Filipina sifatkan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah sebagai ‘isu peribadi’

Aie Balagtas See
2022.08.02
Manila, Filipina
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Filipina sifatkan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah sebagai ‘isu peribadi’ Wanita Islam Filipina membawa lampu suluh semasa mereka menyertai perhimpunan di pinggir bandar Taguig yang terletak di selatan Manila bagi menggesa agar satu resolusi aman dicapai selepas para pengikut Sultan Sulu bertindak memasuki Lahad Datu di Sabah, Malaysia untuk menuntut hak mereka ke atas wilayah itu, 6 Mac 2013.
[Aaron Favila/AP]

Kerajaan baharu Filipina pada Selasa mengambil langkah menjauhkan diri daripada kontroversi yang melanda jirannya Malaysia dan waris kesultanan yang cuba merampas aset antarabangsa syarikat petroleum negara itu dalam perebutan kawasan yang berlaku sejak tahun 1800-an.

Tuntutan keturunan Sultan Sulu “adalah bersifat peribadi” antara kedua-dua pihak dan tidak membabitkan kerajaan, demikian menurut jurucakap Presiden Ferdinand Marcos Jr. yang merujuk kepada waris terbabit dan Malaysia.

“Justeru, ia bukan satu isu yang membabitkan kedaulatan atau wilayah buat masa ini,” kata Trixie Cruz-Angeles dalam taklimat kepada media.

Beliau mengulas laporan berita dari Malaysia baru-baru ini yang memetik ahli keluarga kesultanan itu sebagai berkata mereka berharap Presiden Marcos akan membantu mereka mendapatkan semula Sabah, yang kini adalah sebahagian daripada Malaysia Timur dan terletak berhampiran Kepulauan Sulu di selatan Filipina.

Mereka merujuk kepada deklarasi yang dibuat oleh Marcos semasa Ucapan Negara pertamanya bulan lepas bahawa sebagai Presiden, beliau tidak akan mengabaikan barang seinci pun wilayah Filipina.

Tuntutan waris terbabit setakat ini tidak terjumlah kepada isu kedaulatan, kata Cruz-Angeles. Selain itu, kenyataan Marcos di hadapan Kongres memerlukan penjelasan meskipun ia dianggap sebagai merujuk kepada perebutan wilayah di Laut China Selatan, kata seorang jurucakap wanita Presiden.

“Kenyataan Presiden dalam ucapannya mengenai tidak akan melepaskan walau seinci pun wilayah negara itu perlu dijadikan dalam bentuk bertulis dan secara spesifik, selepas itu kami akan mengumumkan kepada anda sama ada ia mempunyai kaitan dengan tuntutan ke atas Sabah,” kata Cruz-Angeles.

“Buat masa ini, masih tiada sebarang kenyataan mengenai perkara itu, jadi kita terpaksa tunggu.”

Waris terbabit, dalam reaksi terhadap ucapan Marcos, telah melahirkan harapan agar pemimpin negara yang mereka baharu itu akan berusaha menuntut semula Sabah, yang menjadi punca perebutan wilayah sejak sekian lama antara Filipina dan Malaysia.

Semasa berkhidmat sebagai Senator, Marcos meluluskan satu resolusi yang menggesa negara itu menghidupkan semula tuntutannya ke atas Sabah.

Waris Sultan Sulu kini cuba merampas aset kerajaan Malaysia di seluruh negara dalam usaha menguatkuasakan award timbang tara berjumlah AS$14.9 bilion terhadap Malaysia meskipun perintah itu telah digantung oleh sebuah mahkamah di Perancis.

Pada Februari, satu lagi mahkamah di Perancis telah memerintahkan Malaysia membayar pampasan kepada keturunan Sultan Sulu yang terakhir sebagai penyelesaian kepada pertikaian berhubung perjanjian tanah semasa era kolonial.

Bagaimanapun, pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah menggantung perintah itu selepas memutuskan bahawa penguatkuasaan award tersebut boleh dianggap sebagai melanggar kedaulatan Malaysia.

Pada 19 Julai lepas, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan berusaha melindungi aset negara itu di luar negeri susulan keputusan mahkamah Perancis tersebut.

Beliau berkata satu pasukan khas telah dibentuk bagi menyiasat notis rampasan yang diserahkan ke atas dua aset milik Petronas di Eropah oleh waris Kesultanan Sulu.

“Mereka akan meneliti bukan hanya aset Petronas tetapi aset kita yang lain di luar negara. Itu adalah tugas yang diberikan kepada pasukan khas itu,” kata Ismail Sabri ketika menjawab soalan pemberita di luar Persidangan Keselamatan Negara di mana kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan dibincangkan.

“Kita akan melindungi aset kita di luar negara melalui kaedah perundangan. Saya memberi jaminan kepada anda bahawa kita tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan hak kita serta kedaulatan negara.”

Penyokong Marcos

Puteri Jacel Kiram, yang mewakili waris kesultanan Sulu dan menyokong Marcos, berkata sejak kebelakangan ini, keputusan mahkamah itu membuktikan “kepada semua pihak, bukan hanya di Filipina dan Malaysia tetapi juga di seluruh dunia bahawa Sabah adalah milik kami.”

“Kisah Kesultanan Sulu telah bermula sebelum kewujudan Malaysia lagi,” katanya kepada pemberita pada akhir bulan Julai dan menambah bahawa kesultanan itu boleh membuktikan bahawa ia telah menerima bayaran daripada kerajaan Malaysia sebelum ini namun dihentikan baru-baru ini.

Diktator Filipina Ferdinand E. Marcos, yang merupakan bapa kepada presiden ketika ini yang pemerintahan dua dekadnya berakhir pada 1986, merupakan penyokong tegar dalam isu menuntut semula Sabah, yang dianggapnya sebagai sebahagian dari Filipina.

Malah beliau pernah menimbang untuk menghantar sepasukan komando yang dilatih khas ke negeri itu pada tahun 1960-an, menurut ahli sejarah.

Pada 1963, kerajaan British menjadikan Sabah, yang ketika itu jajahan Britain, sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang baharu diwujudkan ketika itu.

Filipina mendakwa Sabah hanya dipajak bukan dijual kepada British North Borneo Co. pada 1878, yang merupakan pentadbir wilayah itu sebelum diilhakkan oleh Britain.

Malaysia bagaimanapun menyatakan bahawa komuniti antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya sejak pembentukan persekutuan itu pada 1963.

Pertikaian berhubung isu Sabah telah bertukar ganas pada 2013 selepas para pengikut Sultan Sulu Jamalul Kiram III memasuki Lahad Datu bagi menuntut hak mereka ke atas negeri tu.

Beberapa siri pertempuran bersenjata telah berlaku selepas para pengikut Kiram enggan keluar meskipun diberi amaran supaya berbuat demikian oleh pasukan keselamatan kerajaan Malaysia.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan Malaysia dan para pengikut Kesultanan Sulu terkorban dalam pertempuran itu, yang kemudian merebak ke beberapa bahagian lain di Sabah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh