Follow us

SUHAKAM Terus Berjuang Walau Berdepan Kekangan Bajet

Bajet 12 juta ringgit tidak mencukupi bagi menjalankan lebih banyak aktiviti dan program, kata SUHAKAM.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-09-13
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia Najib Razak semasa membentangkan Bajet Malaysia 2016, yang antara lain memotong peruntukan bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Parlimen Kuala Lumpur, 23 Okt, 2015.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia Najib Razak semasa membentangkan Bajet Malaysia 2016, yang antara lain memotong peruntukan bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Parlimen Kuala Lumpur, 23 Okt, 2015.
[AP]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menyambut ulangtahun penubuhan 20 tahun masih berdepan dengan kekangan kewangan yang dilihat oleh masyarakat sivil sebagai gangguan terhadap fungsinya sebagai perjuang dan perlindung hak asasi manusia di Malaysia.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph memberitahu BeritaBenar, bajet sedia ada iaitu sebanyak RM12 juta masih berada dibawah paras tidak mencukupi memandangkan suruhanjaya tersebut kini mempunyai Pesuruhjaya baru dalam mengendalikan isu-isu berkaitan kanak-kanak.

Pada 2015, semasa membentangkan Bajet Malaysia 2016, Najib Razak yang ketika Perdana Menteri telah memberitahu Parlimen, kerajaan Barisan Nasional pimpinannya akan mengurangkan bajet badan tersebut bagi tahun 2016, daripada 10 juta ringgit (AS$2.39 juta) kepada hanya 5.5 juta ringgit (AS$1.31 juta).

Sehubungan itu, Joseph berharap peruntukan sedia ada SUHAKAM dapat ditambah menjadi 17 juta ringgit (AS$4.078 juta) iaitu termasuk 1 juta ringgit (AS$239,895) bagi Pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak.

“Bajet SUHAKAM perlu ditambah kerana masih belum mendapat 16 juta ringgit (AS$3.8 juta) peruntukan seperti yang diminta. Pada masa ini SUHAKAM beroperasi dengan hanya 12 juta ringgit (AS$2.87 juta), iaitu sepuluh juta ringgit peruntukan sebelum ini dan ditambah dengan 2 juta (AS$479,790) lagi baru-baru ini, selepas SUHAKAM merayu pada Kementerian Kewangan untuk penambahan,” kata Joseph kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Selepas mengumumkan oleh Najib yang bajet SUHAKAM dipotong 50 peratus, kerajaan pada masa itu telah membuat pusingan, dan memberi semula bajet 10 juta peruntukan, apabila mendapat bantahan keras dari badan itu, anggota parlimen dan badan-badan bukan kerajaan tempatan serta antarabangsa pada 2016.

"Pemotongan bajet tersebut bukan sahaja membantutkan aktiviti SUHAKAM tapi juga menyukarkannya membayar gaji kommissioner dan pekerja. Alasan masalah kewangan kerajaan diberikan kepada kami tetapi ia dilihat sebagai salah satu cara untuk masuk campur dalam hal urusan suruhanjaya," kata SUHAKAM dalam kenyataannya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Selain dari bajet yang menjadi kekangan, SUHAKAM turut berdepan dengan dakwaan ketidakcekapan dalam urusan dan ketiadaan kuasa untuk melakukan perubahan dengan perkara itu disangkal oleh Pengerusi barunya Othman Hashim.

Beliau berkata suruhanjaya tersebut mencapai banyak kejayaan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dari kerajaan sendiri.

Sangkal tidak efektif


Bercakap di dalam satu majlis forum anjuran SUHAKAM bagi menyambut ulangtahun penubuhannya pada Khamis, Othman berkata suruhanjaya itu terus melaksanakan tanggungjawab walaupun dilabelkan sebagai ‘harimau yang tidak bergigi’.

“Suhakam mengaku dalam beberapa situasi kami menerima kecaman dan dilabel sebagai harimau yang tidak bergigi manakala yang lain menganggapnya ia sebagai tidak efektif atau ketiadaan kuasa.

“Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan dan sumber, SUHAKAM terus mengekalkan standard komitmen yang tinggi dan kekal berusaha untuk mencapai visi sebuah komuniti di mana hak asasi manusia di hormati dan dinikmati sama rata oleh semua,” tambah Othman lagi.

Antara sumbangan SUHAKAM dalam tempoh dua dekad ditubuhkan adalah kejayaan dalam menjalankan siasatan awam terhadap kehilangan terpaksa Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat yang kemudiannya membawa kepada laporan siasatan yang seterusnya diambil pakai oleh kerajaan bagi menubuhkan suruhanjaya khas bagi menyiasat kehilangan terpaksa dua individu tersebut.

Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dikatakan terlibat dalam kes tersebut dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut memberitahu BeritaBenar dalam sesi temubual khas bersama BeritaBenar bahawa pihaknya terbuka dan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada suruhanjaya siasatan yang dilantik kerajaan itu.

"Kami juga berjaya menerbitkan satu laporan berkaitan kubur besar di Wang Kelian dengan kerjasama NGO Fortify Rights, yang kami representasi sewaktu Inkuiri Diraja tragedi Wang Kelian," kata SUHAKAM kepada BeritaBenar didalam satu kenyataan.

Laporan itu yang digerakkan secara sukarela oleh SUHAKAM dan Fortify Rights adalah hasil ketidakcekapan pihak berkuasa Malaysia walaupun sudah menemukan 106 mayat daripada 139 kubur yang ditinggalkan oleh sindiket penyeludupan manusia di kem terbabit.

Pindaan Akta

Walaupun telah berjaya, SUHAKAM mengakui terdapat banyak lagi cabaran termasuk pembaharuan Suruhanjaya itu yang telah lama ditunggu-tunggu dan juga pindaan Akta Suhakam yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan didalam menifestonya.

Ia termasuk supaya diperdebatkan rekomendasi Suhakam di Parlimen dan juga pemilihan pesuruhjaya melalui proses jawatankuasa pilihanraya.

"Ini amat penting bagi SUHAKAM terus menjadi badan bebas dan telus sebagai satu badan statutory di Malaysia," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata beliau sedang meneliti akta berkaitan dibawah Akta Suhakam supaya boleh diperdebatkan pada sesi parlimen akan datang.

"Saya akan memastikan perkara ini akan diperdebatkan," kata Liew pada ulang tahun Forum Suhakam pada Khamis.

Cynthia Gabriel, advokasi utama dari C4 Center, Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme berkata cabaran utama SUHAKAM adalah ia tidak mempunyai kuasa sebenar dan hanyalah bertindak sebagai badan penasihat dengan kuasa yang sedikit dan tanpa kuasa untuk penguatkuasaan.

“Selama beberapa tahun SUHAKAM tidak diendahkan secara sengaja dan tidak memberikan sebarang kesan atau mendatangkan sedikit kesan keatas pihak berkuasa yang seringkali berbeza cara dalam banyak hal,” kata Gabriel lagi.

Gabriel adalah penerima sumbangan daripada National Endowment for Democracy (NED) dari Washington pada 2017 bagaimanapun menambah bahawa beliau berharap pada tahun kehadapan SUHAKAM akan menunjukkan penampilan yang lebih relevan untuk terus berada di hadapan dalam mengendalikan kes yang melanggari hak asasi manusia.

SUHAKAM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 dengan tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa. Salah satu fungsinya adalah memberi cadangan kepada kerajaan mengenai isu hak asasi manusia.


Lihat Laman Penuh