Follow us

Laporan Salahkan Kelewatan dalam Menyiasat Kubur Besar di Sempadan Malaysia-Thailand

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-27
E-mel
Komen
Share
Anggota pasukan forensik Malaysia menggali sebuah kubur tidak bertanda dalam hutan di luar Wang Kelian, Malaysia, 26 Mei 2015.
Anggota pasukan forensik Malaysia menggali sebuah kubur tidak bertanda dalam hutan di luar Wang Kelian, Malaysia, 26 Mei 2015.
(AP)

Keputusan memusnahkan sebuah kem pemerdagangan orang sebaik sahaja ia ditemui dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia dan Thailand serta kelewatan selama berbulan-bulan untuk mengeluarkan mayat orang Rohingya dan Bangladesh dari kubur besar telah menghalang siasatan sewajarnya, dakwa satu inkuiri bebas pada Rabu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan kumpulan aktivis perundangan Fortify Rights mempertikai mengapa pihak berkuasa membiarkan tempoh empat bulan berlalu selepas menemui kem Wang Kelian pada 19 Jan 2015, sebelum membenarkan pasukan forensik mengeluarkan beratus-ratus mayat. Kumpulan itu mengeluarkan laporan bersama setebal 121 muka surat bertajuk “Sold Like Fish,” berdasarkan siasatan selama bertahun-tahun dan lebih 270 temu bual.

“Pihak berkuasa Malaysia telah memusnahkan tapak kem pemerdagangan orang di Wang Kelian sehari selepas ia ditemui, yang berpotensi untuk menghapuskan bukti yang boleh membantu siasatan polis. Pihak berkuasa Malaysia telah mengarahkan satu pasukan forensik untuk mengggali mayat pada Mei 2015, lebih empat bulan selepas kuburan itu ditemui, tanpa memberikan sebab bagi kelewatan itu,” kata kumpulan itu dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur ketika mengeluarkan laporan mereka.

Banyak mangsa penyeludupan yang dikaitkan dengan kem berhampiran sempadan Thailand itu adalah orang Rohingya dari Myanmar dan rakyat Bangladesh. Mereka telah diseludup melalui darat merentasi sempadan Thailand selepas melakukan perjalanan dengan menaiki bot dari Bangladesh dan Myanmar.

“Kelewatan selama empat bulan dalam menggali mayat telah melewatkan pemeriksaan bedah siasat dan, justeru itu telah menghalang pakar forensik daripada mengenal pasti punca kematian mayat yang telah digali,” kata kumpulan itu.

Seorang ahli patologi forensik menyatakan bahawa para penyiasat hanya boleh menentukan punca kematian tiga daripada 150 mayat yang telah digali, menurut laporan itu.

Kesemua faktor ini adalah antara yang boleh “dianggap sebagai menghalang keadilan,” dakwa kumpulan itu dalam laporan mereka tanpa mengulas lanjut.

Pejabat Kementerian Dalam Negeri Malaysia, bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Polis Diraja Malaysia tidak memberikan maklum balas pada Rabu apabila diminta memberikan komen berhubung perkara ini.

Pengumuman rasmi Malaysia berhubung penemuan kuburan itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa di Thailand berkata mereka telah menemui berpuluh-puluh kubur orang Rohingya dan rakyat Bangladesh yang menjadi mangsa penyeludupan manusia di sebuah kem yang telah ditinggalkan sepanjang sempadan dengan Malaysia.

Penemuan kubur dan kem di kedua-dua kawasan sempadan pada Mei 2015 telah menyebabkan satu krisis kemanusiaan di Asia Tenggara. Thailand telah melancarkan satu operasi besar-besaran bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia dan menghalang bot-bot yang dipenuhi pendatang tanpa izin daripada mendarat di pantainya di bahagian barat daya.

Akibatnya, sehingga 3,000 orang Rohingya dan rakyat Bangladesh yang telah ditinggalkan oleh pengendali mereka dalam bot-bot yang diseludup di laut, telah mendarat atau diselamatkan di negara jiran Malaysia dan Indonesia.

Justifikasi polis untuk pemusnahan


Maklumat kerajaan Malaysia berkaitan jumlah mayat yang ditemui di Wang Kelian adalah berbeza. Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Malaysia, sejumah 147 kubur mengandungi 130 mayat manusia telah ditemui di Wang Kelian.

Seorang pegawai kanan polis yang ditugaskan di kawasan itu pada Januari 2015 memaklumkan penyiasat bahawa beliau telah dihubungi dua lagi yang telah menemui kem itu pada 19 Jan 2015, dakwa laporan berkenaan sambil menambah ramai yang cuba melarikan diri apabila anggota polis menyerbu kem tersebut beberapa jam kemudian.

Pihak berkuasa telah menahan 38 lelaki yang mereka syaki adalah “pendatang asing tanpa dokumen” namun tidak mengaitkan mereka dengan penyeludup manusia.

Polis telah mengarahkan agar kem itu dimusnahkan pada hari berikutnya dan pemeriksaan forensik yang pertama di tapak itu dibuat pada Mac 2015, menurut laporan itu.

“Polis Diraja Malaysia memberi justifikasi berhubung pemusnahan kem di bukit Wang Burma pada Januari 2015 sebagai munasabah atas alasan jika ia tidak dimusnahkan, orang asing atau ejen subversif mungkin menyalahgunakannya. Polis Diraja Malaysia berkata ia telah mengambil gambar kem dan khemahnya,” kata laporan itu.

190327-MY-TH-graves-inside.jpg

Anggota Fortify Rights dan Suhakam mempamerkan laporan mereka, “Sold Like Fish,” berdasarkan siasatan selama bertahun-tahun mengenai kem penyeludupan manusia dan kubur massa yang ditemui di sepanjang sempadan Malaysia-Thailandd, di luar satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, 27 Mac 2019. [BeritaBenar/S.Mahfuz]

‘Penyeludupan berterusan’


Penemuan kem dan kubur massa yang serupa di Thailand telah membawa kepada satu tindakan keras terhadap penyeludupan manusia oleh kerajaan tentera di negara itu, serta penahanan dan pendakwaan 102 suspek anggota sebuah sindiket penyeludupan manusia rentas sempadan. Seorang jeneral tiga bintang Thailand adalah antara 62 yang telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan penyeludupan.

“Meskipun terdapat beberapa keadilan yang dicapai menerusi perbicaraan penyeludupan manusia secara besar-besaran Thailand, ramai yang dilaporkan terlibat dalam penyeludupan orang Rohingya dan rakyat Bangladesh masih bebas di rantau ini selain perlindungan untuk mangsa yang terselamat masih terhad,” kata laporan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith berkata penyeludupan manusia telah dibenarkan terus berlaku kerana penyeludup dalam kebanyakan kes tidak berdepan kesan perundangan yang benar-benar bermakna.

“Selagi mereka bebas daripada hukuman, penyeludupan manusia akan terus berlaku. Ia adalah sama dengan apa yang berlaku di Myanmar bagi kes genosid, jadi itulah sebabnya mengapa krisis pelarian berterusan,” kata Smith.

Di Malaysia, 12 pegawai polis dan beberapa rakyat asing telah ditahan sejurus selepas berita mengenai kem itu diketahui umum.

Pada 2017, Menteri Dalam Negeri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pemberita bahawa kesemua pegawai polis telah dibebaskan kerana kekurangan bukti. Empat rakyat asing – dua rakyat Myanmar, seorang rakyat Bangladesh dan seorang rakyat Thailand  – telah didapati bersalah atas pertuduhan menyeludup manusia dan telah dihukum penjara.

Inkuiri kerajaan


Laporan oleh Suhakam dan Fortify Rights dikeluarkan beberapa minggu selepas kerajaan Malaysia melantik satu suruhanjaya bagi memeriksa kem Wang Kelian. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang dilancarkan pada 5 Mac, mempunyai tempoh selama enam bulan untuk menyiasat kem terbabit melalui penyiasat, saksi dan individu yang relevan.

“Kerajaan telah menetapkan tugasan dan tanggungjawab RCI yang antara lain akan meliputi aspek siasatan sebelum ini ke dalam insiden itu menerusi pemeriksaan semula dokumen dan bukti berhubung penemuan kem sementara pendatang dan kubur di Wang Kelian, Perlis,” kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semasa pelancarannya.

Menerusi temu bual dengan mangsa kem Wang Kelian yang terselamat, para pegawai Fortify Rights berupaya menentukan bahawa penyeludup tahu sesetengah mangsa mereka akan mati akibat didera, kata peguam Roger Polack.

“Mangsa yang terselamat memberitahu kami bahawa jika mereka tidak mampu membayar mereka akan dibelasah,” katanya. “Mereka mencurahkan air panas ke badan mangsa yang terselamat yang tidak mampu membayar dan akan menghubung saudara mara mereka untuk meminta lebih banyak wang.”

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata pihaknya bekerjasama dengan Fortify Rights kerana bimbang dengan siasatan sebelum ini.

“Badan pengawal selia seperti kami hanya akan melibatkan diri jika ada lompang,” kata Joseph pada sidang media semasa melancarkan laporan itu. “Hakikat bahawa kami terpaksa melakukan siasatan sendiri dan menemu bual kesemua individu yang relevan ini bermakna lompang yang ada amat besar.”

Lihat Laman Penuh