Follow us

Malaysia: Suhakam Adakan Inkuiri Siasat Kehilangan Paderi dan Isteri, Feb Depan

Nat Shu
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-27
E-mel
Komen
Share
Persuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bersama ahli panel siasatan suruhanjaya itu, barisan peguam dan ahli keluarga sedang mendengar penerangan semasa melawat tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Petaling Jaya, Selangor, 11 Nov 2017.
Persuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bersama ahli panel siasatan suruhanjaya itu, barisan peguam dan ahli keluarga sedang mendengar penerangan semasa melawat tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Petaling Jaya, Selangor, 11 Nov 2017.
[Ihsan Suhakam]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam pertama Februari depan, terhadap kehilangan pasangan suami isteri paderi Joshua Hilmi dan Ruth Sitepu, yang dipercayai hilang sejak November 2016 lagi.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Suhakam meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penting dan relevan mengenai kehilangan pasangan itu untuk kehadapan sebelum 14 Februari depan.

"Suhakam pada 18 Februari akan memulakan siasatan awam terhadap kehilangan Hilmi dan isterinya, Ruth," kata kenyataan itu.

Pendakwah Kristian itu kali terakhir dilihat di rumah mereka di Selangor, pada 30 November 2016, tetapi laporan orang hilang hanya difailkan pada 6 Mac, 2017, menurut pihak berkuasa.

Keluarga Ruth, yang berasal dari Indonesia, memfailkan laporan orang hilang dengan pihak berkuasa Malaysia selepas beliau dan suaminya, Hilmi, telah hilang selama berbulan-bulan. Mereka juga membuat laporan dengan Suruhanjaya Orang Yang Hilang dan Mangsa Keganasan Indonesia (Kontras).

Suhakam berkata panel itu akan dipengerusikan oleh Hishamuddin Yunus dan dibantu oleh Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Joseph memberitahu BeritaBenar bahawa Suhakam telahpun mengadakan siasatan awam yang serupa terhadap kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial  Amri Che Mat, yang hilang masing-masing sejak 2017 dan 2016.

"Ini kerana panel siasatan awam yang terdahulu hanya dapat menyelesaikan dua kes pertama sebelum tempoh komisen berakhir pada 26 April 2019. Jadi Suhakam tidak dapat meneruskan kes Joshua dan Ruth," katanya kepada BeritaBenar melalui mesej teks.

Sebelum ini, Suhakam berkata suruhanjaya itu juga mahu menyiasat apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan kehilangan pasangan berkenaan.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan meminta pihak berkuasa untuk menyiasat semula kes tersebut sepenuhnya di mana terdapat kecurigaan munasabah bahawa kehilangan paksa yang telah berlaku. Siasatan awam tahun lalu menyimpulkan bahawa kes Koh dan Amri kelihatan seperti kes serupa.

Semasa mengumumkan penemuannya pada 3 April 2019, Suhakam berkata terdapat ‘keterangan langsung dan mengikut keadaan yang membuktikan, dengan imbangan keberangkalian, beliau [Koh] diculik ejen-ejen kerajaan, oleh Cawangan Khas, Bukit Aman."

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas pada Jun 2019 untuk menyiasat dakwaan penglibatan polis dalam kehilangan Koh dan Amri dengan Menteri Dalam Negeri Muhiyyidin Yassin memberitahu pemberita pada 15 Jan bahawa pasukan petugas yang diketuai bekas hakim Abdul Rahim Uda meminta lebih banyak masa untuk menyiapkan laporannya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh