Skandal 1MDB: Ketua SPRM Bakal Diganti

Staf BeritaBenar
2016.01.04
160104-MY-SPRM620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang kini berdepan dengan skandal rasuah pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Kuala Lumpur. 21 November 2015.
AFP

Sebuah portal berita tempatan pada Isnin melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin digantikan, sejurus selepas suruhanjaya itu mengemukakan kertas siasatan mengenai derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak dan SRC International.

The Malaysian Insider memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, "khabar angin bertiup kencang di Jabatan Perdana Menteri dan di kalangan pegawai atasan polis tentang seorang pegawai kanan polis atau seorang timbalan pendakwa raya kanan dari Jabatan Peguam Negara mungkin akan menggantikan Abu Kassim Mohamed untuk mengetuai SPRM”.

Sumber itu berkata, kesihatan Abu Kassim akan dijadikan sebagai alasan dalam usaha menggantikan beliau sejak ketua pesuruhjaya itu menjalani pembedahan bagi masalah sakit belakangnya.

Abu Kassim menjalani pembedahan itu pada 7 Ogos lepas dan dilaporkan kembali bertugas pada pertengahan Oktober.

Menurut sumber itu, "menggantikan ketua pesuruhjaya dengan seorang pegawai polis akan melemahkan semangat dan hanya menguatkan lagi persepsi negatif orang ramai tentang kebebasan agensi itu."

Dalam pada itu, SPRM mengeluarkan satu kenyataan media lewat malam Isnin, yang antara lain berkata, Abu Kassim berpegang kepada pendirian bahawa beliau tidak akan berundur atas tekanan mana-mana pihak, melainkan melalui keputusannya sendiri atau atas sebab masalah kesihatan.

“Buat masa ini, tiada tekanan daripada mana-mana pihak yang meminta beliau supaya menamatkan perkhidmatan di SPRM” kata kenyataan itu.

Kontrak Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya akan tamat pada tahun 2018 manakala persaraan wajib beliau daripada perkhidmatan awam jatuh pada tahun 2020.

Abu Kassim sebelum ini, telah beberapa kali menegaskan bahawa siasatan suruhanjaya terhadap sumbangan RM2.6 bilion dan daripada SRC International telah dijalankan secara bebas; selain memuji pasukan penyiasat yang melaksanakan tugas mereka dengan baik.

Ketua pesuruhjaya itu juga menyifatkan siasatan berkenaan sebagai "dua kes yang paling mencabar dalam kerjaya beliau."

‘Siasat

Ogos lalu, beberapa pegawai SPRM telah disiasat oleh pihak polis kerana kononnya membocorkan maklumat berkaitan dengan siasatan yang melibatkan Najib.

Selepas itu, sebuah laman web bernama Sarawak Report menyiarkan satu kertas pertuduhan terhadap Najib yang dikatakan telah dirangka oleh SPRM.

Tidak lama kemudian, polis menyerbu pejabat seorang pendakwa raya SPRM dan mengambil dokumen berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat dana pelaburan negara yang menanggung hutang, yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah yang membelenggui Najib.

Pada hari terakhir tahun 2015, SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion, yang didakwa didepositkan ke dalam akaun Najib, kepada Peguam Negara.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media, memaklumkan bahawa agensi itu telah menyelesaikan siasatannya termasuk memanggil lebih 100 orang saksi di Malaysia.

Bagaimanapun, SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara kerana ia hanya boleh diambil melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan negara-negara yang terlibat.

Sejak laporan mengenai deposit wang ke dalam akaun Najib didedahkan pada awal Julai lalu, Najib digesa supaya meletakkan jawatan tetapi beliau masih enggan berbuat demikian.

Najib telah mengakui bahawa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaunnya, tetapi menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan wang berkenaan telah didermakan kepadanya.

Pada Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan kepada Najib telah didermakan oleh pemimpin negara asing.

Sebagai sebahagian daripada siasatannya, SPRM menemu bual Najib pada awal 5 Disember lalu tentang deposit wang berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.