Susanna Liew, Isteri Paderi Hilang Terima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa
2020.03.03
Washington
Susanna Liew, isteri kepada paderi minoriti Kristian Malaysia yang hilang dalam kes penculikan berprofil tinggi tiga tahun lepas, telah dipilih untuk menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2020, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Selasa.
Menurut Jabatan Negara AS, Susanna adalah antara 12 penerima bagi anugerah yang diberikan kepada wanita di seluruh dunia yang telah menunjukkan keberanian, kepimpinan dalam menyokong keadilan, hak asasi manusia serta isu-isu yang melibatkan hak kaum wanita.
"Susanna Liew telah berjuang bagi pihak kaum minoriti agama yang hilang secara paksa di Malaysia, termasuk suaminya dan juga beberapa lagi seperti Amri Che Mat, Joshua Hilmy, dan Ruth Sitepu, yang berdepan dengan penganiayaan atas kepercayaan mereka.
“Walaupun mendapat ancaman dan ugutan mati, Susanna terus mencari kebenaran dalam membela nasib suaminya dan mereka yang turut terlibat dalam kehilangan paksa, bukan kerana atas kepercayaan agamanya atau mereka, tetapi kerana hak sebagai rakyat Malaysia.” kata kenyataan oleh Jabatan Negara AS yang dikeluarkan pada tengah hari Selasa.
Susanna, 65 yang merupakan seorang pendidik bersama suaminya Paderi Raymond Koh merupakan pengasas pusat Harapan Komuniti (Hope Community), iaitu sebuah pertubuhan bukan keuntungan tempatan yang menjalankan kerja-kerja amal membantu golongan miskin, memerlukan dan terpinggir.
Suaminya, telah diculik di sebuah lebuhraya di Petaling Jaya, pinggir Kuala Lumpur, oleh sekumpulan lelaki bertopeng hitam yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan [SUV] bersama sebuah motosikal, yang memaksa kereta yang dipandu berhenti dan melarikan suaminya itu pada siang hari, 13 Februari 2017.
Penculikan itu berlaku dalam tempoh kurang seminit, disaksikan oleh beberapa pemandu lain termasuk dirakam oleh kamera pengawasan lalu lintas di kawasan tersebut.
Pada 2011, pihak berkuasa Islam Malaysia telah menyiasat badan bukan kerajaan yang dipimpin oleh paderi tersebut, berhubung dakwaan terhadap penganjuran satu majlis makan malam kesyukuran yang dihadiri orang Islam di gereja, demikian menurut laporan akhbar tempatan.
Siasatan itu susulan dakwaan yang menyatakan beliau cuba mengkristiankan belia Islam melalui peganjuran majlis di gereja dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan murtad adalah satu kesalahan jenayah.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam dan membentuk lebih daripada 60 peratus jumlah 33 juta orang penduduknya.
Penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian hidup bersama-sama dengan umat Islam, tetapi hal-hal agama tidak dibincangkan secara terbuka dan dianggap sebagai isu yang sangat sensitif.
Selain Susanna, 11 wanita lain yang dipilih untuk menerima anugerah berkenaan adalah dari Afghanistan, Armenia, Azerbaijan, Bolivia, Burkina Faso, China, Nicaragua, Pakistan, Syria, Yaman dan Zimbabwe.
Kenyataan Jabatan Negara Amerika itu juga berkata, Susanna seorang wanita Malaysia masih aktif dalam mencari keadilan terhadap suaminya serta beberapa lagi yang didapati hilang secara paksa terutama semasa siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dijalankan, selain terus mendesak kerajaan untuk meneruskan siasatan dengan mahukan mereka yang bertanggungjawab dihadap ke muka pengadilan.
Pada Februari lepas, Susanna dan keluarganya telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan Malaysia dan polis persekutuan dalam usaha untuk mengetahui apa kesudahan terhadap kes kehilangan suaminya itu.
Beliau menamakan dua bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun dan Khalid Abu Bakar bersama dengan beberapa yang lain, dalam saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Februari lepas, sehari selepas ulangtahun kehilangan ke-tiga suaminya.
Pada 2007, Setiausaha Negara AS pada masa itu, Condoleezza Rice telah memperkenalkan anugerah tersebut dengan penerima pertama dari Malaysia adalah S. Ambiga, peguam yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia terkenal, pada 2009, dan kemudiannya diikuti oleh aktivis hak-hak transgender Nisha Ayub pada 2016.