Sultan Selangor Dukacita Guru Agama, Pegawai Masjid, Jurunikah Tolak Vaksin

Mereka yang menolak vaksin berkemungkinan berdepan hilang pekerjaaan, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Noah Lee
2021.09.02
Kuala Lumpur
Sultan Selangor Dukacita Guru Agama, Pegawai Masjid, Jurunikah Tolak Vaksin Seorang lelaki tua yang berkerusi roda sedang diberi suntikan vaksin COVID-19 di Petaling Jaya, Selangor, 27 April 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap guru agama, pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksinasi COVID-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian koronavirus yang tinggi, dengan titah baginda, mereka bakal berdepan hilang pekerjaan.

Selangor, negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia adalah negeri yang mempunyai rekod jangkitan dan kematian COVID-19 tertinggi bagi negar itu, sejak Mei lepas.

Istana Shah Alam pada Khamis mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan yang Sultan Sharafuddin telah menerima laporan bahawa seramai 95 guru Kelas Al-Quran dan Fardha Ain (KAFA) telah menolak vaksinasi, manakala pegawai masjid dan jurunikah yang enggan diimunisasi pula berjumlah 17 orang.

"Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.

"Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat COVID-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin. Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah mereka yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan berhubung 268 guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di negeri itu yang enggan divaksinasi, dengan menitah pihak berwajib mengambil perhatian terhadap perkara tersebut.

Untuk rekod, guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah adalah penjawat awam yang dilantik oleh kerajaan negeri dan berada di bawah bidang kuasa seliaan Jabatan Agama Islam Selangor.

Manakala guru sekolah rendah dan menengah kebangsaan pula adalah penjawat awam yang dilantik oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan, dan oleh itu tidak tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

Seorang jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor berkata terdapat 6,797 orang guru KAFA yang berkhidmat di seluruh negeri itu sehingga Ogos 2021. Bagi guru sekolah kebangsaan pula, Selangor mempunyai seramai 35,431 guru sekolah rendah dan 26,246 guru sekolah menengah.

Titah Baginda keengganan guru yang menolak vaksinasi boleh membawa implikasi buruk terhadap pelajar.

"Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus COVID-19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

"Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat COVID-19 di Negeri Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin."

'Vaksin difatwakan sebagai harus'

Sehingga Khamis, Selangor mencatatkan sebanyak 611,779 kes dengan bilangan kematian tertinggi akibat pandemik iaitu seramai 6,104 daripada 17,191 keseluruhan kes kematian bagi seluruh negara.

Peningkatan mendadak jangkitan di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang berjiran dengannya sejak Mei lepas telah memaksa Kementerian Kesihatan Malaysia menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas khusus untuk menangani penularan wabak.

Ia menyaksikan kerajaan mempertingkatkan aktiviti vaksinasi di dua negeri dan wilayah tersebut, selain menambah bilangan petugas kesihatan dan peralatan perubatan.

Langkah berkenaan menyaksikan kawasan Lembah Klang kini mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dalam negara iaitu sekitar 6.8 juta penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 1 September.

Pihak berkuasa kesihatan mensasarkan negara akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini, dengan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa negara telah menerima satu dos vaksin.

Akan tetapi, cabaran utama yang dihadapi pihak berkuasa adalah penolakan secara sukarela oleh segelintir penduduk yang tidak mahu divaksinasi termasuklah dari kalangan anti-vaksin sendiri dengan memberikan memberi alasan agama.

Menyentuh soal vaksin dan agama Sultan Sharafuddin bertitah supaya rakyat negeri Selangor tidak berasa ragu-ragu untuk menerima vaksinasi COVID-19 kerana telah difatwakan sebagai harus.

"Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini. Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan.

"Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah diharuskan. Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin," titah baginda.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin pada Rabu berkata bahawa kerajaan masih kekal dengan keputusaan untuk tidak menjadikan vaksinasi COVID-19 sebagai sesuatu yang mandatori kepada penduduk negara.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mempunyai halangan sekiranya sesuatu sektor pekerjaan atau syarikat ingin menjadikan vaksinasi sebagai syarat untuk beroperasi, dan ia turut terpakai kepada sekolah-sekolah yang ingin menggalakkan para guru mereka mengambil suntikan vaksin.

"Buat masa ini, kerajaan masih kekal dengan keputusan bahawa kita tidak akan membuat mandat undang-undang untuk menjadikan vaksinasi sesuatu yang mandatori.

"Akan tetapi, kita menggalakkan pujukan secara sektor atau 'sectoral persuasion'. Perkara ini bukan dibuat secara mandat persekutuan atau undang-undang, akan tetapi sekiranya sesuatu syarikat itu mahu mengenakan syarat kepada pekerja bahawa mereka perlu divaksinasi untuk datang bekerja, atau menyertai mesyuarat misalnya, itu terpulang kepada syarikat tersebut," kata Khairy dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Malaysia pada Khamis turut mengumumkan harga siling bagi kit ujian COVID-19 kendiri kepada RM19.90 (AS$4.79) setiap satu (harga runcit), manakala untuk jualan secara pukal pula, harga ditetapkan pada RM16 (AS$3.85).

"Kerajaan juga akan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada untuk menurunkan lagi harga jualan kit ujian kendiri, dan melihat bagaimana kit ini dapat diberikan secara percuma kepada keluarga bagi kumpulan B40," kata Khairy dalam ciapan di akaun Twitternya.

Untuk rekod, kit ujian kendiri COVID-19 yang berada di pasaran Malaysia kebanyakannya dijual pada harga sekitar RM30 (AS$7.22) setiap satu, dan ada yang mencecah sehingga antara RM35 (AS$8.42) dan RM40 (AS$9.62).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Amer
Sep 03, 2021 04:05 AM

Menteri kesihatan ada mengatakan tiada paksaan untuk vaksinasi. Mungkin ada sebab dan alasan mengapa tidak di vaksinasi sudahla rakyat menghadapi kesusahan di berhentikan kerja lagi memutuskan rezki mata pencarian menanggung keluarga bukan ke islam mengajar mencari kefahaman dan kesepkatan mencari penyelesaian bukan memberi penyeksaan