Rakaman Perbualan Najib Cuba Tutup Kes 1MDB, Dakwa SPRM

Noah Lee & Nisha David
2020.01.08
Putrajaya, Malaysia
200108-MY-1MDB-Latheefa-620.jpg Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya semasa bercakap kepada pemberita mengenai sembilan rakaman perbualan yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad, 8 Jan, 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia pada Rabu telah mendedahkan sembilan rakaman audio perbualan yang didakwa antara bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan pegawai-pegawainya, yang sekaligus menunjukkan bekas pemimpin itu cuba menyembunyi penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang terikat dengan skandal kewangan 1MDB.

Sembilan rakaman audio selama 45 minit termasuk satu daripadanya dipercayai adalah perbualan antara Najib dan Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Julai 2016, membuktikan elemen penyembunyian melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad, kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah," kata Latheefa Koya pada sidang media di pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

"Semua perkara ini agak menakutkan kerana semua ini berlaku di tengah-tengah siasatan serius melibatkan skandal mega dan rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. "Di sini kita mendengar perbualan yang benar-benar menjejaskan institusi yang sepatutnya ... mencari keadilan."

Pada Rabu, Najib tidak tidak mengesahkan atau menafikan kesahihan dua rakaman termasuk dengan isterinya, Rosmah Mansor.

Semasa beliau bercakap kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di mana beliau sedang berdepan dengan pendakwaan terhadap dua pertuduhan berkaitan dengan 1MDB, Najib berkata rakaman yang didedahkan kepada awam itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia.

"Saya adalah perdana menteri pada masa itu. Sama ada, mana-mana pihak mempunyai hak untuk ‘wire-tapping’ perbualan seorang perdana menteri, lebih-lebih lagi dengan dengan ketua kerajaan lain, ini boleh memberi kesan kepada hubungan diplomatik dan kepentingan Malaysia dengan negara lain," katanya.

Latheefa berkata rakaman itu dibuat antara Januari hingga Julai 2016 dan diterima pada awal tahun 2020.

"Kami telah diberikan rakaman ini, tetapi saya tidak akan memberitahu anda dari mana pada masa ini. Menurut penyiasatan kami, kami dapat mengesahkan kesahihan mutlaknya," kata beliau sambil menambah," kandungannya mengejutkan; ia menyembunyikan dan subversif keadilan. "

‘Saya mempunyai permintaan peribadi’


Antara rakaman yang diperdengarkan kepada pemberita pada sidang media itu ialah rakaman pada 22 Julai 2016, perbualan antara lelaki yang dikenalipasti oleh SPRM adalah Najib bersama Sheikh Mohammed bin Zyed al-Nahyan, Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu.

Mereka didakwa membincangkan rancangan untuk membersihkan nama anak tiri Najib, Riza Aziz, daripada satu tuntutan mahkamah yang difailkan dua hari sebelumnya oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan pengeluaran filem Hollywood "The Wolf of Wall Street," oleh syarikat produksi Red Granite Picture milik Riza.

"Saya mempunyai permintaan peribadi, Yang Mulia, yang berkaitan dengan Riza, anak saya, filemnya. Masalahnya agak kecil sekiranya ada perjanjian dengan Sheikh Mansour (Zayed al-Nahyan) untuk menandatangani perjanjian pinjaman dan beliau akan membayar balik mengikut jadual. Itu akan menunjukkan bahawa ia adalah pakej pembiayaan yang sah dan bukan wang haram, anda lihat.

"Pada masa ini, beliau mendapat sedikit tekanan di Amerika. Kami bimbang akan beliau, sekiranya mereka membuatnya menjadi kambing hitam," Najib didakwa sebagai berkata ketika beliau meminta putera mahkota itu supaya anaknya menandatangani perjanjian pinjaman berkenaan.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 seolah-olah memacu pembangunan ekonomi, tetapi dana negara itu dibebani hutang berbilion ringgit.

Pada masa memfailkan tindakan undang-undang, Jabatan Kehakiman AS mendakwa "Pegawai  Malaysia 1" – yang kemudian dikenalpasti sebagai Najib – serta sekutu-sekutunya telah penggelapkan dan pengubalan wang haram lebih daripada AS$ 4.5 bilion (RM18.45 bilion) dana  berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Tindakan undang-undang itu menamakan Riza sebagai pemilik Red Granite, yang didakwa menerima AS$238 juta daripada urus niaga berkaitan 1MDB yang digunakan untuk membiayai pengeluaran filem dan membeli hartanah mewah di AS dan Britain. Red Granite Pictures kemudiannya bersetuju untuk penyelesaian berjumlah AS$60 juta (RM246 juta) dengan kerajaan AS pada Mac 2018.

Perbualan terdahulu

Rakaman pada 5 Jan 2016, yang didakwa merakam perbualan antara Najib dan seorang lelaki yang dipercayai pegawai di Pejabat Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad, membincangkan status siasatan SPRM terhadap 1MDB pada masa itu. Dzulkifli, yang kemudiannya dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, dikatakan memberitahu Najib bahawa nama bekas perdana memteri itu adalah antara mereka yang harus didakwa bagi skandal tersebut.

Tiga minggu kemudian, pada 26 Jan 2016, Peguam Negara ketika itu Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa "tiada kesalahan jenayah" dilakukan berkaitan dengan pemindahan $681 juta (RM2.8 bilion) ke dalam akaun Najib, dengan menyatakan  bahawa ia adalah "sumbangan peribadi" daripada keluarga diraja Arab Saudi. Apandi juga mengumumkan bahawa pejabatnya telah menutup siasatan kes-kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Najib telah berkata bahawa dana itu diberikan kepadanya untuk membiayai kempen politik calon-calon parti pemerintah pada 2013.

Kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad, yang menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri, membuka semula penyiasatan ke atas  1MDB selepas gabungan partinya menewaskan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia pada Mei 2018.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa beliau percaya rakaman itu tidak akan menjejaskan perbicaraan Najib, yang menghadapi 42 pertuduhan berkaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International, tetapi SPRM akan menyerahkan rakaman itu kepada pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Zamri Yahya, yang mengetuai Jabatan Pematuhan Integriti dan Standard  Polis DiRaja Malaysia, menghadiri sidang berita itu di mana beliau mendengar rakaman berkenaan buat kali pertama.

"Selepas menerima audio ini, kami akan menghantarnya untuk analisis forensik sebelum kami memulakan penyiasatan. KPN akan bercakap dengan media kemudian," kata Zamri kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Tindak balas

Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan terhadap SPRM dan Latheefa kerana menghina mahkamah, sambil memberitahu ia boleh menjejaskan perbicaraan yang sedang dijalankan.

"Anda dapat lihat terdapat dua atau tiga kes di mana rakaman ini nampaknya ada kaitan. Jelas sekali SRC terlibat, 1MDB terlibat. Dan kes yang lain adalah yang membabitkan Riza di mahkamah," kata Shafee.

Latheefa bertindak mencabar Shafee.

"Saya tidak nampak bagaimana ia mempengaruhi kes yang sedang berjalan. Apa yang kami tahu hal ini membabitkan kepentingan awam yang melibatkan keselamatan negara yang serius, jadi saya tidak nampak mengapa ia tidak boleh dikongsikan, "katanya.

Sementara itu, peguam jenayah Akberdin Abdul Kader berkata SPRM mungkin melakukan dua kesalahan dengan memperdengarkan rakaman audio itu kepada orang ramai.

"Ia adalah subjudis [di bawah pertimbangan kehakiman dan dilarang menjadi perbincangan awam di tempat lain] kerana kes sedang berlangsung. Kedua, mendedahkan perbualan antara suami dan isteri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 122 Akta Keterangan, memandangkan perbualan suami dan isteri adalah istimewa dan tidak boleh didedahkan kepada khalayak ramai," katanya.

"Di mahkamah, jika sesuatu melibatkan elemen jenayah, ia boleh didedahkan hanya setelah menerima persetujuan hakim," katanya kepada BeritaBenar.

Peguam R. Sivahnanthan turut menyokong pendapat itu dengan berkata bahawa perbualan yang dirakam boleh dikemukakan di mahkamah tetapi tidak boleh dikongsi di khalayak ramai.

"Malah, perlembagaan kami menjanjikan hak kepada privasi," katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.