Malaysia Dakwa Jho Low Dengan Pertuduhan Baru, Sekali Lagi Minta Bantuan Interpol

Hadi Azmi & Nisha David
2020.02.11
Putrajaya, Malaysia
200211-MY-SPRM-Latheefa900.jpg Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya bercakap kepada pemberita selepas perasmian Simposium Apec berkenaan “Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption” di Putrajaya, 11 Februari 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Suruhanjaya anti-rasuah Malaysia pada Selasa mengumumkan pertuduhan baru terhadap pembiaya kewangan dalam buruan Jho Low bersama dua warga asing yang juga pengarah Petrosuadi, yang dikehendaki berkaitan dakwaan pengubahan berpuluh juta dolar dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa Koya, yang mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pendakwaan terbaru difailkan keatas Low, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd, Tarik Essam Ahmad Obaid dan pengarah syarikat itu, Patrick Andrew Marc Mahony di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan baru pada Isnin.

Majistret S. Mageswary telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kesemua mereka kerana tidak hadir semasa prosiding (‘in absentia’) atas pertuduhan rasuah dan penglibatan jenayah dalam skandal 1MDB membabitkan AS$69 juta(RM285 juta) serta bersubahat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mendapatkan rasuah.

“Semalam kita telah memfailkan pertuduhan dan turut dilampirkan bersama waran tangkap. Kita juga sudah menghubungi Interpol tentang perkara ini. Secara umumnya kita telah mengeluarkan waran tangkap supaya Interpol dapat mengeluarkan notis merah (terhadap Low and dua lagi),

“Pertuduhan ini adalah yang terbaru kerana bersubahat dalam konspirasi jenayah untuk pengubahan wang haram dan dalam pertuduhan kita ada sebut (membabitkan) AS$69 juta,” kata Latheefa kepada media di Putrajaya pada Selasa.

Dalam kertas pertuduhan yang dilihat BeritaBenar, Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, Mahony dan Obaid dituduh bersama-sama terlibat dalam konspirasi jenayah dengan bekas perdana menteri Najib yang menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan balasan rasuah di antara Februari hingga Jun 2011.

Selain dari itu, Mahony dan Obaid turut berdepan dengan pertuduhan tambahan kerana secara sedar terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menerima dana melalui akaun Petrosaudi yang diterima dari 1MDB pada 30 September, 2009.

Individu yang didapati bersalah dibawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan Seksyen 24(1) di bawah akta yang sama, berdepan dengan 20 tahun maksimum penjara dan denda tidak lebih dari lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah tersebut atau RM10,000 (AS$2,419) atau yang mana satu lebih tinggi menurut kertas pendakwaan tersebut.

Bagi pertuduhan kedua melibatkan Obaid dan Mahony, kedua mereka dituduh di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah boleh didenda maksimum RM5 juta (AS$1.2 juta) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Waran tangkap berbeza

Latheefa berkata waran tangkap itu adalah yang terbaru dan berbeza dari waran tangkap dan notis merah yang dikeluarkan sebelum ini terhadap Jho Low dan bekas pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil pada 11 Jun, 2018 yang gagal mendapatkan sebarang keputusan.

“Waran tangkapan terdahulu adalah berbeza. Ini pula adalah sebahagian dari usaha berterusan kita dan juga siasatan berkaitan 1MDB, SRC International seperti yang anda semua tahu. Kita bercakap mengenai lebih dari RM30 bilion (AS$7.25 bilion) yang telah dibelanjakan di merata dunia,” kata Latheefa.

November lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jho Low telah bersekongkol dengan Mahony dan Obaid untuk mengelirukan Najib Razak.

Pada Ogos 2019, ketika duduk di kandang saksi dalam perbicaraan SRC International melibatkan Najib, SAC Rosli Hussain memberitahu mahkamah bahawa notis merah telah dinaikkan di beberapa negara yang Jho Low yang dipercayai berada di beberapa negara termasuk di Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China.

Beliau turut mengesahkan di mahkamah bahawa Polis DiRaja Malaysia melalui ibupejabatnya di Bukit Aman telah memohon notis merah kepada Interpol seawal 24 Mei, 2018 terhadap Low, Nik Faisal dan dua lagi individu.

Pada 24 Ogos, 2018, Low telah didakwa dengan tiga pertuduhan menerima dana dan lima pertuduhan memindahkan dana berjumlah RM1 bilion (AS$261 juta) manakala bapanya, ahli perniagaan Larry How Hock Peng yang turut berada dalam pelarian didakwa atas kesalahan yang sama kerana memindahkan wang kepada anaknya.

Ketika artikel ini dikeluarkan, Low masih belum memberikan sebarang kenyataan berkaitan dakwaan terbaru terhadap beliau.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini pernah berjanji untuk membawa pulang Low akhir tahun lepas tetapi usaha itu terbantut yang menurut beliau tidak mendapat kerjasama daripada rakan sekerja di negara yang disyaki Low berada.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 30 Oktober 2019, Low telah mencapai persetujuan bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk membayar tuntutan penyelesaian AS$700 juta (RM2.8 bilion) dan sekaligus menamatkan beberapa tindakan sivil yang diambil untuk melucutkan harta milik Low yang dikatakan dibeli menggunakan wang yang diseleweng dari 1MDB.

1MDB ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disingkirkan pada pilihanraya umum 2018 dan skandal tersebut merupakan tema utama kempen pihak pembangkang.

Najib berhadapan dengan 42 pertuduhan jenayah berkaitan kerugian yang dialami oleh 1MDB dan entiti kerajaan lain.

Pihak pendakwaraya menuduh Najib telah mengambil AS$681 juta dari 1MDB dan berkata wang itu telah digunakan untuk membiayai cara kehidupan yang mewah bekas pemimpin itu dan isterinya Rosmah Mansor, yang turut berdepan dengan pertuduhan rasuah.

Kedua-dua Najib dan Low menafikan segala pertuduhan jenayah yang dilemparkan ke atas mereka.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.