Follow us

Ceroboh Sabah: Filipina Mohon Pengampunan Malaysia Bagi Rakyatnya

Hareez Lee
Kuala Lumpur
2018-01-16
E-mel
Komen
Share
Gambar yang dikeluarkan ini menunjukkan anggota Angkatan Tentera Malaysia bergerak menuju ke arah tempat kurungan rakyat Filipina yang bersenjata di Tanduo, sebuah kampung di bahagian timur Sabah, 5 Mac 2013.
Gambar yang dikeluarkan ini menunjukkan anggota Angkatan Tentera Malaysia bergerak menuju ke arah tempat kurungan rakyat Filipina yang bersenjata di Tanduo, sebuah kampung di bahagian timur Sabah, 5 Mac 2013.
[AFP Photo/Kementerian Pertahanan Malaysia]

Filipina akan memohon Pengampunan DiRaja dari Malaysia bagi sembilan warganya, selepas mahkamah tertinggi negara itu mengekalkan hukuman mati terhadap mereka yang terlibat dalam pencerobohan maut di Sabah pada tahun 2013, kata pegawai Filipina pada Selasa.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara pada Isnin membuat keputusan memihak kepada keputusan tahun lepas oleh sebuah mahkamah yang lebih rendah yang menjatuhi hukumum mati bagi kesemua sembilan orang yang terbabit.

Mereka didakwa "melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong" apabila kira-kira 200 lelaki yang bersenjata dari Sulu, sebuah wilayah di selatan Filipina, tiba dengan bot dan menceroboh pantai Sabah, sebelum tentera Malaysia bertindak mematahkan pencerobohan itu dan mengusir mereka.

"Kerajaan Filipina telah menghulurkan bantuan perundangan serta pelbagai bantuan lain kepada kesemua mereka... dan akan terus menyalurkan bantuan sepanjang kes berjalan. Pasukan perundangan dari pejabat kedutaan kini juga sedang memulakan rayuan untuk mendapatkan Pengampunan DiRaja " kata Pejabat Setiausaha  bagi pekerja asing di Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam satu kenyataan.

Serangan itu mengakibatkan pertempuran yang menyebabkan 72 orang terbunuh, termasuk 56 lelaki bersenjata dan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia. Penceroboh yang bersenjata itu menggelarkan diri mereka sebagai anggota "Tentera DiRaja Sulu" yang menuntut Malaysia supaya mengiktiraf mereka sebagai wakil Kesultanan Sulu yang sebelum ini pernah memerintah Sabah.

Keputusan mahkamah pada Isnin bermaksud bahawa hanya Pengampunan DiRaja dapat menyelamatkan sembilan warga Filipina itu daripada hukuman mati.

N.Sivananthan, seorang peguam jenayah Malaysia yang dibayar oleh kerajaan Filipina untuk mewakili kesembilan warganya, mengesahkan bahawa Manila telah memohon untuk mendapatkan Pengampunan DiRaja dalam usaha menukar hukuman mati kepada hukuman seumur hidup di penjara.

"Ya, kami telah menerima arahan untuk memohon Pengampunan DiRaja kerana kesemua sembilan itu tidak terlibat secara langsung dalam pembunuhan atau dalam pertempuran melawan pasukan keselamatan Malaysia," kata Sivananthan kepada BeritaBenar pada Selasa, sambil menambah arahan itu datangnya daripada pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.

"Kami berharap untuk mengemukakan permohonan dokumen pengampunan pada Februari selepas mendapat arahan penuh, dengan sokongan dari kerajaan Filipina dan Kesultanan Sulu," tambah peguam itu.

Ditubuhkan pada tahun 1405, Kesultanan Sulu memerintah Kepulauan Sulu, bahagian Mindanao di selatan Filipina dan sebahagiannya di pulau Borneo, termasuk Sabah, sehingga sekitar awal tahun 1800-an. Sabah menyertai Malaysia pada 1963, tetapi negeri itu dikatakan masih membuat bayaran sewa 'minima' kepada Kesultanan Sulu pada setiap tahun.

Ramai rakyat Filipina berhijrah ke Sabah pada tahun 1970-an untuk melarikan diri daripada konflik bersenjata antara tentera kerajaan dan gerila pemisah di selatan negara itu. Kira-kira 800,000 warga Filipina tinggal di Sabah, yang penduduknya lebih daripada 3.5 juta orang.


Felipe Villamor di Manila turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh