SPRM tumpas sindiket jual diesel subsidi kepada pengguna negara jiran

Mahkamah Majistret Sibu benarkan permohonan SPRM tahan dua lelaki bersaudara untuk siasatan lanjut.
Iskandar Zulkarnain dan Nisha David
2024.08.26
Kuala Lumpur
SPRM tumpas sindiket jual diesel subsidi kepada pengguna negara jiran Dua adik-beradik yang disyaki dalang penyeludupan minyak diesel nelayan dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sibu, Sarawak, 26 Ogos 2024.
[Ihsan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia]

Agensi anti-rasuah Malaysia mengumumkan ia telah berjaya menumpaskan sindiket utama penyeludupan diesel yang disyaki telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta (AS$92 juta) dengan menjual diesel bersubsidi kerajaan kepada para pembeli di negara-negara berjiran, susulan penangkapan beberapa individu pada hujung minggu lalu.

Agensi itu mengesyaki dua lelaki bersaudara rakyat tempatan yang ditahan reman pada Isnin setelah bersubahat dengan para pengusaha stesen minyak dan beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang sejak 12 tahun lalu untuk menjual diesel kepada para pembeli dari Indonesia, Filipina, Vietnam dan Papua New Guinea, pada harga lebih murah berbanding harga pasaran di negara-negara berkenaan.

“Para penyeludup mampu menjana keuntungan yang besar dengan menjual minyak diesel bersubsidi Malaysia ke negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dan Papua New Guinea, disebabkan negara-negara tersebut tidak mempunyai program subsidi seperti kita,” kata Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada BenarNews.

Tambahnya, sindiket itu telah menggunakan pelbagai taktik untuk menyeludup keluar diesel bersubsidi, termasuk memindahnya dari tangki minyak untuk kegunaan nelayan di kawasan premis simpanan di Sungai Bidut, Sarawak, ke dalam tongkang sebelum dipindakan ke kapal-kapal pembeli pada tengah malam bagi mengelakkan aktiviti dikesan pihak berkuasa.

“Di Indonesia, diesel dijual pada harga runcit RM4.20 (AS$0.96) setiap liter berbanding dengan diesel bersubsidi kita yang dijual pada harga RM2.15 (AS$0.49) seliter,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan Kedua, Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan telah berbelanja sebanyak RM14.3 bilion (AS$2.3 billion) untuk subsidi diesel pada tahun 2023.

Beliau menjelaskan langkah itu diambil bagi membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

“Malaysia tidak mampu untuk terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berleluasa, sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” ujarnya dalam pengumuman berkenaan.

Lebih sebulan selepas itu, Putrajaya mengeluarkan kenyataan menganggarkan ketirisan yang berjumlah kira-kira RM250 juta (AS$57.5 juta) yang berjaya dielakkan daripada aktiviti penyeludupan selepas pelaksanaan subsidi bersasar bermula 10 Jun di Semenanjung Malaysia.

Susulan itu, harga jualan runcit diesel tidak bersubsidi ditetapkan pada RM3.35 (AS$0.77) seliter berbanding harga jualan bersubsidi RM2.15 (AS$0.50) seliter sebelum ini.

Sabah dan Sarawak bagaimanapun, masih menikmati subsidi diesel disebabkan penggunaan kenderaan diesel yang begitu meluas di kepulauan Borneo tersebut.

Rasuah penguatkuasa

SPRM telah dilibatkan dalam siasatan tersebut yang dimulakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selepas mengesyaki wujud elemen rasuah di kalangan para pegawai penguatkuasa, yang telah menutup mata daripada mengambil tindakan ke atas aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi berkenaan.

Dalam serbuan pada Ahad itu, pihak berkuasa telah menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel dan wang tunai berjumlah RM3.7 juta (AS$850,000).

Operasi di sebuah depoh penyimpanan minyak yang terletak di Sungai Bidut, Sibu tersebut dijalankan secara bersama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM serta turut disertai pegawai KPDN.

Semasa serbuan, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel.

Pasukan serbuan turut menemukan 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel tersebut.

Rampasan itu dijalankan selepas SPRM menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an di pejabat SPRM Cawangan Sibu, apabila mereka dipanggil untuk memberi keterangan pada Ahad.

Azam berkata empat individu yang ditahan adalah pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan penyeludupan minyak diesel, manakala seorang lagi individu dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang menguruskan urusan jual beli diesel dengan pembeli luar.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Sibu membenarkan permohonan SPRM untuk menahan dua lelaki bersaudara berusia 40-an selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Adik perempuan mereka berusia sekitar 30-an pula ditahan reman selama sehari manakala individu lain yang turut ditahan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Perbezaan besar harga

Dalam pada itu, Profesor Mohd Nazari Ismail, pakar ekonomi dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Jabatan Pengurusan dan Pemasaran Universiti Malaya berkata perbezaan harga yang begitu ketara di antara diesel bersubsidi di Malaysia dengan harga bahan api itu di negara berjiran menjadi daya tarikan kepada sindiket penyelupan.

“Dulu diesel dari Malaysia adalah lebih murah berbanding di negara mereka, berikutan subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Tapi itu keadaan semasa kerajaan memberi subisidi pukal kepada diesel (di semenanjung),” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi namun secara bersasar kepada kenderaan sektor logistik terpilih menerusi SKDS 2.0.

“Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter. Manakala diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

“Sepatutnya subsidi ini hanya diberikan di Malaysia namun ada sebahagian dari pihak yang mempunyai kawalan ke atas diesel subsidi ini pula menyeleweng (dengan menjual) kepada orang luar,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.