Swatch saman kerajaan Malaysia rampas jam tangan siri koleksi ‘Pride’
2023.07.17
Kuala Lumpur
Pencipta dan pengilang jam tangan Switzerland, Swatch Group telah mengemukakan saman terhadap kerajaan Malaysia berikutan rampasan 172 jam tangan berwarna pelangi yang mempromosikan hak kumpulan LGBTQ pada Mei lalu.
Swatch dalam tuntutan saman yang difailkan pada 23 Jun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dilihat BenarNews berkata, rampasan secara “arbitrari” yang dilakukan tanpa makluman awal, telah mengakibatkan kerugian dan kehilangan selain menjejaskan reputasi perniagaan.
“Dengan menghalang Pemohon (Swatch) dari pemilikan jam tangan tersebut selain dari memasuki kedai-kedai kami secara arbitrari dan menyita jam tangan tersebut tanpa pra-notis, ianya telah menjejaskan kebolehan kami dalam menjalankan urusan perniagaan.
“Perniagaan dan angka dagangan turut terjejas untuk beberapa ketika sejurus selepas penyitaan tersebut,” kata Swatch dalam dokumen tuntutan mahkamah berkenaan.
Syarikat itu juga menuntut pemulangan jam tangan yang dirampas termasuk kerosakan substantif.
Tuntutan mahkamah yang difailkan untuk semakan kehakiman itu telah menamakan empat responden iaitu Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Setiausaha Agung Kementerian dan juga Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan Kementerian.
"Rampasan itu tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
"Syarikat juga telah memohon supaya semua jam itu dipulangkan pada Jun lalu namun KDN tidak berbuat demikian," kata syarikat itu menerusi dokumen tersebut.
Antara 13 dan 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah menyita jam tangan yang bernilai RM64,795 (AS$14,250) dari Koleksi Pride syarikat tersebut ketika serbuan di 16 butik, dengan rampasan dibuat di 11 buah butik manakala lima lagi diarahkan untuk menurunkan jam tangan tersebut dari dipaparkan di butik-butiknya.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada masa itu berkata penyitaan jam tangan tersebut dilakukan atas dasar produk berkenaan mengandungi perkataan LGBTQ iaitu akronim bagi lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.
Komuniti LGBTQ telah sekian lama berhadapan dengan isu diskriminasi di Malaysia, di mana aktiviti homoseksual dan liwat adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan.
Swatch turut mengatakan Notis Penyitaan tidak menyebut dengan jelas atas dasar apa penyitaan dijalankan sambil menjelaskan bahawa kebanyakan jam tangan yang disita tidak tertera perkataan LGBTQ di atasnya sebaliknya hanya bertemakan warna Pelangi.
“Setakat yang kami fahami, gambar Pelangi dan juga akronim LGBTQIA2S+ adalah perkataan yang tidak diharamkan di Malaysia,” kata syarikat tersebut dalam tuntutan saman berkenaan.
BenarNews telah cuba mendapatkan komen daripada Kementerian Dalam Negeri tetapi tiada sebarang maklumbalas sehingga laporan ini disiarkan.
Sementara itu, peguam yang mewakili Swatch Nizam Basir semasa dihubungi BenarNews berkata, "Kes saman Swatch itu telah disahkan penerimaannya oleh pihak mahkamah pada 24 Jun lepas, dan akan didengari di hadapan Hakim Amerjeet Singh pada Khamis ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas disenaraikan pada hari ini (Isnin).”
Siri serbuan serentak yang dilakukan ke atas butik Swatch telah meningkatkan kegusaran terhadap perkembangan homofobia dan ekstremisme di kalangan rakyat Malaysia, di mana diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ+ di negara itu sering dipandu oleh ahli-ahli politiknya.
Pada Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek Jr. ketika mempertahankan Koleksi Pride berkata mesej positif yang dibawa adalah mengenai kegembiraan dalam kehidupan.
“Kami dengan sekerasnya tidak bersetuju bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan menyampaikan mesej keamanan serta kasih sayang ini boleh mendatangkan mudarat kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Pada Februari, kerajaan Malaysia telah mendapat perhatian umum apabila mengharamkan dua buah buku kanak-kanak yang didakwa mempromosikan “gaya hidup LGBT” begitu juga dengan sebuah novel yang disifatkan sebagai “memudaratkan moral rakyat Malaysia.”
Terbaharu, sebuah parti politik konservatif telah menggesa supaya konsert band British yang sering mendahului carta supaya dibatalkan, berikutan sokongannya terhadap gerakan pride.