Sultan Johor dilantik Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-17
2023.10.27
Kuala Lumpur
Sembilan Raja-Raja Melayu di Malaysia telah memilih Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dari negeri selatan, Johor, yang terkenal dengan kekayaan baginda selain dari koleksi kereta mewah, sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu negara itu.
Perlantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun akan berkuatkuasa bermula 31 Januari depan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa pada tempoh yang sama.
“Menjunjung titah, saya memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat ke-263 (Khas), yang diadakan di Istana Negara, pada hari Jumaat, 27 Oktober 2023 telah bersetuju mengisytiharkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Johor telah dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula dari 31 Januari 2024,” kata Syed Danial.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja tersebut dipengerusikan oleh Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-Raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan.
Majlis Istiadat Pertabalan dijangka berlangsung pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Malaysia merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai Ketua Negara.
Pemilihan Yang-di-Pertuan Agong pula dilaksanakan dengan sistem penggiliran unik yang telah diamalkan sejak negara tersebut mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, di mana salah seorang dari sembilan Raja-Raja Melayu akan bergilir-gilir memegang jawatan tersebut selama lima tahun.
Pada September 2023, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan baginda menggalas tanggungjawab sebagai Agong yang pernah ditolak baginda pada 2016, demi menghormati tradisi penggiliran yang dilaksanakan.
Sultan Ibrahim akan mengambil alih tampuk pimpinan daripada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga merupakan adik ipar baginda, dan bakal menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari, 2024.
Sepanjang pemerintahan Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang, tercetus beberapa peristiwa bersejarah negara yang bertitik tolak daripada kemelut politik meruncing ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi oleh rakyat pada tahun 2020.
Rentetan kemelut tersebut, buat julung kalinya Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan kuasa budi bicara yang diberikan kepada baginda untuk melantik tiga orang Perdana Menteri yang berbeza dalam tempoh tiga tahun.
Buat pertama kalinya juga, baginda telah menyaksikan parlimen tergantung berlaku di Malaysia pada pilihan raya ke-15 November lalu, sekaligus melihat Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri negara itu.
Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 setelah Sultan Muhammad V dari Kelantan meletak jawatan pada Januari 2020, dua tahun setelah ditabalkan menjadi Agong.
Perletakan jawatan tersebut, pertama dalam sejarah Malaysia, berlaku di kala spekulasi mengenai kehidupan peribadi Sultan Muhammad V yang melibatkan laporan mengenai perkahwinan baginda dengan seorang wanita warga Rusia tersebar.
Siapa Sultan Ibrahim?
Sultan Johor yang berusia 65 tahun, berdarah kacukan Melayu-British terkenal dengan gaya hidup mewah. Baginda pada 2015, telah memuatnaik beberapa keping gambar yang merakamkan momen baginda menerima “Mack”, trak termahal di dunia, di Brisbane.
Pada tahun yang sama, baginda juga telah mencetuskan kontroversi pembelian hartanah bernilai A$8.5 juta (RM24.21 million) di Perth, Australia. Berita tentang pembelian tanah itu turut menerima perhatian di dalam dan di luar negara.
Pada tahun tersebut juga, Sultan Ibrahim muncul sebagai pemegang saham individu tunggal terbesar di REDtone International Bhd dengan peningkatan saham miliknya dari 4.8 peratus ke 20 peratus. Menurut baginda, ianya sesuatu yang baik bagi kerabat diraja melibatkan diri dalam perniagaan memandangkan baginda tidak boleh hanya bergantung pada elaun bulanan (sebagai Sultan Johor) sebanyak RM27,000 (AS5,600).
Menurut Sultan Ibrahim pada 2018, almarhum bapa baginda, Sultan Iskandar memanfaatkan gaji yang diterima dari kerajaan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Mengikuti jejak langkah Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim juga menyalurkan keseluruhan elaun diraja baginda sebagai dana kepada Yayasan Sultan Ibrahim bagi membantu rakyat yang memerlukan di Johor.
Tidak seperti raja Melayu tradisional yang lain, Sultan Ibrahim dikenali dengan kelantangannya menyuarakan isu politik dan kerjasama rapat antara baginda dan Anwar turut diketahui umum.
Netizen sambut baik
Pengguna media sosial dilihat rata-ratanya menyampaikan ucapan tahniah terhadap pengisytiharan Agong yang baharu itu, dengan kebanyakannya menyifatkannya sebagai seorang raja yang “berpendirian tegas”.
Andrew KH dalam hantaran di laman Facebook menulis “Daulat Tuanku. Tegas dan berwibawa. Ahli politik perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melaksanakan sebarang polisi,” katanya sambil merujuk kepada Agong baharu yang mempunyai iltizam tinggi dan mungkin mahukan pertimbangan menyeluruh apabila melibatkan polisi kebangsaan.
Gary Haris pula di ruangan komen Facebook menyatakan harapannya agar hubungan dua hala antara Singapura, Johor dan Malaysia secara keseluruhannya akan diteruskan dan bertambah kukuh serta harmoni bagi memastikan hubungan kerjasama yang positif antara kedua negara tersebut.
Sementara itu, penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi menggambarkan kedua pemimpin negara, Sultan Ibrahim dan Anwar, sebagai satu gabungan yang dilihat mampu mengukuhkan kestabilan kedudukan kerajaan.
“Kita tahu Yang di-Pertuan Agong ni sangat tegas untuk memastikan kestabilan politik dan tidak akan membiarkan aspek cubaan untuk menumbangkan kerajaan, “tebuk atap kerajaan” daripada berlaku.
“Lebih-lebih lagi kombinasi dan ramai melihat hubungan perdana menteri dan Sultan Johor ni rapat. Jadi ia boleh jadi satu ‘tag team’ untuk memandu negara ke arah tuju lebih baik, meningkatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan,” kata penganalisis dari Universiti Malaya itu kepada BenarNews.
Menyentuh mengenai kepentingan peranan Agong di Malaysia, Awang memetik insiden yang berlaku bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, di mana institusi monarki bertindak sebagai kuasa ketiga dalam memastikan kerajaan itu dapat berfungsi dengan lebih baik di saat negara berhadapan dengan kemelut politik yang tidak stabil.
“Contoh apabila berlakunya Parlimen tergantung dan ketakstabilan politik, disinilah peranan Agong dilihat menjadi harapan terakhir. Maknanya fungsi Agong dan Raja ni bukan sekadar simbol tapi memainkan peranan yang penting dalam landskap politik dan pembangunan negara ini,” tambahnya lagi.