Malaysia Lantik Ketua SPRM Baru
2016.07.29

Agensi anti-rasuah Malaysia yang menyiasat skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Najib Razak sedang dirombak.
Kerajaan Malaysia pada Jumaat mengumumkan bahawa Peguam Negara Apandi Ali, yang telah membersihkan nama Najib dengan kesalahan jenayah dalam skandal 1MDB, akan mengambil alih pucuk pimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai Isnin ini.
Dzulkifli Ahmad, yang mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara, akan menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed, kata Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dalam satu kenyataan Jumaat.
Wartawan yang menghadiri majlis perpisahan di ibu pejabat SPRM bagi Abu Kassim, yang telah mengumumkan persaraannya lebih dari sebulan yang lalu, terkejut melihat sepanduk yang mengumumkan bahawa dua timbalan beliau turut akan meninggalkan agensi itu.
Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Mustafar Ali akan dipindahkan ke Jabatan Imigresen dengan jawatan sebagai Ketua Pengarah, juga bermula Isnin.
Kenyataan media itu bagaimanapun tidak menyebut tentang status Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Mohd Shukri Abdull tetapi SPRM dalam kenyataan berasingan berkata, Mohd Shukri akan menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan sebelum bersara pada bulan Oktober.
"Ketiga-tiga pemimpin SPRM telah memberi sumbangan besar selama lebih daripada tiga dekad, terutamanya kejayaan mereka membawa perubahan di dalam suruhanjaya itu," katanya.
Shukri dalam ucapan perpisahan (dengan berlinang air mata) mengakui beliau telah dituduh mahu "menggulingkan kerajaan" bersama-sama dengan Abu Kassim pada akhir persaraannya.
Abu Kassim dalam perutusannya menggesa kakitangan SPRM supaya memberikan sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya baru walaupun Dzulkifli adalah "orang luar."
"Pegawai-pegawai SPRM mesti bersedia memberikan maklumat kepada Pesuruhjaya SPRM baru yang akan mengetuai agensi anti-rasuah yang terkemuka," katanya.
Ditekan sehingga letak jawatan?
Suruhanjaya itu semasa berada di bawah Abu Kassim telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan lepas oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.
Suruhanjaya itu telah dipuji oleh Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) atas "keberaniannya" dalam menyiasat rasuah 1MDB.
FBI juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman AS (DOJ), yang minggu lalu telah memfailkan tindakan undang-undang sivil untuk mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset, yang didakwa diperolehi melalui dana yang disalurkan dari 1MDB dan diubah secara haram menerusi beberapa institusi kewangan Amerika.
Najib telah dikaitkan dengan skandal itu sejak Wall Street Journal melaporkan pada Julai 2015 bahawa beratus-ratus juta dolar milik 1MDB telah dimasukkan kedalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.
Sesetengahnya telah digunakan untuk membayar perbelanjaan politik di Malaysia serta pakaian dan barang kemas, menurut akhbar itu yang memetik orang yang mengetahui tentang siasatan di kedua-dua negara, maklumat pemindahan kewangan dan dokumen-dokumen lain.
Bulan lalu, Wall Street Journal, memetik mereka yang mengetahui mengenai perkara itu, melaporkan keputusan Abu Kassim untuk meletakkan jawatan adalah disebabkan daripada tekanan daripada Najib.
Bagaimanapun, Abu Kassim, menurut laporan agensi Berita Nasional [Bernama] berkata, beliau tidak meletak jawatan kerana tekanan, sebaliknya beliau telah meminta untuk ditamatkan kontraknya lebih awal untuk membolehkannya mengambil peluang lain.
Najib telah dikritik oleh para pengkritik tahun lalu selepas beliau melantik Apandi untuk menggantikan Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang ketika itu sedang menyiasat mengenai kemelut 1MDB.
Wan Saiful Wan Jan, yang mengetuai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, sebuah badan pemikir telah melahirkan kebimbangan beliau bahawa "orang luar" telah dilantik untuk mengetuai agensi anti-rasuah, dengan berkata ia akan "menjejaskan reputasi SPRM."
"Imej kerajaan untuk memerangi rasuah telah terjejas dengan pelantikan itu yang boleh membawa keraguan terhadap integriti suruhanjaya itu," katanya kepada BeritaBenar.
Beliau berkata, cabaran utama Dzulkifli adalah untuk mendapatkan kepercayaan dari rakyat Malaysia bahawa agensi itu akan menjalankan tugasnya "tanpa rasa takut atau pilih kasih."
"Kami telah melihat suruhanjaya itu menyiasat semua jenis kes tanpa pilih kasih. Sama ada Perdana Menteri atau Ketua Menteri, semua orang mesti disiasat sepenuhnya [jika terdapat sebarang dakwaan terhadap mereka].