Mahkamah Malaysia dakwa pemilik kedai, pembekal stoking kalimah ‘Allah’
2024.03.26
Kuala Lumpur
Pasangan pemilik rangkaian kedai serbaneka 24 jam, KK Super Mart dan syarikat pembekal produk China didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor pada Selasa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain membabitkan penjualan stoking berkalimah Allah, insiden yang mencetuskan kemarahan orang Islam di Malaysia.
Penjualan stoking berkalimah Allah di salah sebuah kedai serbaneka itu di Selangor baru-baru ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar minggu lalu yang menitahkan pihak terbabit dikenakan tindakan tegas.
Chai Kee Kan, 57, pengasas KK Super Mart dan isterinya, Loh Siew Mui yang merupakan pengarah syarikat dituduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan “dengan sengaja berniat melukakan perasaan keagamaan seseorang”, berdasarkan kertas pertuduhan yang diperolehi BenarNews.
Tiga pengarah syarikat pembekal Xin Jian Chang, Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat pula dituduh bersubahat atas perbuatan jenayah tersebut.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Muhamad Anas Mahadzir ke atas pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mereka dibenarkan diikat jamin masing-masing RM10,000 (AS$2,110) dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 29 April ini.
Rajpal Singh, salah seorang peguam bela yang mewakili rangkaian kedai serbaneka itu percaya mereka mempunyai peluang cerah untuk memenangi kes tersebut.
“Mereka [pendakwaan] merasakan mereka mempunyai kes, sebab itu mereka mendakwa [anak guam saya] hari ini di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
“Kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Anak guam saya mengaku tidak bersalah dan mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Gambar stoking tertera perkataan "Allah" yang dijual kedai KK Super Mart Bandar Sunway Pyramid, Subang Jaya, negeri Selangor tular di media sosial pada 13 Mac lalu, satu kesilapan yang telah menimbulkan tindak balas dalam kalangan umat Islam di negara itu terutamanya ketika bulan suci Ramadan bagi umat Islam.
Melakarkan nama Allah atau ayat suci al-Quran pada pakaian merupakan satu kesalahan undang-undang di Malaysia apatah lagi dicetak pada stoking yang dipakai pada kaki, suatu perbuatan menghina agama terutamanya bagi masyarakat Melayu yang kesemuanya beragama Islam.
Pengurusan tertinggi KK Super Mart sebelum ini telah membuat permohonan maaf terbuka atas penjualan stoking tersebut.
Dengan menitiskan air mata, Kee Kan berkata, beliau menganggap perkara itu sebagai "serius" dan menghentikan penjualan produk itu dengan serta-merta.
Dua lelaki berjalan di hadapan kedai KK Super Mart di Chow Kit, Kuala Lumpur, 18 Mac 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pembekal Xin Jian Chang juga telah memohon maaf minggu lalu dengan mengatakan "stoking bermasalah” itu merupakan sebahagian daripada penghantaran 18,800 pasang stoking yang ditempah daripada Mian Qing Hosiery Co Ltd, sebuah syarikat berpangkalan di wilayah Zhejiang, China.
"Kami kesal dengan kesilapan proses kawalan kualiti hingga terlepas pandang produk itu memasuki inventori, walaupun telah berusaha sedaya upaya memastikan semua stoking yang diterima daripada pembekal China mengikut sampel yang disediakan," katanya sambil menambah hanya terdapat lima pasang stoking berkalimah Allah ditemui.
Di tengah-tengah kontroversi itu, KK Super Mart pada hari Rabu telah memfailkan saman terhadap pembekal, menuntut ganti rugi RM30 juta (AS$6.3 juta), menuduh pembekal mensabotaj perniagaannya.
Ketegangan meningkat
Islam adalah agama rasmi di Malaysia dengan kaum Melayu membentuk hampir 70 peratus populasi penduduk negara itu dan semuanya beragama Islam. Etnik Cina pula merangkumi 22.8 peratus daripada populasi manakala etnik India 6.6 peratus.
Sultan Ibrahim Iskandar, ketua agama Islam di negara itu dalam tegurannya minggu lalu menitahkan rakyat Malaysia agar memastikan keharmonian sosial dengan mengelak daripada membincangkan isu sensitif mengenai agama, kaum dan raja (3R).
"Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung di Parlimen, timbul pula perkara ini (isu stoking kalimah Allah).
"Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali," titah baginda dalam kenyataan tersebut.
Awal minggu ini, mahkamah di Malaysia menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua individu, Chiok Wai Loong dan Ricky Shane Cagampang, di bawah undang-undang kawalan komunikasi kerana menyiarkan komen Facebook yang menyinggung berkaitan kontroversi stoking berkalimah Allah tersebut.
Sementara itu, walaupun rangkaian kedai serbaneka berkenaan telah memohon maaf dan pihak berkuasa tempatan di Johor menggantung operasi kilang pengimport stoking tersebut, nasionalis Melayu dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), salah sebuah parti gabungan kerajaan telah menggerakkan kempen boikot premis perniagaan runcit terbabit.
Media tempatan turut melaporkan sebuah cawangan KK Super Mart di negeri utara Perak menjadi sasaran bom petrol yang tidak meletup pada pagi Selasa, sebelum pertuduhan mahkamah.
Pemilik syarikat pembekal, Xin Jian Chang dan Soh Chin Huat (kiri), meninggalkan Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor, 26 Mac 2024. [S.Mahfuz/BenarNews]
Alat politik
Penganalisis berkata isu stoking berkalimah Allah memburukkan ketegangan di negara itu, terutamanya apabila ahli politik Melayu Islam mengeksploitasi insiden tersebut untuk menggerakkan arus sokongan mereka dan menyemai perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara berkenaan.
“Jika kita melihat secara objektif, ia mungkin kes beberapa pasang stoking tersalah hantar kepada pembekal yang berakhir di kedai serbaneka. Bagaimanapun, ekoran ketegangan kaum yang semakin meningkat, insiden itu menjadi isu besar,” kata Tunku Mohar Mokhtar, penolong profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
"Walaupun melukakan sensitiviti orang Islam, maklum balas terhadapnya mungkin tidak seimbang."
Tunku Mohar berkata Pemuda UMNO yang menggesa boikot dan menuntut KK Super Mart menggantung sepanduk memohon maaf di semua rangkaian kedainya tidak mahu ketinggalan mengeksploitasi isu itu untuk memperjuangkan usaha melindungi Islam dan identiti Melayu.
Seorang lagi penganalisis, James Chin berkata, isu berkenaan adalah contoh peningkatan sentimen politik Islam di Malaysia.
“Islam dijadikan senjata dalam politik. Jelas sekali mereka [ahli politik Melayu] mahu meneruskan kes ini untuk menunjukkan bahawa mereka adalah juara Islam di Malaysia di pihak pemerintah dan pembangkang,” kata Chin, seorang profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania kepada BenarNews.
“Ini adalah perkara yang tidak baik kerana jika kerajaan tidak campur tangan, semakin ramai orang menyerang antara satu sama lain atas dasar agama dan bimbang kita menuju ke arah situasi seperti di Pakistan, India dan Bangladesh, di mana orang ramai menggunakan agama sebagai senjata politik.
"Di Malaysia, kita sudah melihat kebangkitan politik Islam tetapi jika perkara ini melampau, ia akan membawa kita ke peringkat seterusnya."
Sejak tahun lepas Malaysia berdepan dengan beberapa kes tiada toleransi agama di mana filem bebas yang dianggap tidak sensitif terhadap umat Islam terpaksa dikeluarkan daripada platform penstriman video berbayar berpangkalan di Hong Kong.
Ia berikutan kemarahan umat Islam apabila filem itu mempromosikan budaya yang menjejaskan akidah orang Melayu Islam sehingga penerbit dan pelakon filem itu menerima ancaman bunuh selain kenderaan mereka disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.
Selain itu, tular penjualan nasi lemak, juadah tradisional masyarakat Malaysia dihidangkan dengan daging babi berempah berbanding ikan bilis yang halal telah mencetuskan kontroversi kepada umat Islam.
Perkara itu kemudiannya diredakan apabila orang ramai mengetahui makanan itu dijual oleh seorang pengusaha gerai bukan Islam di sebuah restoran Cina.