Suruhanjaya Sekuriti Malaysia: Tiada Bukti Konklusif Kes Ketua Agensi Anti-Rasuah

Pakar Perlembagaan berkata, Azam Baki telah menghina Parlimen kerana menolak arahan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk hadir beri keterangan.
Noah Lee & Nisha David
2022.01.18
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia: Tiada Bukti Konklusif Kes Ketua Agensi Anti-Rasuah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki semasa menjawab soalan media pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 5 Januari, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 6.45 petang waktu tempatan ETS - 2022-01-18

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Selasa menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat membuktikan secara konklusif bahawa ketua agensi anti-rasuah negara itu telah melanggar undang-undang berkaitan pembelian saham syarikat korporat.

Perkara tersebut diumumkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pelaburan itu setelah ia selesai menjalankan siasatan terhadap Azam Baki, yang membenarkan akaun saham miliknya digunakan adik beliau bagi membeli saham pada 2015.

Azam yang sebelum ini menerajui unit siasatan agensi itu telah dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Parti Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) kembali berkuasa dan mula menjadi tumpuan media sejak bulan lepas selepas dikatakan telah menyalahgunakan akaun sahamnya.

Beliau juga telah menolak gesaan supaya meletakkan jawatan, dan mendakwa bahawa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Suruhanjaya Sekuriti telah memuktamadkan siasatan dan berdasarkan bukti diperolehi, suruhanjaya ini tidak dapat membuktikan secara konklusif berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) SICDA," kata kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 atau dikenali sebagai SICDA merupakan peruntukan mengenai pemilikan akaun sekuriti, di mana setiap akaun yang dibuka dengan depositori pusat hendaklah menggunakan nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan, atau menggunakan nama seorang wakil sah.

Susulan daripada pengumuman Suruhanjaya Sekuriti, Azam pada hari yang sama telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa beliau akan meneruskan tugas mengetuai SPRM.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut.

"Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat," kata beliau.

Isu pemilikan saham oleh Azam mendapat perhatian umum bulan lalu apabila ahli akademik dan pakar ekonomi Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Gomez berkata "panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM" antara lain membabitkan dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam dalam sebuah syarikat senaraian awam.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Ibupejabat SPRM pada 5 Jan lalu, Azam yang tampil menjawab persoalan mengenai isu berkenaan telah menyatakan kepada media bahawa saham itu sebenarnya dibeli oleh adiknya dengan menggunakan akaun milik Azam dan ia kemudiannya telah dipindahkan kepada adiknya selepas itu.

Azam juga menafikan bahawa dirinya telah melakukan sebarang kesalahan, menyatakan bahawa dirinya tidak mendapat faedah daripada pemilikan saham tersebut.

"Dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tuduhan terdapat "conflict of interest" di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas….

"Mengenai tuduhan yang mendakwa saya mengawal atau ‘control’ banyak syarikat, ini adalah satu ‘total lie’ atau satu pembohongan besar bagi mewujudkan satu persepsi negatif terhadap saya," kata Ketua Pesuruhajaya SPRM pada masa itu.

Enggan beri keterangan

Selain menjadi subjek siasatan oleh pihak berkuasa sekuriti, isu pemilikan saham itu juga menyebabkan Azam dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, menurut sepucuk surat dikeluarkan setiausaha Dewan Rakyat serta beberapa laporan media tempatan, sesi untuk Azam memberikan keterangan kepada jawatankuasa berkenaan yang dijadualkan pada Rabu telah ditangguhkan selepas Azam membuat bantahan.

Ahli PSC Khoo Poay Tiong, yang merupakan Anggota Parlimen Kota Melaka, berkata bahawa Azam telah memberikan tiga sebab mengapa beliau tidak boleh tampil pada mesyuarat berkenaan - iaitu kerana beliau ada kes sivil terhadap seorang pemberi maklumat berkaitan isu yang sama, bahawa tidak ada rang undang-undang persendirian dibentangkan untuk memanggil dirinya ke Parlimen, dan juga kerana agensi lain sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Azam yang enggan tampil menjawab persoalan di hadapan Jawatankuasa Parlimen itu, dan menggesa supaya pengerusi jawatankuasa berkenaan Abdul Latiff Abdul Rahman mempertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan sesi tersebut.

"Siapakah dia Azam Baki? Adakah beliau boleh melawan Parlimen? Kita patut tegas memanggilnya supaya datang ke sesi pendengaran terlebih dahulu. Sekiranya beliau enggan, kita boleh ambil tindakan. Kita patut teruskan dengan mesyuarat ini.

"Sebab-sebab yang diberikan oleh Azam hanyalah alasan. Jika kita memanggil beliau, Azam patut hadir ke mesyuarat dan berikan kisah beliau. Datang dahulu.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ia memberikan contoh yang tidak baik. Selepas ini, individu lain yang dipanggil oleh PSC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga boleh menggunakan alasan serupa untuk mengelakkan diri," kata Khoo ketika dihubungi BenarNews.

Tambah Anggota Parlimen itu lagi, JPKPK sebelum ini telah menyiasat pelbagai kes yang turut membabitkan kes yang sedang berjalan di mahkamah, akan tetapi mereka tetap boleh memanggil individu yang terlibat untuk menghadap jawatankuasa.

Menyentuh mengenai kenyataan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Khoo menggesa supaya pihak berkuasa itu menerangkan dengan teliti sebab di sebalik keputusan mereka.

Kata beliau, siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti sepatutnya memberikan tumpuan kepada kenyataan yang dibuat oleh Azam bahawa adiknya telah menggunakan akaun Azam untuk membeli saham.

"Akan tetapi, Suruhanjaya Sekuriti tidak menitikberatkan isu ini," kata Khoo.

Hina Parlimen

Sementara itu, dua orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam isu perlembagaan menyatakan bahawa Azam tidak mempunyai kuasa untuk menolak arahan PSC.

Lim Wei Jiet memberitahu BenarNews ia adalah tidak benar bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya boleh dipanggil ke Parlimen melalui rang undang-undang persendirian.

"PSC yang berkaitan mempunyai kuasa untuk memaksa penjawat awam serta orang awam untuk tampil di hadapan mereka," kata beliau.

Peguam itu turut menolak alasan bahawa Azam tidak boleh memberikan keterangan kepada PSC kerana beliau mempunyai kes saman di mahkamah.

"Ia adalah dua perkara berbeza. Pada pandangan saya, Azam Baki hanya cuba mengelak daripada mengambil tanggungjawab di Parlimen," tambah Lim.

Salim Bashir pula menyatakan bahawa keengganan Azam Baki untuk tampil di hadapan PSC boleh membawa kepada kes penghinaan kepada Parlimen serta melanggar akta yang memberikan kuasa kepada PSC untuk memanggil beliau.

"Di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, satu notis telah diberikan kepada Azam Baki supaya tampil di hadapan PSC untuk memberikan penjelasan. Ia tidak boleh ditafsirkan sebagai proses perbicaraan mahkamah, tetapi sebagai satu platform untuk penjawat awam dipertanggungjawabkan di hadapan institusi Parlimen yang mewakili rakyat.

"Notis telah dikeluarkan oleh setiausaha Dewan Rakyat supaya beliau hadir di hadapan PSC. Melawan notis ini boleh membawa kepada menghina Parlimen serta melanggar undang-undang yang menetapkan prosedur itu," kata Salim kepada BenarNews.

Dalam pada itu, penganalisis politik Oh Ei Sun berpandangan bahawa walaupun keputusan Suruhanjaya Sekuriti membersihkan nama Azam, ia masih belum pasti sama ada Azam akan terus dikekalkan oleh kerajaan.

"Pada pandangan saya, terdapat perbezaan besar antara persepsi masyarakat mengenai kes ini dengan apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, terutama sekali selepas Azam mengaku di hadapan umum bahawa beliau telah membenarkan adiknya menggunakan namanya untuk membeli saham, yang mana ia adalah satu tindakan yang tidak konsisten sekurang-kurangnya dengan semangat perundangan berkaitan.

"Ia masih belum dapat dilihat samada Azam akan dikekalkan oleh kerajaan yang akan berdepan kerugian politik yang besar," kata felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.

Azam sebelum ini digesa meletakkan jawatan berikutan skandal penggunaan akaun pelaburan beliau itu, namun dalam kenyataan eksklusif kepada akhbar Sinar Harian minggu lalu, beliau enggan berbuat demikian dengan berkata hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang layak menentukan nasibnya berikutan perlantikan ke jawatan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Gesaan ke atas Azam semakin memuncak apabila satu gerakan anak muda melobi sokongan rakyat Malaysia melalui laman media sosial untuk turun ke jalan raya pada Sabtu ini bagi mendesak kerajaan untuk memecat Azam dari jawatan beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.