM berkata ia telah menghantar dua laporan ke pejabat Apandi berikutan siasatan berhubung pemindahan wang ke dalam akaun bank Najib dan hal ehwal dana negara 1MDB tetapi ia tidak mendedahkan hasil siasatan atau menyatakan sama ada berlakunya sebarang salah laku.
SPRM berkata bahawa sebarang keputusan untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan siasatannya, perlu ditentukan oleh Peguam Negara.
Lewat bulan lepas, sumber dalaman SPRM memberitahu BeritaBenar bahawa suruhanjaya itu telah mencadangkan Peguam Negara supaya meneruskan tiga pertuduhan jenayah salah guna harta berjumlah RM42 juta (US$10.1 juta) terhadap Najib.
Pertuduhan yang dicadangkan itu adalah berkaitan dengan tiga transaksi wang yang ditokok menjadi RM42 juta dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada SRC International, menurut sumber yang enggan dikenali itu.
Dua bekas pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang diterajui Najib telah memfailkan kes mahkamah terhadap Apandi berhubung keputusannya untuk membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan berkaitan rasuah dalam siasatan terhadap 1MDB.
Apandi berkata, sebahagian besar wang itu akhirnya dipulangkan kepada penderma tetapi beliau tidak memberitahu tujuan derma itu atau apa yang berlaku kepada baki wang berkenaan.
“Isu ini telah menjadi satu gangguan tidak wajar terhadap negara ini. Memandangkan isu itu kini selesai sepenuhnya, sekarang masanya bagi kita untuk bersatu dan bergerak ke hadapan,” kata Najib selepas pengumuman Peguam Negara.
Najib mempengerusikan lembaga penasihat dana negara yang sarat hutang itu.
Bulan lalu, Peguam Negara Switzerland juga mengumumkan bahawa pihaknya telah meminta bantuan Malaysia untuk menentukan sama ada $4 bilion (RM16.57 bilion) dalam dana 1MDB dan syarikat gabungannya, telah disalahgunakan.
Pihak berkuasa di negara jiran, Singapura, turut mengumumkan bahawa mereka telah merampas banyak akaun bank di bandar raya negara itu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kemungkinan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan siasatan 1MDB, menurut laporan meluas media.
Najib telah memecat timbalan perdana menterinya, menggantikan bekas peguam negara dengan Apandi dan bertindak tegas terhadap pemimpin pembangkang dan ahli akademik selepas beliau terlibat dalam skandal berkenaan.
'Mahathir disiasat'
Pada hari yang sama, bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad telah diambil keterangan selama setengah jam oleh Unit D9 Polis DiRaja Malaysia cawangan Bukit Aman berhubung satu catatan di blognya “Rasuah di Malaysia” yang dimuat naik pada Feb 15 lepas.
Sepasukan polis yang diketuai oleh ACP Azham Othman dan empat pegawai tiba di komplek Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada kira-kira pukul 2.40 petang Rabu untuk mengambil keterangan berhubung penulisan Mahathir mengenai tindakan Peguam Negara, melindungi Najib berhubung berbagai skandal kewangan yang mengejutkan negara itu.
Mahathir yang dilihat lebih kritikal terhadap pentadbiran Najib selepas anaknya Mukhriz, meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah baru-baru ini berkata, beliau yang ditemani oleh lima peguam, tidak menjawab sebarang soalan yang dikemukakan oleh polis berhubung catatannya sambil menegaskan bahawa hanya akan memberi jawapan di mahkamah sekiranya didakwa.
“Saya tidak menjawab apa-apa soalan yang ditanya oleh polis berkaitan artikel tersebut kerana saya nak jawab di mahkamah semasa perbicaraan.
“Jika kita hulurkan kepala, kita kena pencung, jika hidup saya akan berakhir di dalam penjara, okey sahaja," katanya kepada pemberita.
Beliau turut mempersoalkan mengapa beliau sahaja yang disoal siasat sedangkan ramai lagi yang menyatakan pendirian yang sama mengenai isu tersebut.
"Adakah ada diskriminasi dari pihak mahkamah atau peguam negara untuk buat tuduhan kepada saya, dan tidak kepada orang lain yang turut membuat kenyataan sama," katanya kepada media.
Mahathir turut berseloroh dengan berkata, beliau menjangka akan berkongsi sel penjara dengan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh jika dia disumbat ke penjara.
Bekas perdana menteri yang meletak jawatan pada 2003 itu, telah memecat Anwar dari jawatannya itu pada tahun 1998 kerana skandal homoseksual.
Soalsiasat polis pada Rabu, merupakan yang kedua terhadap Mahathir dan yang pertama adalah pada November lepas, selepas mendakwa berlakunya rasuah di kalangan pemimpin parti pemerintah semasa berucap pada perhimpunan BERSIH 4.0 di Kuala Lumpur pada Ogos lepas.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Rabu berkata, polis mengambil keterangan percakapan daripada Mahathir kerana beberapa laporan polis telah dibuat terhadap catatan blognya dan siasatan perlu dijalankan.