Pasangan Paderi Mangsa Kehilangan Secara Paksa, Rumus SUHAKAM
2022.04.15
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada Jumaat mendapati bahawa paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu adalah mangsa kehilangan secara paksa yang dilakukan oleh "individu atau sekumpulan orang tidak dikenali" pada tahun 2016, serta menyalahkan pihak polis di atas kekurangan mereka dalam menjalankan siasatan kes kehilangan berkenaan.
Laporan setebal 90 mukasurat itu dikeluarkan SUHAKAM dua tahun selepas ia mendapati bahawa ejen-ejen polis Malaysia mungkin menjadi dalang di sebalik penculikan aktivis sosial Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh pada 2016 dan 2017.
"Di atas keseimbangan kemungkinan serta bukti yang ditunjukkan kepada Panel, tidak terdapat bukti sama ada secara terus atau bukti mengikut keadaan untuk menyokong hujah bahawa Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu telah diculik oleh ejen kerajaan.
"Akan tetapi, Panel ini mendapati bahawa kekurangan di pihak polis serta tindakan mereka yang amat tidak memuaskan dalam menyiasat kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu menyumbang kepada keakuran di pihak kerajaan dalam penculikan pasangan tersebut," kata Pesuruhjaya SUHAKAM Mohd Hishamudin Yunus ketika membaca petikan daripada laporan suruhanjaya itu dalam satu sidang media pada Jumaat.
Kata beliau, polis enggan mendedahkan maklumat serta dokumen yang relevan ketika inkuiri dijalankan terhadap kes kehilangan tersebut dengan menggunakan alasan bahawa ia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Mohd Hishamudin berkata bahawa laporan itu juga membuat rumusan bahawa Joshua Hilmy serta isterinya telah diculik oleh individu atau sekumpulan orang yang tidak dikenali.
Tambahnya, keengganan polis untuk mengakui isu kebebasan pasangan berkenaan telah meletakkan mereka berdua di luar perlindungan undang-undang.
Sesi pada Jumaat berlangsung lebih dua jam dan dihadiri oleh wakil daripada Majlis Peguam, Suruhanjaya Orang Hilang Dan Mangsa Keganasan Indonesia, serta Debbie Koh dari firma Jireh Consult yang mewakili keluarga Ruth, dan beberapa orang awam.
Joshua Hilmy, seorang rakyat Malaysia yang asalnya beragama Islam sebelum bertukar agama kepada Kristian di Singapura pada tahun 2003, dan isterinya Sitepu, seorang warga Indonesia, kali terakhir dilihat pada November 2016.
Kehilangan mereka berlaku lebih kurang waktu yang sama dua lagi individu - Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat - turut dilaporkan hilang. Koh telah diculik pada siang hari dalam bulan Februari 2017, manakala Amri pula pada 26 November 2016.
Dalam inkuiri SUHAKAM yang terdahulu, badan berkenaan mendapati bahawa kedua-dua Koh dan Amri Che Mat adalah mangsa kehilangan secara paksa.
“Bukti langsung dan bukti mengikut keadaan dalam kes Paderi Raymond Koh menunjukkan, berdasarkan imbangan kemungkinan, beliau diculik oleh ejen kerajaan,” kata suruhanjaya itu dalam dapatannya yang dikeluarkan pada 2019.
Hilmy, Sitepu dan Koh dikatakan terbabit dalam aktiviti memurtadkan umat Islam dan menukar agama mereka kepada Kristian, satu perkara yang dilarang di Malaysia, manakala Amri Che Mat pula dikatakan adalah seorang penganut ajaran Syiah yang tidak diterima di Malaysia.
Tingkatkan siasatan
Dalam satu kenyataan susulan dapatan itu, Indonesia berkata kerajaan Malaysia patut mempertingkatkan usaha untuk menyiasat kehilangan warganya Ruth Sitepu serta melaksanakan semua cadangan SUHAKAM.
"Ruth Sitepu telah menjadi mangsa kehilangan secara paksa yang sepatutnya diambil sebagai satu jenayah yang serius mengikut apa jua standard.
“Indonesia berpandangan bahawa Malaysia mesti mengambil langkah sewajarnya berdasarkan apa yang dicadangkan, terutama sekali dalam menjalankan siasatan yang lebih menyeluruh dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata kenyataan dikeluarkan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.
Antara cadangan oleh SUHAKAM itu ialah satu semakan semula dibuat terhadap prosedur operasi standard dalam menangani kes di mana terdapat keadaan luar biasa yang menunjukkan kemungkinan berlakunya penculikan atau kehilangan tanpa kerelaan seseorang individu.
“Pihak polis dengan serius dan bersungguh-sungguh mempertingkatkan siasatannya dalam kes tersebut dengan mengambil kira kritikan dan cadangan jawatankuasa di dalam laporan.
“Dokumen yang relevan dalam kertas siasatan dikongsi dengan SUHAKAM atau mana-mana badan kompeten lain yang mempunyai kuasa siasatan kecuali jika ada bukti kukuh bahawa perkongsian itu boleh mengganggu siasatan polis yang sedang berjalan,”
Panel itu juga menggesa supaya pihak berkuasa menghormati kebebasan beragama sebagai hak asasi manusia, dan mengingatkan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri tidak boleh melarang penyebaran apa-apa doktrin keagamaan atau kepercayaan di kalangan mereka yang memeluk agama Islam. Undang-undang negeri hanya boleh "mengawal" atau "menyekat".
Pengakhiran yang sepatutnya
Sementara itu, keluarga Sitepu dalam satu kenyataan berkata walaupun inkuiri awam itu memberikan keluarga mangsa sedikit kelegaan, ia masih tidak memberi sebarang petunjuk apakah yang berlaku terhadap Sitepu dan Hilmy.
"Manusia tidak hilang begitu sahaja tanpa kesan. Kami percaya bahawa ada orang yang tahu apa telah berlaku kepada ahli keluarga kami dan Joshua.
"Ruth datang ke Malaysia untuk bekerja dan membantu menanggung kami, ini menunjukkan bahawa kami bukanlah keluarga yang senang. Kami bergantung kepada pihak berkuasa dan pelbagai agensi kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab serta tugas mereka untuk membantu kami. Kami hanya mahukan penutupan.
"Adakah ini terlalu banyak untuk diminta? Sekiranya mereka telah mati, tolong kembalikan mayat atau tulang mereka sekalipun kepada kami. Ia adalah sesuatu yang sepatutnya dibuat."
BenarNews sudah berusaha mendapatkan komen daripada pihak polis mengenai dapatan SUHAKAM namun masih belum menerima sebarang maklumbalas ketika berita ini diterbitkan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.