Malaysia semakin hampir batalkan kes tuntutan Sulu selepas beroleh kemenangan di mahkamah The Hague
2023.06.27
Kuala Lumpur
Malaysia pada Selasa beroleh kemenangan ketiganya selepas mahkamah rayuan The Hague menolak untuk menguatkuasakan pelaksanaan award timbang tara berjumlah AS$15 bilion, yang dituntut pihak yang mendakwa sebagai waris bekas sultan Sulu, terhadap kerajaan Asia Tenggara itu di Belanda.
Malaysia kini "semakin hampir" dalam usahanya untuk membatalkan tuntutan itu, kata Perdana Menteri negara berkenaan selepas keputusan mahkamah tersebut, yang menyusuli keputusan sama yang dibuat oleh mahkamah di Perancis dan Sepanyol pada awal tahun ini.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bersyukur dengan "kemenangan besar" itu, sambil menegaskan bahawa tuntutan waris Sulu tersebut adalah "tidak sah".
"Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kami semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya award yang tidak sah ini dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut hampir AS$15 bilion… sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebahagian kesilapan dalam lipatan sejarah,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Anwar berkata bahawa Malaysia akan terus berjuang untuk “menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa serta mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mendapatkan kembali semua kos perundangan daripada sumber kewangan” yang dibelanjakan oleh negaranya bagi menangani isu tuntutan ini.
BenarNews menghubungi wakil waris sultan Sulu berkenaan, Paul Cohen, namun gagal mendapatkan sebarang komen.
Bekas Kesultanan Sulu adalah sebuah kepulauan kecil di selatan Filipina, dengan sebahagian daripadanya kini berada dalam kawasan negeri Sabah yang kaya dengan minyak, di Malaysia.
Sekumpulan lapan orang, yang mendakwa sebagai waris sultan Sulu yang terakhir, pada tahun lepas memenangi award timbang tara berjumlah AS$14.92 bilion terhadap Malaysia di sebuah mahkamah Perancis, rentetan daripada tindakan negara Asia Tenggara itu pada 2013 untuk berhenti membuat pembayaran tahunan seperti mana yang termaktub dalam satu perjanjian pada abad ke-19.
Pada September lalu, kumpulan yang mendakwa waris sultan Sulu itu mengemukakan permohonan kepada mahkamah di Belanda untuk menguatkuasakan award itu di negara berkenaan, lapor Reuters. Dalam usaha menguatkuasakan pelaksanaan award berkenaan, waris Sulu tersebut telah berusaha untuk merampas aset-aset Malaysia yang terdapat di Belanda.
Mahkamah Rayuan The Hague pada Selasa memutuskan untuk menolak saman itu selepas Mahkamah Rayuan Paris pada awal bulan ini mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap pelaksanaan award timbang tara tersebut. Mahkamah di Paris mendapati bahawa penimbang tara berkenaan, yang mengarahkan Malaysia membuat pembayaran award itu, tidak mempunyai kuasa dalam kes berkenaan.
Pencerobohan 2013
Pada Februari lalu, mahkamah di Sepanyol telah membatalkan keputusan penimbang tara yang sama dan menolak tuntutan waris Sulu itu.
Satu lagi permohonan waris Sulu tersebut untuk menguatkuasakan pelaksanaan award itu di Luxembourg akan dibawa ke mahkamah negara berkenaan pada September depan.
Pada Julai lalu, syarikat minyak Malaysia, Petronas, telah menerima perintah untuk merampas dua unit miliknya di Luxembourg, ketika waris Sulu tersebut berusaha menguatkuasakan pelaksanaan award timbang tara itu.
Malaysia berhenti membuat pembayaran kepada waris Sulu selepas sekumpulan 200 anggota bersenjata yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu telah menceroboh masuk ke daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina, dalam usaha untuk mengambil alih negeri itu pada 11 Februari 2013.
Pencerobohan tersebut telah menyebabkan berlakunya pertempuran lebih enam minggu dengan pasukan keselamatan Malaysia.
Walaupun Perdana Menteri ketika itu, Najb Razak, tidak secara rasmi menyatakan bahawa pencerobohan berkenaan adalah punca mengapa pembayaran tersebut dihentikan, beliau sering bertanya di laman Facebook mengapa waris Sulu perlu dibayar setelah apa yang mereka lakukan pada 2013.
Kumpulan yang dikatakan waris Sulu itu telah menafikan sebarang penglibatan dalam pencerobohan tersebut dan kumpulan yang mengemukakan permohonan kepada mahkamah timbang tara turut mengecam serangan yang dilakukan itu, lapor agensi berita Reuters.
Empat tahun selepas Malaysia menghentikan pembayaran tahunan kepada waris Sulu, kumpulan lapan individu yang mendakwa sebagai waris sultan Sulu telah memutuskan untuk mengemukakan permohonan kepada sebuah mahkamah timbang tara di Eropah.
Pada Februari tahun lalu, mahkamah di Paris memerintahkan Malaysia membayar hampir AS$15 bilion kepada pihak yang membuat tuntutan itu sebagai pampasan bagi pembayaran yang gagal dilunaskan sejak 2013. Jumlah itu termasuk penilaian tanah di Sabah dan sumber asli yang ada seperti minyak dan gas.