Polis Malaysia berkas empat lagi suspek dikaitkan dengan lelaki Israel
2024.04.04
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu memberkas empat individu termasuk seorang wanita di Johor bagi membantu siasatan berkaitan seorang lelaki warga Israel yang ditahan bersama sejumlah senjata api dan peluru pada hujung Mac lepas.
Penahanan kesemua suspek warga tempatan itu menjadikan jumlah individu yang ditahan polis berhubung kes itu setakat ini ialah lapan orang.
"Kesemua suspek berusia 28 hingga 41 tahun itu telah diberkas di sekitar daerah Skudai dan Gelang Patah di Johor,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada BenarNews pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai keempat-empat suspek dan kaitan mereka dengan lelaki Israel itu.
Suspek utama ditahan polis di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Mac kerana memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu peribadi suspek di Cameron Highlands, Pahang serta sepasang suami isteri juga warga tempatan yang disyaki pembekal senjata api di Kuala Selangor, Selangor pada Jumaat. Polis turut merampas sepucuk pistol dalam operasi tersebut.
Menurut polis, lelaki Israel berusia 37 tahun itu memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lepas dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh seorang lagi rakyat Israel susulan masalah keluarga.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan sebelum ini menyebut siasatan menunjukkan suspek memasuki Malaysia secara sah dan pasport yang digunakan adalah tulen serta dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Tel Aviv.
Siasat motif
Pada Selasa, Razarudin berkata polis Malaysia memburu beberapa individu termasuk rakyat asing bagi membantu siasatan susulan penahanan warga Israel itu.
Beliau berkata usaha memburu lebih ramai suspek dilakukan bagi membantu siasatan berhubung motif sebenar lelaki Israel itu datang ke Malaysia.
Razarudin berkata siasatan terhadap warga Israel itu perlu dijalankan dari segenap aspek termasuk kebarangkalian beliau adalah pengintip atau ejen agensi perisikan Israel, Mossad.
Beliau ditahan reman hingga 7 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Jika disabitkan kesalahan, warga Israel itu dan suspek lain yang disiasat di bawah akta sama berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Malaysia tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel. Warga Israel dilarang memasuki Malaysia kecuali dengan kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri.
Razarudin berkata polis turut memperketat kawalan keselamatan terhadap pemimpin negara terutama Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri susulan kes itu.
Kawalan di sempadan turut dipertingkat bagi memastikan penyeludupan senjata tidak berlaku.
Razarudin sebelum ini mengakui terdapat kelemahan di sempadan Malaysia terutama Kelantan-Thailand.
"Kita tahu di sebelah Kelantan tidak berpagar. Sempadannya adalah sungai sahaja, kalau kita sukat tempat yang boleh diseludup itu ada 100 kilometer tidak ada pagar.
"Kalau musim kemarau boleh lintas macam itu sahaja, sungai itu tidak payah pakai bot. Jadi kita masih menguatkuasakan, menentukan keselamatan dan penyeludupan tidak berlaku sama ada dari Thailand atau masuk ke Thailand," katanya kepada pemberita.
Malaysia yang mempunyai penduduk majoriti Islam merupakan pendukung kuat Palestin dan konsisten menentang kezaliman Israel yang menduduki tanah Palestin.
Pada Oktober 2023, Anwar enggan melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas walaupun berdepan tekanan Amerika Syarikat supaya Malaysia mengubah pendiriannya.
Pada Disember lepas, Anwar turut mengumumkan keputusan kerajaan melarang kapal kargo Israel atau yang menggunakan bendera negara itu berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia.
Dalam siri lawatan ke Jerman baru-baru ini, Anwar mengkritik sikap hipokrit negara barat dalam menangani konflik di Asia Barat dan menolak bahawa ia bermula sejak pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Okt lepas sebaliknya berkata konflik kedua-dua pihak bermula selepas pendudukan oleh rejim itu yang berlaku lebih lima dekad.
Sehingga kini, lebih 30,000 warga Palestin terbunuh dalam serangan udara dan kempen ketenteraan rejim zionis di Semenanjung Gaza sebagai membalas tindakan Hamas menyerang Israel pada Oktober 2023.