Polis terima 26 laporan salahguna video titah Sultan Perak untuk kepentingan politik kepartian

Laporan polis telah dibuat oleh Pejabat Sultan Nazrin Shah bagi melindungi nama baik Sultan Perak itu.
Ili Shazwani Ihsan
2023.07.31
Kuala Lumpur
Polis terima 26 laporan salahguna video titah Sultan Perak untuk kepentingan politik kepartian Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sedang berbual dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, 16 Mei 2023.
[Ihsan Pejabat Diraja Selangor]

Sebanyak 26 laporan polis termasuk dari Pejabat Sultan Perak telah difailkan berikutan klip video titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah disunting dan disalahgunakan bagi tujuan kepentingan politik, demikian menurut Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri pada Isnin.

Pada hari yang sama Pejabat Dewan Negara Perak Istana Kinta turut menyeluarkan kenyataan media memaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat pada Sabtu berhubung klip video berdurasi hampir 3 minit yang memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan baginda sepuluh tahun lepas.

Ketua Polis Perak berkata laporan yang mula diterima sejak Ahad telah diserahkan ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini kita telah terima sebanyak 26 laporan berkaitan klip video titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ditularkan dan siasatan sedang berjalan susulan laporan-laporan yang telah diterima sejak semalam,” kata Mohd Yusri lagi.

Dalam pada itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Mohd Zahidi Zainuddin dalam kenyataan media Pejabat Dewan Negara Perak itu berkata, “Cara klip video itu diolah, telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang Raja Pemerintah untuk tujuan politik kepartian.”

Katanya kandungan klip video yang tular itu memilih untuk memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertema “Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran” yang pada masa itu merupakan pemangku Raja Perak pada 19 Februari 2013.

“Dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu. Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

“Bahagian yang memuji Parti PAS hanyalah petikan pendek begitu juga pujian terhadap UMNO. Untuk itu, tidak timbul bahawa baginda memandang tinggi mengenai Parti PAS.

“Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang pilihan raya di enam buah negeri, 12 Ogos ini,” kata Mohd Zahidi.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja turut menegaskan bahawa Sultan Nazrin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” kata Mohd Zahidi lagi.

Kali kedua PAS libatkan Raja

Awal tahun lalu, bagi memelihara kedudukan Raja-Raja dalam sistem demokrasi berparlimen, Dewan Rakyat telah meluluskan satu pindaan perlembagaan bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja.

Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam hujah di Parlimen pada ketika itu, Ahli Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik Anthony Loke berkata pengecualian itu perlu kerana mereka mahu Yang di-Pertuan Agong serta Raja- Raja atau isteri serta kerabat mereka melangkaui politik.

Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tunku Jaafar dalam hujahnya turut bersetuju bahawa Raja-raja perlu menunjukkan sikap tidak memihak kepada mana-mana parti.

"Memang saya sangat bersetuju bahawa Raja-raja mesti bersikap neutral dalam semua sudut dan itulah semangat dan hakikat rang undang-undang ini.

"Dalam keadaan sedemikian kita memberi ruang dan peluang supaya pihak Istana melihat neutral dalam semua sudut dan tidak timbul persoalan sama ada Raja boleh mengundi atau tidak mengundi," katanya.

Insiden menghina Sultan adalah yang kedua dilaporkan melibatkan pemimpin PAS di mana pada 18 Julai, pemimpin PAS di Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang kerana menghina Sultan Selangor.

Menteri Besar Kedah itu didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Dalam ucapannya yang tular seminggu sebelum itu, Sanusi dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor sekaligus mengundang kemarahan pelbagai pihak yang kemudiannya membuat laporan polis kerana menghina institusi beraja di Selangor.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.