SPRM geledah syarikat telekomunikasi, siasat kes tuntutan palsu RM2.7 bilion

Projek 1BestariNet bernilai RM4.1 bilion diluluskan kepada YTL Communications semasa bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan.
Noah Lee dan Minderjeet Kaur
2024.09.04
Kuala Lumpur
SPRM geledah syarikat telekomunikasi, siasat kes tuntutan palsu RM2.7 bilion Murid-murid Sekolah Kebangsaan (Asli) Bukit Cheding mencari maklumat melalui Internet menggunakan komputer riba di sekolah tersebut di Kuala Langat, Selangor, 24 April 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia telah melakukan penggeledahan terhadap pejabat sebuah syarikat telekomunikasi pada Rabu, sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap tuntutan palsu sejumlah RM2.7 bilion (AS$620 juta) membabitkan satu projek kerajaan pada 2011 untuk menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi serta platform pembelajaran secara digital kepada 10,000 buah sekolah.

Penganalisis berkata siasatan itu dilihat bermotifkan politik sebagai 'serangan' berterusan ke atas bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah ia melibatkan projek 1BestariNet bernilai RM4.1 bilion (AS$941 juta) yang telah dianugerahkan kepada YTL Communications semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran Najib Razak pada waktu itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 2020.

Menurut satu sumber SPRM, agensi anti-rasuah itu telah menyita dokumen dan sedang mengenal pasti saksi yang diperlukan untuk membantu siasatan mereka.

"Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion," kata pegawai tersebut yang enggan dinamakan.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hasim ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan tersebut tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa kepada SPRM untuk melaksanakan siasatan tanpa gangguan," kata beliau.

Hisomuddin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, sebuah syarikat penyelidikan pendapat umum percaya siasatan berkenaan adalah bermotifkan politik dan pendakwaan terpilih terutamanya apabila membabitkan Muhyiddin.

"Dalam aspek ini, ia seperti mengukuhkan siri siasatan mereka terhadap Muhyiddin. Maksudnya ia melibatkan tokoh seperti Muhyiddin dalam kes hasutan berhubung Sultan Pahang baru-baru ini serta kes terhadap menantunya.

"Semua siri siasatan ini macam mengukuhkan bahawa tokoh Perikatan Nasional adalah tidak bersih," kata beliau kepada BenarNews.

Persepsi politik

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi pula berkata siasatan dibuat SPRM itu tentunya akan menimbulkan persepsi bahawa ia berkaitan dengan politik kerana projek tersebut berkait dengan Muhyiddin yang merupakan seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa SPRM baru membuka siasatan ke atas projek 1BestariNet kerana mereka mempunyai bukti baharu.

"SPRM akan melakukan siasatan apabila ada bukti baharu. Kenapa sekarang? Perkara ini kompleks, tentunya mereka memerlukan bukti yang sewajarnya. Ini process siasatan, kalau tak ada bukti mereka tak boleh dakwa.

"Saya kira mungkin ada bukti baharu. Ia kes besar dan lama," kata profesor madya dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya itu kepada BenarNews.

Menurut portal rasmi kerajaan MyGovernment, 1BestariNet merupakan sebuah projek inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications dan menyasarkan 10,000 sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan akses Internet berkelajuan tinggi.

Ia dilaksanakan dengan visi untuk mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital antara murid kawasan bandar dengan luar bandar, kata laman web itu.

Sebelum ini, banyak pihak telah menggesa SPRM supaya menyiasat projek itu atas dakwaan salah laku, selain aduan bahawa akses Internet di sekolah-sekolah masih bermasalah disebabkan kelajuan data yang tidak menepati piawaian.

Jabatan Audit Negara dalam laporannya pada 2019 turut mendapati bahawa projek berkenaan tidak dilaksana secara menyeluruh dan menggesa Kementerian Pendidikan supaya melakukan penilaian holistik terhadap keberkesanan 1BestariNet.

Menurut laporan media tempatan, audit dijalankan kerajaan antara Oktober 2018 dan Mac 2019 itu mendapati bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai indeks pencapaian utama platform FROG VLE (virtual learning environment) yang telah ditetapkan manakala tidak sampai 1 peratus daripada 423,566 guru telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.

Pada tahun lepas, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang memegang jawatan Menteri Pendidikan antara 2018 hingga Januari 2020 dipetik media tempatan bahawa antara sebab mengapa beliau terpaksa meletakkan jawatan itu adalah kerana keengganan memperbaharui kontrak YTL.

Maszlee mendakwa Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu telah memintanya memulangkan jawatan atas desakan Muhyiddin.

Selepas tujuh tahun, kontrak perkhidmatan 1BestariNet telah ditamatkan pada Jun 2019 dan kemudian digantikan dengan tiga penyedia perkhidmatan Internet (ISP).

Susulan itu, KPM menggunakan pelantar pembelajaran Google Classroom yang boleh digunakan secara percuma menggantikan Frog VLE.

Bercakap dalam satu program podcast tahun lalu, Maszlee menyifatkan bahawa 1BestariNet sebagai satu projek gagal selepas akses Internet di sekolah-sekolah kekal teruk walaupun kerajaan berbelanja berbilion ringgit  bagi projek itu. 

Selain itu, kata beliau YTL juga memasang tiang komunikasi mereka di kawasan sekolah dengan kos tenaga elektrik terpaksa ditanggung pihak sekolah dan syarikat tidak membayar kos sewaan.

"Bila saya lihat draf perjanjian antara YTL dan kerajaan itu begitu berat sebelah, memihak kepada pihak swasta dan merugikan rakyat dan kerajaan.

"Tetapi yang paling penting ialah projek tersebut gagal. Bila kita melihat kepada pihak profesional yang menilai, mereka belanjakan paling banyak pun (untuk projek) adalah RM1 bilion ringgit, (baki) RM3 bilion lagi merupakan (untung) atas angin," dakwa Maszlee.

Susulan berita mengenai serbuan SPRM pada Rabu, Maszlee telah berkongsi semula satu tangkap layar laporan berita mengenai gesaan beliau supaya agensi itu menyiasat Muhyiddin pada 2019, dengan kapsyen "Finally... (akhirnya)...".

Beliau turut berkongsi semula di platform X berkaitan satu kenyataan media dikeluarkan KPM pada 2019 mengenai keputusan untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan 1BestariNet selepas 30 Jun 2019.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.