SPRM siasat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad atas kesalahan rasuah
2024.04.25
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia pada Khamis mengesahkan bahawa siasatannya terhadap dua orang anak Mahathir Mohamad bermula awal tahun ini merupakan sebahagian daripada satu siasatan lebih besar terhadap bekas perdana menteri itu.
Mahathir merupakan bekas perdana menteri Malaysia yang ketiga disiasat pihak berkuasa negara itu sejak November 2021, menyebabkan sesetengah pengkritik menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai menyasarkan musuh politiknya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap Mirzan dan Mokhzani pada awal tahun ini selepas pendedahan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa mengenai harta dua ahli perniagaan itu yang disimpan di akaun luar pesisir.
"Saya ingin mengesahkan dalam siasatan ini, beliau (Mahathir) adalah antara yang disiasat dalam kes ini, dan ekoran daripada penyiasatan terhadap beliau itu mengaitkan kedua-dua anaknya.
“Kita telah memberi notis kepada kedua-dua anaknya untuk mereka mengisytiharkan harta dalam tempoh dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM," kata beliau kepada pemberita tanpa mengulas lebih lanjut pada Khamis.
Seksyen 36 Akta SPRM mengkehendaki individu supaya mengisytiharkan aset mereka kepada agensi anti-rasuah itu sekiranya mereka menjadi subjek siasatan.
Ini merupakan kali pertama SPRM mengesahkan secara rasmi bahawa suruhanjaya itu sedang menyiasat Mahathir yang kini berusia 98 tahun.
Malaysia telah memulakan beberapa siasatan rasuah sejak kebelakangan ini melibatkan tokoh politik semasa atau lampau, termasuk dua lagi bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob serta yang terkini ialah Mahathir.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kanan) mendengar kata-kata daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Muhyiddin Yassin semasa sidang akhbar di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, 5 April 2018. [Lai Seng Sin/Reuters]
Penjenayah?
Pada pertengahan April, Mahathir ketika memetik satu notis yang dikeluarkan terhadap Mirzan mempersoalkan adakah beliau seorang penjenayah dan menggesa SPRM supaya menjelaskan tuduhan bahawa beliau telah membuat kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM sedangkan dirinya tidak pernah disiasat secara rasmi.
Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan berkaitan salah guna kuasa semasa memegang jawatan kerajaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (AS$2,096) mana lebih tinggi.
“Setakat saya tahu saya tidak pernah disiasat tetapi notis SPRM menyatakan saya melakukan kesalahan,” katanya.
“Kata Ketua Polis Negara saya tidak dilayan sebagai penjenayah tetapi notis kepada anak saya, Mirzan menyebut bahawa SPRM mendapati bahawa satu kesalahan di bawah Seksyen Akta ini (SPRM) berkaitan nombor aduan… telah dilakukan oleh Mahathir Mohamad.”
Setakat ini, pejabat Mahathir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan pengesahan oleh SPRM itu, selain tidak pernah mendedahkan secara umum notis yang dikeluarkan suruhanjaya berkenaan kepada Mirzan.
Dalam sebuah temuramah oleh Bloomberg pada bulan lepas, dua anak Mahathir mendedahkan bahawa SPRM mengarahkan mereka membantu siasatan terhadap bapa mereka di mana Mahathir dikatakan adalah suspek utama.
"Kami adalah saksi dalam apa yang mereka sedang siasat ini. Kami bertanya 'apakah kes terhadap bapa saya ini?' tetapi mereka tidak dapat memberikan jawapan," kata Mokhzani, 63, seperti dipetik oleh Bloomberg.
Pada Januari lalu, SPRM mengarahkan Mirzan, 66, yang merupakan anak sulung Mahathir dan Mokhzani membuat pengisytiharan semua harta mereka di dalam dan luar negara bermula tahun 1981 iaitu ketika Mahathir memegang tampuk kuasa dalam tempoh 30 hari.
Arahan itu merupakan sebahagian daripada siasatan suruhanjaya berkenaan lanjutan daripada maklumat dalam pendedahan yang dipanggil sebagai Panama Papers serta aktiviti perniagaannya membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan," kata agensi anti-rasuah itu dalam satu kenyataan pada Januari.
Pada Ogos 2022, SPRM menyatakan bahawa ia telah memulakan siasatan terhadap entiti yang dinamakan serta berkaitan dengan pendedahan Panama dan Pandora Papers yang memberikan maklumat mengenai perbuatan melarikan diri daripada cukai oleh individu berpengaruh di seluruh dunia.
Siasat semua
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, negara Asia Tenggara itu menyaksikan pihak berkuasa anti-rasuah memulakan siasatan terhadap sejumlah ahli politik terkenal dengan sesetengahnya merupakan individu yang dilihat sebagai sekutu Mahathir. Bekas perdana menteri itu sangat diketahui sebagai musuh politik Anwar.
Mahathir juga telah menuduh bahawa Anwar mengamalkan tindakan penguatkuasaan terpilih susulan notis SPRM kepada dua anaknya.
Pada 1998, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu memecat Anwar daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri sebelum Anwar didakwa dan dipenjarakan atas dakwaan liwat dan rasuah. Anwar dan para penyokongnya menafikan sebarang salah
Anwar dalam respon terhadap dakwaan bahawa beliau menyasarkan musuh politiknya berkata semua siasatan yang dibuat merupakan sebahagian daripada kempen kerajaan dalam menentang rasuah peringkat atasan.
Semasa konvensyen khas Parti Keadilan Rakyat pimpinannya pada hujung minggu lalu, Anwar berkata usaha melawan rasuah bukan sesuatu yang mudah terutamanya apabila membabitkan individu berpengaruh dan mempunyai banyak wang.
Namun kata beliau, undang-undang tidak mengira sama ada seseorang itu tua atau sakit.
"Ada yang tanya kenapa kita masih berdendam dengan orang yang tua dah sakit? Jadi jika kamu tua dan sakit, adakah bermakna kamu boleh rogol dan membunuh?
"Saya jawab kata saya tidak peduli, selagi mana undang-undang ditegakkan," kata beliau pada Ahad.
Pada hujung Januari lalu, ahli perniagaan Daim Zainuddin yang merupakan sekutu lama Mahathir dan isteri Daim, Nai'mah Abdul Khalid telah didakwa di mahkamah atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta.
Penuhi janji lawan rasuah
Penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata siasatan yang dijalankan SPRM itu berkemungkinan akan mengganggu tumpuan Mahathir kepada politik.
Mahathir kini dilihat menyebelahi blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) dan dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada empat Kerajaan Negeri - Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
"Dengan siasatan ini, ia memberikan naratif baharu kerana semasa Anwar berada dalam pembangkang, beliau telah bercakap mengenai isu ini (rasuah) banyak kali dalam kempen politiknya.
"Hari ini selepas Anwar menjadi perdana menteri, beliau telah memenuhi janjinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menghapuskan rasuah," kata beliau kepada BenarNews.
Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan berkata perkembangan terbaru itu dapat menghakis pengaruh Mahathir berkaitan dengan prinsip anti-rasuah terutamanya membabitkan isu rasuah politik.
"Dari segi senario politik di negara ini, siasatan ini mengurangkan aura politik Mahathir dalam isu melawan rasuah.
"Ia juga mempunyai implikasi negatif kepada parti pembangkang Perikatan Nasional, di mana Mahathir serta yang lain cuba menyerang kerajaan pimpinan Anwar," kata felo kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara itu kepada BenarNews.
"Oleh itu, implikasinya ialah Mahathir akan berdepan kepayahan untuk menggunakan isu rasuah bagi menyerang kerajaan kerana dirinya dan keluarga turut menjadi sasaran siasatan SPRM."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.