Penganalisis: Penyingkiran PM Srettha boleh jejas usaha damai Selatan Thailand
2024.08.15
Kuala Lumpur
Penyingkiran Perdana Menteri Srettha Thavisin oleh mahkamah boleh menjejaskan rundingan damai yang pelahan antara Bangkok dan kumpulan pemisah di wilayah Selatan Thailand, kerana orang awam yang dilantik sebagai ketua perunding bagi pihak Thai boleh digantikan, penganalisis memberi amaran.
Keputusan Srettha untuk melantik Chatchai Bangchud sebagai ketua awam pertama pasukan perunding Thailand adalah satu tindakan berbeza dan positif, kata pemerhati, kerana wilayah sempadan selatan negara itu mempunyai ketenteraan yang kuat dengan pegawai kanan tentera telah memegang jawatan itu sebelum ini.
Pakar keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Mohd Mizan Mohammad Aslam semasa dihubungi BenarNews berkata perubahan mendadak dalam kepimpinan Thailand boleh menjejaskan kemajuan dalam rundingan yang dicapai setakat ini.
“Kita sedang membuka jalan bagi mencapai keamanan, Sretta mempunyai pendekatan yang jelas terhadap proses damai di wilayah Selatan.
“Sretta secara terbuka meminta kerajaan Malaysia menjadi perunding dan melantik Chatchai untuk mengetuai proses damai, dan perubahan mendadak dalam kepimpinan Thailand boleh menjejaskan kemajuan dalam rundingan yang telah dicapai setakat ini,” kata Mizan.
Mizan juga berkata, sekiranya Chatchai digantikan dengan seorang tokoh tentera, ia boleh menghalang rundingan damai itu kerana Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak terbesar dan paling berkuasa di wilayah itu, dari segi sejarah tidak mempercayai tentera kerana pertempuran pada masa lalu dan kegiatan ketenteraan di wilayah itu.
“Pendekatan tentera selalunya adalah soal ‘menang atau kalah,’ sedangkan Chatchai sebagai orang awam membenarkan dialog yang lebih terbuka dengan BRN.
“Kehadiran banyak pusat pemeriksaan tentera telah menyebabkan penduduk tempatan merasakan bahawa wilayah Selatan berada di bawah pemerintahan tentera dan ini merumitkan lagi usaha membina kepercayaan,” tambah Mizan lagi.
Malaysia pada Julai lalu turut menamakan seorang penjawat awam, Mohamad Rabin Basir yang juga bekas Ketua Majlis Keselamatan Negara sebagai fasilitator baharu bagi perundingan yang perlahan itu.
Dalam pada itu, Yazid Zul Kepli, profesor madya undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula memberi amaran bahawa keseimbangan yang dicapai baru-baru ini selepas pelantikan Chatchai boleh terganggu jika perunding baharu dilantik yang berpotensi meningkatnya keganasan serta menjejaskan usaha Malaysia sebagai orang tengah.
“Sebarang kelewatan atau perubahan dalam proses damai boleh menyebabkan kemajuan yang dicapai terbatal.
"Malaysia mesti mengekalkan sikap berkecuali dan memastikan kedua-dua kerajaan Thailand dan BRN berasa selamat dalam proses rundingan,” kata Yazid kepada BenarNews.
Bekas fasilitator Malaysia bagi rundingan damai Selatan Thailand, Zulkifli Zainal Abidin (tengah), ketua panel Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani, Anas Abdulrahman (kanan) dan panel rundingan damai Thailand, Chatchai Bangchuad (kiri) pada sidang media di Kuala Lumpur, 7 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kritikan hebat
Don Pathan, seorang penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand pula berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Chatchai akan dikekalkan atau tidak kerana pasukannya telah berdepan kritikan hebat daripada penasihat kerajaan dalam mengendalikan rundingan damai dengan BRN.
Mereka telah dituduh meletakkan negara dalan kedudukan yang tidak menguntungkan dan melampaui peranan mereka, kata Don.
“Seorang penasihat kerajaan mencadangkan bahawa pengurangan keganasan harus menjadi tuntutan rasmi daripada kerajaan kepada pemberontak.
“Bagaimanapun, kumpulan pemisah tidak bersetuju, melihat perjanjian rasmi bagi mengurangkan permusuhan sama seperti menyerahkan perjuangan mereka,” kata Don kepada BenarNews.
Tambah beliau, melantik orang awam sebagai ketua perunding sejajar dengan usaha parti Pheu Thai yang didukung Srettha untuk memulihkan kekuasaan masyarakat awam, suatu aspek utama janji kempen mereka.
“Walaupun perunding BRN dan Chatchai mungkin telah mewujudkan tahap keselesaan yang berfungsi, kebimbangan mereka yang lebih mendesak ialah memastikan hubungan antara hasil rundingan dan pelaksanaannya di lapangan,” katanya.
Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Srettha daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri atas dakwaan melanggar etika dan Perlembagaan negara itu sehingga membawa Thailand berada dalam pergolakan politik baharu.
Keputusan mahkamah itu bukan sahaja menolak Sretta tetapi juga seluruh kabinetnya, dengan Parlimen negara itu perlu memilih perdana menteri baharu.
Srettha meninggalkan jawatannya selepas kurang setahun bergelar Perdana Menteri dan merupakan perdana menteri ketiga dari parti Pheu Thai yang ditendang keluar oleh Mahkamah Perlembagaan.
BenarNews menghubungi Pejabat Fasilitator Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan juga BRN untuk mengulas mengenai pemecatan Srettha tetapi masih belum menerima maklum balas.
Pihak yang rapat dengan Chatchai ketika dihubungi juga hanya membisu apabila ditanya sama ada rundingan damai akan terjejas berikutan kemelut politik terkini di Thailand atau sebaliknya.
Wilayah Selatan yang bersempadanan dengan Malaysia iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan empat daerah di wilayah Songkhla telah menjadi kawasan panas bagi pemberontakan pemisah berdekad lamanya, dengan lebih 7,500 orang terbunuh manakala 14,100 lagi cedera dalam keganasan di seluruh wilayah itu sejak Januari 2004, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Chatchai yang mengesahkan semula pelan hala tuju proses damai pada Februari lalu memainkan peranan penting dalam kemajuan rundingan baru-baru ini, di mana Rancangan Komprehensif Bersama Ke Arah Keamanan (JCPP) yang dipersetujui telah disemak pada Jun dan ditetapkan untuk pengesahan pada 24 Ogos, dengan memberi fokus usaha menghentikan permusuhan, perundingan awam dan perbincangan ke arah merealisasikan penyelesaian politik.
Bagaimanapun, proses damai itu tercalar apabila berlaku insiden letupan bom kereta di Yala hingga mengorbankan seorang guru sekolah dan mencederakan 21 yang lain pada 30 Jun lalu.
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyatakan komitmen negara itu untuk memudahkan rundingan damai, menawarkan sokongan dalam bidang seperti ekonomi, keselamatan dan pendidikan.
“Rundingan damai di Selatan Thailand adalah isu domestik bagi Thailand tetapi hubungan baik kami telah mendorong mereka untuk mendapatkan kerjasama kami,” kata Anwar kepada pemberita ketika melawat sempadan negara itu pada 3 Ogos.
“Apa yang penting ialah kepimpinan kedua-dua kerajaan mahu membantu mempercepatkan proses damai.”
Anwar telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan Srettha dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini bagi membincangkan isu di Selatan Thailand.