Kebebasan bersuara, hak LGBTQ merosot selepas Anwar Ibrahim jadi PM Malaysia
2023.12.08
Kuala Lumpur

Kebebasan bersuara di Malaysia dan hak bagi komuniti LGBTQ telah merosot sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim memegang jawatan setahun lalu walaupun berjanji melaksanakan pembaharuan berkaitan hak asasi manusia, kata badan bukan kerajaan tempatan SUARAM dalam laporan yang disiarkan pada Jumaat.
Laporan bertajuk 'Hak Asasi Manusia Malaysia 2023 - Gambaran Keseluruhan Hak Asasi Manusia dan Politik' setebal 81 halaman itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap undang-undang yang melanggar hak untuk perbicaraan adil masih berterusan, kebebasan bersuara, perhimpunan aman dan pegangan agama.
Menurut SUARAM, kemajuan substantif dalam mencipta persekitaran bagi rakyat Malaysia dan kumpulan rentan untuk melaksanakan hak-hak mereka dari segi sivil dan politik selain menjalani kehidupan tanpa rasa takut serta melindungi diri daripada keganasan masih lagi terhad.
“Hak asasi manusia bagi LGBTQ dan orang yang pelbagai jantina terus mengalami kemunduran pada tahun 2023, seperti dibuktikan melalui usaha meluas yang dipimpin oleh kerajaan yang menyekat hak mereka,” menurut laporan itu.
Laporan itu juga menyebut lonjakan penapisan ekspresi golongan LGBTQ dapat dilihat melalui peningkatan keganasan termasuk ucapan kebencian, pengenalan undang-undang syariah antigolongan itu dan pengembangan amalan penukaran.
Menurut laporan itu, terdapat peningkatan penerimaan oleh pentadbiran semasa untuk berinteraksi dengan masyarakat mengenai isu hak asasi manusia dan komitmen terhadap reformasi undang-undang.
Laporan itu juga menyebut SUARAM telah mendokumentasi sebanyak 3,196 kes berkaitan pemerdagangan manusia di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 249 tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Walaupun kerajaan menunjukkan penerimaan untuk meminda SOSMA, tiada garis masa yang ditetapkan. Ketidakpastian terletak pada bagaimana kerajaan boleh melindungi hak asasi individu semasa menggunakan SOSMA untuk keselamatan negara dan ketenteraman awam, dengan mengambil kira kesan buruk sosioekonomi yang dikenakan kepada keluarga tahanan," kata SUARAM.
"Ia berkata kebebasan bersuara menghadapi regresi yang ketara kerana undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terus-menerus menguatkuasakan sekatan.
"Kerajaan menggunakan langkah eksplisit, termasuk amaran oleh pegawai dan penubuhan pasukan petugas penyiasatan serta meningkatkan kawalan ke atas perbincangan melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja," katanya.
Menurut SUARAM, sekatan bagi melaksanakan kebebasan berhimpun secara aman juga masih berterusan.
"SUARAM mendokumenkan bilangan individu yang disiasat ialah sekurang-kurangnya 80 orang pada tahun ini. Empat aktivis dan orang awam didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,"
Ia turut menekankan sekatan terhadap kebebasan beragama dan kepercayaan susulan penggunaan undang-undang penistaan agama secara terpilih serta amalan lama pendakwaan terhadap minoriti agama dan kepolisan moral oleh pihak berkuasa agama negeri.
Ia mendakwa undang-undang itu digunakan secara terpilih untuk hanya membenarkan penghinaan agama terhadap Islam, agama majoriti, tetapi bukan agama lain.
Bridget Welsh, penganalisis politik di Universiti Nottingham Malaysia, berkata terdapat persepsi bahawa tidak ada kemajuan dalam pembaharuan dan kemunduran demokrasi di beberapa kawasan, sikap terhadap media dan LGBT.
"Penyampaian bergantung kepada kemahuan politik dan ini masih kurang. Tiada rancangan atau keutamaan untuk melakukan reformasi demokrasi," katanya kepada BenarNews.
Thilaga Sulathireh, pengasas Justice for Sisters berkata terdapat peningkatan ketara dalam kes keganasan yang didokumenkan terhadap wanita transgender dengan sekurang-kurangnya empat kes dilaporkan antara Januari dan November 2023, menggandakan angka daripada tahun sebelumnya.
"Peningkatan insiden sedemikian menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesejahteraan komuniti transgender di Malaysia," katanya kepada BenarNews.
Mengenai isu berkaitan komuniti LGBTQ+, Azmi berkata SUARAM perlu memahami sensitiviti yang menyelubungi perkara itu kerana Malaysia adalah negara majoriti Islam dan melakukan hubungan sejenis adalah jenayah manakala liwat boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
"Jika SUARAM mencadangkan kebebasan mutlak hak asasi manusia dan politik, mungkin sukar bagi kerajaan untuk menanganinya (menguruskan isu) jika tiada sekatan misalnya dalam kebebasan bersuara," katanya.