Kes Sulu bukti Malaysia di pihak yang benar pertahan kedaulatan

Mahkamah Perancis putuskan penimbang tara yang menganugerahkan AS $15 bilion kepada pewaris Sulu tidak mempunyai bidang kuasa.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.07
Kuala Lumpur
Kes Sulu bukti Malaysia di pihak yang benar pertahan kedaulatan Seorang anggota tentera Malaysia memantau kawasan serbuan kem kumpulan bersenjata Filipina, di Lahad Datu, Sabah, Malaysia, 7 Mac 2013.
[Bazuki Muhammad/Reuters]

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris minggu ini membatalkan anugerah timbang tara berjumlah AS$15 bilion kepada kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung penjanjian tanah pada zaman penjajah membuktikan kerajaan Malaysia sememangnya berada di pihak yang benar dalam mempertahan kedaulatan negara, kata Menteri Luar pada Rabu.

Mahkamah Rayuan Paris pada Selasa memutuskan bahawa penimbang tara yang mengarahkan kerajaan Malaysia membayar pampasan itu tidak mempunyai bidang kuasa dalam kes berkaitan perjanjian tanah semasa era penjajah di negara Asia Tenggara itu.

“Keputusan Mahkamah Perancis semalam telah melakar kemenangan bersejarah buat Malaysia sekali gus membuktikan bahawa Malaysia di pihak yang benar selama ini dalam mempertahan hak kita manakala kes yang dibawa oleh pihak sebelah sana adalah percubaan untuk tujuan tertentu semata-mata,” kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir kepada media di luar Dewan Rakyat.

Bekas Kesultanan Sulu terdiri dari sebuah kepulauan kecil di selatan Filipina, sebahagiannya kini berada dalam Malaysia, iaitu di Sabah yang kaya dengan minyak.

Sekumpulan lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, pada Februari tahun lepas telah memperoleh anugerah timbang tara AS$14.92 bilion terhadap Malaysia daripada sebuah mahkamah di Perancis. Mereka menang atas dasar negara Asia Tenggara itu pada 2013 berhenti membuat pembayaran tahunan kepada waris terbabit seperti yang termaktub dalam perjanjian pada abad ke-19.

Pada Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengeluarkan perintah menggantung keputusan timbang tara itu kerana penguatkuasaannya boleh melanggar kedaulatan Malaysia. Kumpulan yang mengaku pewaris kesultanan Sulu telah mencabar keputusan tersebut pada Mac tetapi ditolak oleh mahkamah.

Sementara itu, pihak penuntut Sulu yang turut diwakili peguam Paul Cohen berkata mereka kecewa dengan keputusan pada Selasa dan akan mengkaji pilihan serta meneruskan kes itu di Mahkamah Agung Perancis.

Dalam e-mel kepada BenarNews, Cohen turut mengkritik pendekatan Malaysia dalam kes tersebut.

“Dalam proses pertikaian ini, kami terpaksa bergelut dalam usaha meyakinkan mahkamah antarabangsa berhubung sikap Malaysia terhadap litigasi sivil dan timbang tara yang boleh disalah guna. Namun baru-baru ini kerajaan Malaysia tanpa segan silu memilih untuk menggunakan pendekatan dengan cara yang begitu ekstrem, di negara sendiri dan juga di peringkat antarabangsa,” kata peguam yang berpangkalan di United Kingdom itu.

“Malaysia nampaknya bersungguh-sungguh untuk memusnahkan apa jua reputasi yang ia mungkin miliki dengan menghormati undang-undang sivil serta prosedurnya, apatah lagi batasan tanggungjawab sistem keadilan jenayahnya.”

Cohen merujuk kepada fakta bahawa Malaysia pada April menamakan seorang daripada lapan individu yang menuntut, Fuad A Kiram, sebagai seorang pengganas dengan mendakwa beliau terlibat dalam serangan pada 2013 ke atas negara itu.

Seorang pegawai Malaysia secara terbuka mengakui telah menamakan Fuad Kiram sebagai pengganas bukan hanya berkisar mengenai serangan itu sebaliknya sebagai "serangan" terhadap kumpulan yang mengintai aset Malaysia.

Pada Julai tahun lepas, syarikat minyak Malaysia, Petronas telah menerima perintah mengenai rampasan dua unit aset miliknya di Luxembourg susulan percubaan kumpulan yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah yang diperoleh.

Malaysia turut berdepan beberapa permohonan yang difailkan oleh kumpulan Sulu untuk merampas aset-aset negara di Luxembourg serta Belanda dan wakil kerajaan dijadualkan menghadiri pendengaran di mahkamah pada penghujung Jun and September tahun ini.

Penglibatan rakyat Malaysia

Sementara itu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said pada awal Rabu memberitahu yang beberapa rakyat Malaysia dipercayai membantu pewaris kesultanan Sulu dalam meneruskan tuntutan mereka.

“Kami sedang mengumpul bukti. Daripada apa yang saya dimaklumkan, kami mengesyaki terdapat rakyat Malaysia yang membantu kumpulan penuntut,” katanya dalam sidang media khas sebelum Menteri Luar bercakap mengenai isu sama pada awal Rabu.

“Sebaik sahaja kami mempunyai maklumat yang cukup, saya akan meminta ketua pengarah di jabatan saya untuk menjejaki mereka,” tambahnya lagi tanpa mendedahkan jumlah rakyat Malaysia yang dipercayai bersekongkol dengan kumpulan itu.

Malaysia juga sedang melakukan persediaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang membiayai usaha kumpulan berkenaan, kata menteri undang-undang itu.

“Kita telah mengenal pasti para penaja mereka. Mereka bukan dari Asia. Namun, bagi melindungi kedaulatan Malaysia, kami akan menyaman mereka,” ujarnya lagi.

Dana litigasi global British yang dipanggil Therium Capital Management Ltd. menyokong kumpulan itu. Bagaimanapun, Malaysia tidak mendedahkan identiti atau asal-usul pembiaya, atau butiran mengenai tindakan yang dirancang terhadap mereka.

Di media sosial, rakyat Malaysia memuji kemenangan kerajaan dalam kes pertikaian anugerah itu.

Yoichi Yoi di laman media sosial Facebook menulis beliau berharap kerajaan Malaysia akan menyaman kumpulan Sulu itu dan mereka dipertanggungjawab bagi pencerobohan pada 2013 meskipun mereka secara konsisten telah menafikan penglibatan mereka.

“Memandangkan mereka telah memulakan pencerobohan ke atas Sabah, melancarkan serangan dan menyebabkan kematian rakyat Malaysia, adalah wajar untuk mereka dipertanggungjawabkan. Buktikan Malaysia mempunyai kedaulatan,” katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial Hafizuddin Hahir pula menggesa Malaysia meningkatkan tahap keselamatan kerana bimbang dengan tindak balas dendam susulan kemenangan itu.

“Pasukan keselamatan perlu berada pada tahap paling berwaspada,” ciap beliau di laman Twitter.

“Susulan kekalahan dalam kes Sulu, mereka mungkin marah dan melancarkan satu lagi serangan. Saya harap mereka menjauhkan diri daripada kita.”

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.