SPRM bongkar sindiket pegawai korup dalang bawa masuk pendatang

Penguat kuasa buka ‘kaunter khas’ benarkan warga asing tanpa dokumen melepasi pemeriksaan imigresen di lapangan terbang.
Nisha David dan Helmi Foad
2024.08.20
Kuala Lumpur
SPRM bongkar sindiket pegawai korup dalang bawa masuk pendatang Warga asing yang baru tiba dengan penerbangan semasa mahu melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 27 Februari 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket didalangi oleh kakitangan kerajaan yang korup selama lebih dua tahun untuk membawa masuk pendatang dari negara rantau Asia ke negara itu tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa susulan penangkapan 12 individu pada Selasa.

Lebih RM4 juta [AS$919,540] telah berjaya dikesan dimasukkan ke dalam akaun bank disyaki milik pegawai-pegawai yang korup itu sejak 2022.

Sindiket yang telah mengaut keuntungan berjuta ringgit itu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa ‘kaunter tertentu’ bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata penahanan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 50-an dilakukan hasil ‘Op Pump’ di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Tangkapan itu adalah susulan risikan SPRM sejak 2022 terhadap kegiatan sindiket itu yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

“Sindiket itu dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit dengan siasatan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta [AS$919,540] dari 2022 hingga tahun ini dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagihkan kepada penguat kuasa terbabit," katanya.

Azam berkata suspek yang ditahan membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing berkenaan serta lima penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Jelas beliau kumpulan warga asing yang ingin masuk ke Malaysia akan menghubungi ejen berkenaan yang bertindak menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.

“Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa sama memaklumkan kepada warga asing terbabit untuk pergi ke kaunter terbabit sejurus tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan.

"Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit diambil oleh wakil ejen dan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," tambah beliau.

Azam berkata kumpulan warga asing itu sepatutnya melalui pemeriksaan mengikut peraturan Imigresen 2021 iaitu mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, visa, tiket perjalanan pergi balik, mempunyai wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara ini dan menunjukkan alamat penginapan atau tempahan hotel.

Katanya kesemua suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu bagi proses permohonan reman.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.