SPRM: Dana Ke Akaun Perdana Menteri Adalah Sumbangan Penderma

Oleh Hata Wahari
2015.08.03
150803-MY-SPRM620 Polis Malaysia meletakkan peralatan yang dirampas ke dalam kenderaan di luar pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur. 8 Julai 2015
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin berkata wang beratus-ratus juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak merupakan sumbangan daripada para penderma dan bukannya syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bulan lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) berkata, berdasarkan kepada penyiasatan, hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) telah dipindahkan ke akaun Najib melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1MDB.

Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

“Laporan siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion [AS$700 juta] itu telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara dan hasil siasatan SPRM mendapati dana yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri adalah sumbangan penderma dan bukannya daripada dana 1MDB,” kata suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak menjelaskan siapakah pendermanya dan mengapa wang itu dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib yang juga Presiden Umno, parti utama di dalam kerajaan, kini mendapat tekanan dari pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menjelaskan dakwaan deposit di dalam akaun peribadi beliau daripada syarikat pelaburan negara 1MDB yang mempunyai hutang lebih AS$11 bilion.

Najib, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, telah memecat timbalannya Muhyiddin Yassin minggu lalu selepas beliau menggesa Najib memberi satu jawapan yang muktamad berkaitan skandal 1MDB. Peguam Negara yang sedang menjalankan penyiasatan berkaitan isu yang sama juga dipecat.

Siapa penderma, apa syaratnya?


Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu kenyataan mendesak pihak yang berkenaan mendedahkan nama dermawan yang menyumbang wang kepada akaun peribadi Najib, serta syarat-syarat yang dikenakan untuk menerima derma tersebut.

"Siapa penderma yang sebegitu murah hati? Mengapakah akaun itu ditutup jikalau ia dianggap bukan satu kesalahan? Apakah syarat-syarat derma RM2.6 bilion? Susah dibayangkan derma sebesar ini dimasukkan tanpa syarat ke dalam akaun Perdana Menteri," katanya.

Selepas SPRM mengeluarkan kenyataan itu, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak pernah memasukkan sebarang wang derma untuk parti UMNO ke dalam akaun peribadinya semasa beliau menerajui parti dan mentadbir negara.

Sambil menyanggah dakwaan-dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan fitnah semata-mata, Mahathir menyatakan kesediaannya bagi pihak yang berkecuali memeriksa kesemua akaun peribadinya selama 22 tahun beliau memerintah bagi mengesahkan pengakuannya, menurut TV Astroawani.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional yang juga Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Rahman Dahlan berkata tidak hanya Najib mempunyai akaun amanah bagi pihak Umno, tetapi presiden-presiden terdahulu parti itu turut mempunyai akaun itu termasuk Mahathir.

Pada 5 Julai lepas, sebuah pasukan khas yang terdiri daripada SPRM, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara telah menjalankan siasatan terhadap skandal dan salah urus kewangan syarikat milik negara 1MDB itu.

Pada hujung minggu, polis telah menyoalsiasat beberapa pegawai SPRM termasuk Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin berhubung pembocoran maklumat mengenai siasatan isu 1MDB di dalam Pasukan Petugas Khas.

Bahri merupakan orang keempat yang ditahan untuk disoalsiasat oleh polis, termasuk tiga lagi pegawai SPRM sabtu lalu .

Tiga lagi yang ditahan pada hujung minggu itu, ialah bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Rashpal Singh; Ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran Pasukan Penyiasat Khas, Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Szailee Abdul Khairi.

Ketiga-tiga yang ditahan itu telah dibebaskan, tetapi polis telah merampas beberapa dokumen daripada pejabat dan rumah Ahmad Szailee

“SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Di harap semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada SPRM untuk meneruskan siasatan dengan menyeluruh,” kata kenyataan SPRM itu.

Tambah kenyataan itu, tindakan yang diambil oleh suruhanjaya itu adalah jelas dan semata-mata untuk menjalankan tugas sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

Tangan tersembunyi & Kerja gila

Sementara itu portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa Bahri, selepas disoal siasat oleh pasukan polis dari Bukit Aman, membayangkan kemungkinan wujud 'tangan tersembunyi' di sebalik tindakan polis.

"Saya rasa pihak polis tak buat kerja gila macam ni kecuali ada pihak yang mengarahkan sedemikian," katanya seperti dilaporkan oleh portal berita itu.

Malaysiakini turut melaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata, polis akan merakamkan kenyataan pegawai Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan bahawa polis akan memanggil Gabenor Bank Negara, Zeti Akthar Aziz, berhubung siasatan isu 1MDB.

Sejak isu 1MDB hangat diperkatakan, kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah termasuk menyekat laman web portal berita penyiasatan Sarawak Report, yang berpangkalan di United Kingdom, dan menggantung permit penerbitan akhbar kewangan harian dan mingguan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly kerana mendedahkan pelbagai isu mengenai 1MDB baru-baru ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.