Follow us

Sindiket Antarabangsa Seludup Pendatang Guna Pasport Palsu Malaysia Ditumpaskan

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-14
E-mel
Komen
Share
Sebahagian daripada warga Sri Lanka yang beragama Katolik sedang berdoa di luar Gereja St. Anthony pada hari ketujuh selepas berlakunya beberapa siri serangan bom di Colombo, Sri Lanka, 28 April 2019.
Sebahagian daripada warga Sri Lanka yang beragama Katolik sedang berdoa di luar Gereja St. Anthony pada hari ketujuh selepas berlakunya beberapa siri serangan bom di Colombo, Sri Lanka, 28 April 2019.
[AP]

Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran antarabangsa yang dipercayai menyeludup rakyat Sri Lanka ke Eropah menggunakan pasport palsu Malaysia apabila tertangkapnya 11 individu dalam siri operasi sejak hujung bulan lepas, demikian kata pihak berkuasa pada Selasa.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tiga rakyat tempatan, masing-masing seorang warga Sri Lanka dan Jerman dipercayai mendalangi sindiket menyeludup warga Sri Lanka ke Eropah menggunakan dokumen perjalanan Malaysia palsu serta menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit.

“Polis berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket yang licik yang dipercayai beroperasi sejak pertengahan 2018 dengan mempunyai hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Eropah dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, kelima mereka yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah Khas] 2012 [SOSMA] dan Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Akta Migran (ATIPSOM) 2007, "

“Susulan penahanan kelima mereka, enam lagi warga Sri Lanka ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar ibu negara dan kesemua mereka didakwa menurut Seksyen 5 (2) akta Imigresen kerana memasuki dan cuba keluar dari Malaysia melalui KLIA dengan cara yang tidak sah,” tambah Abdul Hamid.

Beliau berkata pihak berkuasa pada mulanya menahan dua wanita – seorang warga tempatan dan seorang warga Sri Lanka – di KLIA pada 30 April lepas, dan siasatan mendapati mereka menggunakan pasport palsu Malaysia untuk berlepas ke sebuah negara di Eropah.

Susulan daripada itu, tiga warga Sri Lanka dan seorang rakyat Jerman ditahan di sekitar ibu negara dengan menahanan itu membawa kepada tertangkapnya dua rakyat tempatan bersama tiga lagi warga Sri Lanka di Selayang, Selangor pada 2 Mei lepas.

Menurut dasar Visa Migrasi dan Hal Ehwal Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU), rakyat Sri Lanka dikehendaki memohon visa perjalanan untuk memasuki Kawasan Schengen EU serta juga bagi transit di kesemua lapangan terbang dalam kawasan tersebut.

Sebaliknya, Malaysia yang terletak kira-kira 1478 batu di timur Sri Lanka, adalah antara negara di Asia Timur yang menikmati perjalanan visa percuma ke Eropah bersama-sama dengan Singapura, Timor-Leste dan Taiwan.

Tiada kaitan keganasan

Kesemua tangkapan itu dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia hadir kurang dari sepuluh hari selepas pengeboman hotel dan beberapa gereja di Sri Lanka pada sambutan Hari Easter, 21 April lepas.

Pengganas yang mempunyai kaitan dengan organisasi militan Negara Islam [IS] mendakwa bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan bom tersebut yang meragut nyawa seramai 258 orang dengan 46 daripadanya adalah warganegara asing.

Abdul Hamid semasa ditanya BeritaBenar sama ada mereka yang ditahan di KLIA dan ibunegara mempunyai kaitan dengan pengganas, memberitahu bahawa warga Sri Lanka yang ditahan pihak berkuasa tiada kaitan dengan kejadian pada April lalu.

“Tiada kaitan. Sebaliknya mereka ini dilihat mahu mendapatkan peluang ekonomi yang lebih baik diluar negara,” kata Ketua Polis baru dilantik itu.

Tambah beliau, warga Sri Lanka yang ditahan itu adalah antara komuniti minoriti Tamil yang menganuti agama Hindu dan hidup aman di Sri Lanka sebelum kejadian pengeboman tersebut.

“Mereka cuma mahu mencari kehidupan yang lebih baik,” kata Abdul Hamid.

Birokrasi kurang serius

Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia [SUHAKAM] dalam laporan tahunan 2018 menyatakan Malaysia dilihat sebagai satu negara destinasi dan turut menjadi sebagai sumber dan pusat transit bagi sindiket pemerdagangan manusia.

“Jenis pemerdagangan manusia yang biasa berlaku di Malaysia ialah pemerdagangan tenaga kerja, pekerja seks dan kontrak tenaga kerja,” kata laporan itu.

Selain melihat peluang ekonomi sebagai salah satu faktor yang menarik pendatang asing ke negara, laporan itu juga menyebut bahawa sikap sambil lewa di kalangan penguatkuasa di negara itu, turut menjadi faktor dalam peningkatan aktiviti pemerdagangan migran.

“Birokrasi dan kurangnya keseriusan merupakan cabaran dalam membentaras jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia,” kata laporan tersebut.

Sementara itu, walaupun bersetuju dengan hak Malaysia untuk mendakwa sindiket pemerdagangan migran antarabangsa atas kesalahan di bawah Akta imigresen, tetapi Pengarah Asia Tenggara Human Right Watch [HRW] Phil Robertson berasa agak berhati-hati dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia untuk terus menggunakan undang-undang SOSMA dalam melakukan tangkapan.

“Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menghapuskan SOSMA dengan serta merta untuk menghalang pihak polis dari menyalahgunakan undang-undang ini dengan berleluasa dan membenarkan pihak berkuasa menahan suspek tanpa bicara,” kata Robertson kepada BeritaBenar.


Vathani Panirchellvum di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh