Malaysia ambil tindakan perundangan lawan tuntutan waris Kesultanan Sulu di Belanda

Kuala Lumpur sudah memulakan strategi global halang cubaan merampas aset Malaysia di luar negara, kata Menteri.
Noah Lee
2022.09.30
Kuala Lumpur
Malaysia ambil tindakan perundangan lawan tuntutan waris Kesultanan Sulu di Belanda Sebuah kereta melepasi stesen minyak Petronas di Kuala Lumpur, 31 Julai 2019.
[Lim Huey Teng/Reuters]

Kuala Lumpur pada Jumaat mengumumkan bahawa kerajaan negara itu akan melawan tuntutan dibuat waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset syarikat gergasi petroleum milik negara, Petronas yang ada di negara Belanda bagi menguatkuasakan satu perintah oleh Mahkamah Arbitrasi di Perancis yang menganugerahkan pampasan sejumlah AS$15 bilion kepada mereka.

Pengumuman itu dibuat selepas waris Kesultanan Sulu baru-baru ini mengemukakan satu permohonan di Mahkamah Belanda untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah 'Final Award' oleh Mahkamah Arbitrasi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu

“Kerajaan sudah melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan yang serupa di Belanda untuk mengenepikan dan menghalang sebarangan percubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah,” kata Wan Junaidi, menteri yang bertanggungjawab keatas hal-ehwal Parlimen dan perundangan negara itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Jumaat.

Waris Sultan Sulu kini cuba merampas aset kerajaan Malaysia di beberapa negara di dunia dalam usaha menguatkuasakan award timbang tara berjumlah AS$14.9 bilion terhadap Malaysia meskipun perintah itu telah digantung oleh sebuah mahkamah di Perancis.

Proses timbang tara di Perancis itu adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia yang berhenti membayar pajakan tahunan sebanyak RM5,300 (AS$1,190) sejak tahun 2013, di mana perjanjian pembayaran tersebut dibuat semasa era kolonial.

Malaysia telah bertindak menghentikan bayaran tersebut susulan insiden pencerobohan keatas Sabah oleh kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina yang menggelarkan diri mereka sebagai anggota “Tentera Diraja Sulu” dengan mendakwa sebagai pengikut Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai pewaris yang berhak untuk menjadi Sultan Sulu pada 2013.

Wan Junaidi berkata percubaan terkini waris Kesultanan Sulu di Belanda adalah satu tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dengan peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

"Perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada negara Sepanyol ke negara Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

"Walau bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya," tambah Wan Junaidi.
Menteri itu juga menegaskan bahawa aset Petronas bukan milik kerajaan Malaysia, dan menyifatkan permohonan dibuat waris Sultan Sulu untuk merampas aset syarikat petroleum berkenaan sebagai "suatu pencabulan" proses mahkamah.

Petronas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbaru berkaitan cubaan rampasan aset di Belanda, dan permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen juga tiada balasan.

Pada 12 Julai, agensi berita Financial Times melaporkan bahawa dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan, yang dikatakan bernilai AS$2 bilion, telah dirampas oleh bailif mahkamah yang menguatkuasakan satu perintah mahkamah Perancis berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Petronas bagaimanapun menyatakan bahawa aset kedua-dua anak syarikatnya di Azerbaijan itu telah dilupuskan sebelum tindakan rampasan tersebut dan hasilnya telah dibawa pulang ke Malaysia.

Susulan daripada itu, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Julai berjanji bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan semua aset negara di dalam dan luar negara secara perundangan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.